2020 memperlihatkan penggunaan platform media sosial yang sangat tinggi. Platform-platform seperti Twitter, Facebook, TikTok, Snapchat dan sebagainya boleh dikatakan kini menjadi platform-platform pilihan pengguna untuk menghilangkan jemu.

Baru-baru ini, sebuah platform media sosial baru telah mula menunjukkan jumlah peningkatan dari segi pengguna, dan nama-nama besar dalam teknologi seperti Elon Musk, Satya Nadella dan sebagainya kini mempunyai akaun di platform eksklusif tersebut.

Didalam artikel ini, saya akan menceritakan sedikit sejarah aplikasi ini, pengalaman saya menggunakan aplikasi ini, dan bagaimana anda boleh mendapatkan sebuah akaun.

Apa Itu Clubhouse?

Seperti yang dikatakan sebelum ini, Clubhouse ialah platform media sosial terbaru yang memfokuskan kepada penggunaan panggilan digital, tidak kira secara berdua-duaan ataupun beramai-ramai.

Menariknya, walaupun nama Clubhouse melonjak sejak beberapa minggu ini, ia hadir ke pasaran secara rasmi sekitar awal tahun 2020, di waktu yang sama apabila wabak COVID-19 semakin meningkat secara global.

Keunikannya hadir melalui cara aplikasi ini digunakan. Semua chatroom didalam Clubhouse adalah sementara, dan dimulakan oleh satu orang. Beberapa orang boleh berbual didalamnya, dan perbualan ini boleh didengari oleh sejumlah besar pengguna yang memasuki chatroom tersebut.

Setakat ini, kita tahu bahawa sebuah chatroom Clubhouse boleh menampung 5000 orang, dan ia dimaksimakan oleh pengasas Tesla, Elon Musk beberapa minggu lepas, dimana juga adalah diantara penyebab orang ramai mula menggunakan Clubhouse.

Bagaimana Untuk Mendapatkan Akaun Clubhouse?

Buat masa ini, satu-satunya cara untuk mendapatkan sebuah akaun Clubhouse ialah melalui jemputan seperti akaun GMail apabila Google memperkenalkannya pada tahun 2004.

Selain daripada itu, Clubhouse juga merupakan aplikasi eksklusif di peranti iPhone yang menggunakan sistem operasi iOS 13 dan keatas, dan jemputan ini hanya boleh dihantar menggunakan iMessage.

Melalui jemputan ini, penerima boleh mengetik pautan yang akan membawa mereka ke App Store untuk memuat-turun aplikasi ini, dan mendaftar akaun Clubhouse menggunakan nombor telefon mereka.

Setelah itu, pengguna boleh menyambungkan akaun Clubhouse mereka kepada Twitter dan Instagram, dan mereka boleh mula mengikuti sesiapa sahaja didalam platform tersebut.

Penggunaan aplikasi ini adalah percuma, tetapi jika anda benar-benar inginkan sebuah akaun Clubhouse ini sekarang, selain daripada memintanya dari rakan-rakan anda yang mempunyai jemputan, anda boleh membelinya di Shopee pada harga RM60.

Menggunakan Clubhouse

Chatroom didalam Clubhouse boleh dimulakan secara terbuka, ataupun tertutup untuk rakan-rakan sahaja, tetapi secara ringkasnya, anda boleh fikirkannya sebagai sebuah bilik borak audio sahaja yang boleh dimasuki oleh sesiapapun, tetapi perbualan didalam bilik-bilik ini tidak boleh dirakam secara konvensional.

Menggunakan aplikasi ataupun perakam parti ketiga, perbualan ini masih boleh dirakam, sepertimana perbualan Elon Musk dengan 5000 pengguna telahpun dimuat-naik ke YouTube, akan tetapi ia adalah sesuatu yang boleh dikatakan agak memakan masa dan tenaga.

Didalam Clubhouse, bilik-bilik perbualan ini juga adalah bersifat sementara, dan akan ditutup selepas fasilitator bilik-bilik ini semuanya meninggalkan bilik tersebut.

Perbualan masih boleh berjalan walaupun aplikasi berada di latar belakang, tetapi kelemahan utama disini ialah anda hanya boleh menggunakan peranti iPhone untuk menggunakannya.

Aplikasi ini boleh dimuat-turun di iPad, tetapi penggunaannya terhad kepada satu peranti untuk satu akaun buat masa ini.

Keunikan Clubhouse

Kesemua platform media sosial mempunyai keunikannya sendiri. Twitter hadir dengan garis masa yang mudah difahami, dan bergantung kepada cara penggunaannya, adalah sebuah platform atas-talian yang memudahkan penjejakan trend, menggunakan tagar (tanda pagar) dan sebagainya.

Bagi Clubhouse, keunikan platform ini adalah ia boleh digunakan sebagai sebuah platform berborak atau berbincang menggunakan audio bersama-sama dengan rakan-rakan ataupun orang asing secara berseorangan ataupun beramai-ramai.

Secara teknikalnya, kebolehan Clubhouse untuk menampung seramai 5000 orang dalam satu chatroom pada satu masa membolehkan organisasi-organisasi mengadakan acara persidangan (secara audio) secara besar-besaran.

Sesi borak juga boleh ditetapkan terlebih dahulu, dan orang ramai boleh melihatnya melalui bahagian papan buletin yang terbina didalam aplikasi ini.

Pengguna Clubhouse juga boleh berkongsi pautan chatroom bersama-sama pengguna lain melalui platform Twitter ataupun Instagram dengan “cepat dan mudah”, kerana aplikasi ini tidak menawarkan ciri permesejan secara teks.

Perbualan didalam chatroom-chatroom ini adalah seperti sesi lepak di kedai mamak dimana seberapa ramai orang boleh mendengar dan memberi pendapat kepada sesiapa, dan apabila sesi lepak tersebut tamat, ia habis seperti itu sahaja, sama seperti apabila kita kembali ke rumah masing-masing apabila sesi perbualan tamat.

Sesi-sesi borak di Clubhouse ini juga boleh ditetapkan terlebih dahulu, dan akan sebuah notifikasi akan hadir melalui bahagian acara

Masa hadapan Clubhouse

Apa yang menarik mengenai Clubhouse ialah ia adalah sebuah platform media sosial yang memfokuskan perbualan mengikut topik-topik kesukaan anda.

Ciri carian Clubhouse membolehkan anda mencari bilik-bilik yang berkaitan dengan topik yang menarik minat anda, dimana anda juga boleh menyertai kumpulan-kumpulan dimana notifikasi akan dihantar kepada anda sekiranya terdapat ahli-ahli yang memulakan perbincangan mereka.

Platform ini kini cukup popular yang nama-nama besar didalam industri teknologi dan sebagainya mempunyai akaun mereka tersendiri, dan mereka boleh membuka bilik chatroom bila-bila masa sahaja, dan ia pastinya akan dipenuhi dalam masa yang singkat.

Di era COVID-19 yang semakin mencabar ini, dimana penjarakan sosial ialah sesuatu yang ditekankan dan orang ramai tidak boleh diterbangkan kemana-mana, syarikat-syarikat seperti Microsoft, Google dan Zoom yang menawarkan perkhidmatan ini telah memperlihatkan penggunaan yang tinggi pada tahun lalu.

Maka ia tidak hairanlah bahawa Clubhouse, sebuah aplikasi eksklusif yang menawarkan cara berkomunikasi secara audio semakin popular penggunaannya kebelakangan ini, walaupun ia hanya ditawarkan melalui peranti iPhone, dan anda perlu mendapatkan jemputan daripada orang lain untuk mendapatkan sebuah akaun.

Walaupun begitu, jika anda bertanyakan pendapat saya, populariti aplikasi ini akan menurun dengan mendadak sekiranya pembangun Clubhouse tidak melakukan perubahan yang drastik untuk memastikan kemaslahatan platform mereka.

Pertama ialah untuk membuka platform ini kepada pengguna-pengguna sistem operasi lain, khususnya Android. Pembangun Clubhouse berkata bahawa mereka sedang bertungkus-lumus untuk membangunkan aplikasi untuk Android, tetapi samada mereka boleh menyiapkannya sebelum orang ramai menjadi bosan dengan aplikasi ini tidak diketahui lagi.

Populariti Clubhouse juga telah menjadikannya sasaran untuk kerajaan China, yang kini mencari apa-apa sahaja alasan untuk mengharamkan penggunaan platform media sosial dari Amerika Syarikat, walaupun pelbagai teknologi yang digunakan didalam platform ini dilaporkan hadir melalui pembangun-pembangun teknologi China.

Ini telah menutup Clubhouse kepada pasaran teknologi terbesar di dunia begitu sahaja, dan untuk kekal relevan, tugas utama mereka ialah untuk membuka platform ini kepada seramai pengguna yang mungkin.

Bukan itu sahaja, Clubhouse juga harus menambah ciri-ciri tambahan kepada platform mereka, seperti sokongan untuk kumpulan terbuka dan tertutup, sokongan log masuk menggunakan emel, ciri moderasi yang lebih mendalam dan sebagainya.

Dari segi keselamatan pengguna, Clubhouse nampaknya telah memperkenalkan ciri melaporkan pengguna kepada pihak pembangun supaya tindakan boleh diambil sekiranya mereka merasakan pengguna sedang membuat kacau didalam chatroom mereka.

Buat masa ini, jemputan untuk menggunakan Clubhouse sebenarnya banyak diberi kepada pengguna-pengguna sedia ada di platform ini, jadi nasihat saya ialah jika anda berminat untuk mencuba platform ini, anda boleh sahaja memintanya dari rakan-rakan yang sudahpun menggunakannya, dan tidak perlu membayar sejumlah wang yang banyak untuk mendapatkan akses kepadanya.

Sumber : amanz.my

By neto

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.