SARIN: Pembunuh Senyap yang Kejam

Hussein melihat kedua-dua anaknya, Ibrahim dan Malik tidur pulas di bilik dengan hanya beralas sekeping tilam nipis. Apakah masih ada masa depan untuk kedua-dua anaknya? Bisik hati Hussein. Gusar. Segera berdoa supaya anak-anaknya terselamat dari petaka di tempat kelahirannya yang juga tempat lahir kedua-dua anaknya tersebut.

Image result for khan sheikhoun

Tempat ini, Khan Shaykhun, adalah tempat yang suatu ketika dulu indah di mata Hussein. Kaya dengan sejarah peradaban manusia. Nama Khan Syaikhun itu sendiri adalah dari ‘khan’ atau ‘caravanserai’ yang menjadi tempat persinggahan kembara Aleppo – Damascus yang dibina sejak abad ke 14 oleh Amir kesultanan Mamluk, Sayf al-Din Shaykhu al-Umari.

Image result for khan shaykhun

imej dari mediawerkgroepsyrie.wordpress.com

Usai subuh, Hussein mengejutkan Ibrahim dan Malik untuk bergegas kesekolah. Sesekali kedengaran bunyi roket dan bom melintasi ruang udara. Tidak pernah sunyi. Namun, hidup harus diteruskan jua. Ibrahim sudah bangun dan cergas kedapur untuk bersarapan roti dan air yang disediakan ibu. Malik merengek dikaki Hussein. Beliau mencempung Malik, dipeluk erat, dipujuk-pujuk dan disapu air matanya. Sengaja Malik mahu bermanja dengan Hussein. Digeletek perut Malik, pecah tawanya bergaung di ruang rumah yang kosong.

Tepat jam 7 pagi. Booomm!

Berdentum bunyi bom jatuh dari pesawat Sukhoi yang melintas. Gelimat. Debu-debu dan serpihan bertebaran menerawang di angkasa Khan Shaykhun. Kedengaran raungan, hiruk-pikuk jeritan dan laungan meminta tolong.

Image result for khan sheikhoun

Hussein berdebar. Bersedia menyelamatkan anak dan isteri dari keadaan gawat. Bersedia membasahi kain dan menyediakan sumber air untuk melindungi mereka dari kesan gas klorin yang biasa dihantar. Ia akan menyebabkan kerengsaan pada hidung dan kepedihan pada mata jika dihidu. Gas klorin cuma berkesan dalam ruang lingkup yang kecil. Bersedia untuk lari!

Belum sempat untuk bersiaga Hussein terasa dunianya kelabu. Anak mata mengecil, tidak cukup cahaya masuk keretina. Matanya pedih. Hidungnya sakit dan berair, penuh dengan cecair. Air liur berjejeran tanpa dapat dikawal. Nafasnya sesak tersekat-sekat. Sarin! Itu saja yang tergambar dikotak fikir Hussein. Sarin!

Related image

Gas sarin yang tidak terlihat warnanya, tanpa bau, tanpa rasa adalah pembunuh senyap. Ia diserap tubuh dan melewati saraf. Sarin, sejenis organophosphate seperti agen VX (baca: Racun VX yang membunuh Kim Jong-Nam), adalah agen neurotoksin yang poten. Sarin akan menambat di enzim acetylcholinesterase dan menyebabkannya tidak berfungsi untuk mengurai neuropemancar acetylcholine di celahan sinaps neuron.

Image result for sarin gas effects

Akibatnya, neuropemancar acetylcholine akan membanjiri ruang antara neuron dan terus terusan mengaktifkan aktiviti neuron. Acetylcholine adalah neuropemancar yang mengawal sistem parasimpatetik tubuh seperti pernafasan, penghasilan saliva dan air mata, pengecutan otot licin dan pengecilan pupil mata.

Related image

Dalam keributan melawan sengsara. Nadi Hussein laju berdenyut, detak jantung tidak lagi seragam. Hussein menjerit. Anakku! Isteriku! Namun, suaranya hanya bergumam ditenggorokan. Dengan kepayahan menggerakkan otot yang mengejang, Hussein bergerak mencari anak dan isteri.

Dalam pandangan mata yang berbalam-balam, Hussein terlihat Ibrahim terbaring dengan secebis roti ditangan. Kedua-dua lengan dan kaki Ibrahim terkejang-kejang menggeletar. Mulutnya berbuih-buih tercungap-cungap menghirup udara. Matanya terbeliak kesakitan. Sengsara.

Related image

Malik kaku dalam pelukan ibunya. Tubuh kedua-dua mereka masih kejang. Namun, tidak terlihat lagi helaan nafas dan pergerakan mereka. Terlihat buih-buih kecil di sudut bibir. Air mata masih tersisa ditubir mata, mengalir perlahan di pipi isterinya yang mulus.

Hussein direnggut kesedihan yang dalam. Kebahagiaannya direntap sekelip mata. Namun, jauh disudut hati Hussein bersyukur kerana mereka tidak lagi menanggung sengsara.

Ibrahim… Ibrahim… Suara Hussein hanya menggumam di hati. Oksigen semakin berkurangan tiba di otak. Paru-paru mengembang kerana lambakan neuropemancar acetylcholine mengatifkan neuron untuk berterusan mengembangkan peparu. Pernafasan normal tidak lagi dapat dikawal. Air liur dan air hidung yang berjejeran memburukkan lagi situasi. Habis rongga pernafasan dipenuhi cecair. Menyukarkan lagi pernafasan.

Tangan dan kaki Hussein terketar-ketar. Kaku dan kejang tidak dapat lagi dikawal. Oksigen semakin berkurang. Air mata mengalir lesu.

Gelap. Kaku.

Semuanya berlaku dalam sepuluh minit. Andai sahaja penyelamat cepat bertindak, Hussein dan keluarganya mungkin dapat diselamatkan dengan adanya antidot seperti atropine dan pralidoxime yang akan merencat fungsi neuropemancar acetylcholine. Namun, dicelah kemiskinan dan kegawatan di Khan Shaykhun, Idlib… mana mungkin?

Malah, klinik berhampiran di kawasan keracunan gas sarin tersebut di bom dalam keributan merawat mangsa-mangsa yang dihantar kesana. Hospital berdekatan pula telah dibom sehari sebelumnya.

Image result for sarin gas effects

Cerita tentang Hussein dan keluarganya ini cuma fiksyen rekaan dari minda penulis. Namun, keadaan peperangan dan penggunaan gas sarin sebagai senjata kimia yang memusnahkan ratusan nyawa yang tidak berdosa bukan cerita rekaan. Ia telah meragut nyawa ratusan kanak-kanak seperti Ibrahim dan Malik di Ghouta, pada tahun 2013 dan Khan Shaykhun, Syria, baru-baru ini. Bilakah semua ini akan berakhir?

Untuk menghulurkan sedikit bantuan bagi meringankan beban saudara kita di Syria:

Syria Care Malaysia https://www.facebook.com/syria.care/

Save Syria! via Islamic Relief Malaysia https://www.facebook.com/IslamicReliefMalaysia/

sumber : rootofscience.com

Write a Comment

view all comments

*