Sejarah & Pemahaman Asas Wabak Novel Coronavirus 2019

Oleh : Dr Onn Azli Puade

Dalam kehidupan seharian seseorang manusia, kita sentiasa mempunyai risiko untuk terdedah kepada beberapa jenis mikroorganisma yang boleh menjangkiti diri kita. Mikroorganisma ini adalah juga sejenis hidupan, dan fitrah sesebuah kehidupan itu salah satunya adalah untuk membiak demi memastikan kelangsungan spesis itu berkekalan dan tidak mengalami kepupusan.

Beberapa mikroorganisma ini akan memerlukan satu lagi organisma yang lebih besar untuk mereka dapatkan sebanyak mungkin sumber tenaga dan nutrisi, dan membolehkan mereka membiak dengan pantas. Akan tetapi, untuk organisma yang dijangkiti, atau kita kenali sebagai hos, sesuatu hos itu akan mengalami perubahan fisiologi tubuh badan mereka, sesuatu yang kita kenali sebagai patologi, atau penyakit.

Saiz perbezaan diantara beberapa jenis mikroorganisma yang boleh menjangkiti manusia – Riverabiology

Dalam membincangkan mengenai mikroorganisma yang boleh menjangkiti manusia, jika kita susunkan satu persatu melalui saiz, prion, iaitu sejenis protein yang boleh menyebabkan penyakit kepada manusia merupakan ejen yang paling kecil, namun, para saintis tidak dapat membuktikan lagi mengenai adakah prion itu merupakan satu organisma hidup? Akan tetapi, mikroorganisma yang kedua terkecil kita kenali sebagai virus.

Dunia perubatan yang mempunyai kemajuan dengan penciptaan dan pencapaian teknologi untuk mengubati dan mengelakkan seseorang itu mendapat penyakit masih lagi mempunyai kejayaan yang sangat kecil daripada segi menghasilkan ubat-ubatan yang boleh merawat jangkitan virus. Berlainan dengan bakteria yang mana kita kini mempunyai pelbagai jenis antibiotik untuk merawatnya, ubat-ubatan antivirus pula amat sedikit jumlahnya jika kita ingin membuat perbandingan.

Demam selsema yang sebegitu biasa dan dialami oleh hampir semua manusia di dunia ini pada satu masa juga masih tidak kita temui ubat untuk mengubatinya. Apa yang selalunya diberikan oleh pegawai perubatan yang merawat ini hanyalah ubat-ubatan daripada segi merawat gejala yang dialami pesakit sahaja seperti ubat selsema, ubat batuk dan ubat demam. Hujungnya, kita masih mengharapkan sel darah putih kita untuk terus menerus menghasilkan antibodi untuk membunuh virus yang menjangkiti diri seseorang pesakit itu.

Sekarang, mari kita ke konsep yang kita kenali sebagai zoonosis, iaitu sejenis penyakit yang dipindahkan melalui haiwan kepada manusia. Daripada penyakit yang disebabkan oleh Human Immunodeficiency Virus, virus Ebola selesema burung, demam kepialu dan yang terbaru, coronavirus merupakan jenis penyakit berjangkit yang dibawa oleh haiwan kepada manusia. Sebenarnya, jangkitan coronavirus ini bukanlah merupakan satu penyakit berjangkit yang baru. Sejak tahun 2003 lagi kita ketahui bahawa coronavirus berpotensi untuk menjadi penyakit zoonosis yang mempunyai kebolehan untuk berpindah daripada haiwan kepada manusia.

Contoh-contoh penyakit zoonosis – Francoois Louis Roger di laman web Researchgate

Artikel Berkaitan : Penyakit Daripada Haiwan Kepada Manusia

Artikel Berkaitan  : Pengasingan & Pengecaman Bakteria Dalam Perut Cecadu Pisang

Untuk manusia yang sihat dan tiada sejarah apa-apa penyakit, jangkitan yang disebabkan oleh coronoavirus ini, ataupun terminologi yang lebih tepat, iaitu Human coronaviruses (HCoVs) hanya boleh menyebabkan gejala demam selsema sahaja. Namun, di zaman moden ini, 2 serangan yang berlaku iaitu severe acute respiratory syndrome coronavirus (SARS-CoV) dan Middle East respiratory syndrome coronavirus (MERS-CoV) mulai mendapat perhatian daripada masyarakat di seluruh dunia kerana penyakit ini meningkatkan kadar kematian yang agak tinggi berbanding sebelum ini.

Namun, penyakit MERS-Cov ini mulai reda untu beberapa tahun yang lepas. Keredaan ini adalah kerana antibodi terhadapa penyakit ini mulai terbentuk di kalangan manusia. Mana-mana manusia yang dijangkiti virus ini akan sembuh tanpa ada apa-apa komplikasi yang teruk. Juga, antibodi yang terbina ini juga mengurangkan risiko penyebaran virus ini kepada orang lain. Untuk masa tersebut, kita mulai rasa bersyukur kerana penularan penyakit ini menjadi rendah sehinggalah beberapa minggu yang lepas di mana satu jenis virus, dalam kumpulan HCoVs ini sendiri mulai menjangkiti manusia dan kematian akibat penyakit ini berlaku dengan begitu pantas.

Pada bulan Disember tahun 2019, pesakit yang masuk ke hospital, di mana kebanyakkan mereka berasal daripada Wuhan, China mula menyebabkan masyarakat panik kerana kadar kematian dan prognosis untuk mana-mana pesakit yang dijangkiti oleh virus ini amat buruk. Usaha untuk mengepung dan mengasingkan pesakit-pesakit ini daripada membolehkan pesakit-pesakit ini keluar daripada Wuhan kelihatan terlalu lambat kerana kes demi kes yang dilaporkan mulai menjangkiti masyarakat di seluruh dunia.

Tangkap layar laman web Business insider – sumber gambar daripada kevin Frayer, Getty Images

Apa yang memburukkan lagi keadaan adalah apabila penularan wabak ini terjadi apabila masyarakat di sana bersedia untuk menyambut sambutan tahun baru Cina. Ada yang sanggup melakukan apa sahaja asalkan dapat bersama keluarga semasa perayaan tersebut walaupun mereka telah diberitahu mengenai risiko yang bakal berlaku kepada mereka semua. Apa yang lebih memburukkan lagi keadaan adalah tindakan kerajaan China sendiri yang sibuk menangkap mana-mana penulis yang menulis mengenai kes penularan wabak penyakit ini, bukannya untuk merancang strategi dan langkah-langkah yang perlu untuk menangani masalah ini. Saya walau bagaimanapun enggan mengulas lebih panjang mengenai tindakan kerajaan China ini.

Sudah tentu anda hairan bukan? Mengapakah virus daripada kumpulan yang sama, yang sebelum ini pernah berlaku dan sudahpun berjaya ditangani menyebabkan kematian dan prognosis yang buruk pula? Apa yang berubah? Adakah sistem imuniti manusia ini menjadi rendah di zaman moden ini? Sebelum kita menjawab persoalan-persoalan demikian, mari kita cuba fahami terlebih dahulu mengenai beberapa terminologi yang seringkali digunapakai dalam mana-mana artikel yang membuat liputan terhadap kes ini.

Apabila anda membuka mana-mana laman web perubatan, anda akan dapati bahawa para doktor menamakan spesis yang mula menyerang manusia ini sebagai novel-coronavirus atau dipanggil dengan singkatan 2019-nCoV. Pasti anda tertanya-tanya mengenai perkataan novel itu bukan? Maksud terminologi novel yang digunapakai dalam perubatan adalah baru dan tidak pernah diketahui sebelum ini. Dalam kes ini, walaupun saya telah mengatakan bahawa sebelum ini terdapat kes yang sama, namun, apa yang berjaya diketahui oleh para saintis yang membuat penyelidikan terperinci sejak daripada kemunculan wabak ini adalah jangkitannya memang disahkan berasal daripada keluarga coronavirus, namun, mempunyai perbezaan daripada segi struktur RNA (genetik) serta potensinya untuk menyebabkan seseorang pesakit itu maut.

Taburan kes 2019-nCoV di Asia diambil pada 25 Januari 2020 – Laman web ECDC

Sejak kali pertama diketahui lagi, iaitu pada bulan Disember 2019 sehingga pada hari penulisan ini dibuat, iaitu pada 25 Januari 2020, laman web European Centre for Disease Prevention and Control atau ECDC melaporkan bahawa terdapat 1350 pesakit yang telah disahkan menghidapi jangkitan 2019-nCoV iaitu di China (1 323), Taiwan (3), Jepun (2), Korea Selatan (2), Thailand (5), Singapura (3), Vietnam (2), Nepal (1), Malaysia (1), Australia (1), Amerika Syarikat (2) dan Perancis (3).

Kesemua pesakit-pesakit ini telah diketahui bahawa mereka mempunyai sejarah lawatan ke negara China kecuali 2 orang pesakit yang berasal daripada Vietnam. Setakat hari ini, jumlah kematian yang disebabkan 2019-nCoV ini mencapai 41 orang, kesemuanya daripada China. Salah satu lagi badan organisasi mengenai perubatan dunia, World Health Organization (WHO) masih tidak lagi membuat keputusan untuk mengumumkan wabak penyakit ini sebagai darurat (global emergency) setakat 25 Januari 2020.

Pelbagai persoalan timbul mengenai virus ini seperti asal kewujudannya, bagaimana cara virus ini merebak, haiwan jenis apa yang membawa virus ini dan siapakah orang yang mempunyai potensi yang tinggi untuk mendapat penyakit-berjangkit ini. Kebanyakkan persoalan hanya mampu dijawab dengan teori dan hipotesis sahaja setakat ini, dan masih lagi belum betul-betul disahkan. Apa pun, mari kita baca satu per satu mengenai pekara yang telahpun disahkan mengenai 2019-nCoV.

Untuk pengetahuan anda, perkataan corona dalam nama coronavirus ini sebenarnya diambil daripada struktur gas yang menyelaputi matahari dan bintang yang lain. Dalam keadaan biasa, bahagian corona ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar kerana cahaya yang dikeluarkan daripada matahari ini sendiri terlalu terang sehingga menyebabkan kita tidak dapat melihatnya dengan jelas.

Namun, semasa gerhana matahari, saat bulan berada dalam satu garisan diantara bumi dan matahari, bahagian corona ini akan kelihatan dengan lebih jelas. Bentuk coronavirus ini yang bulat, dan terdapat banyak ‘duri-duri’ yang mana sebenarnya adalah terdiri daripada sejenis protein kelihatan hampir sama dengan bahagian corona ataupun crown. Jika virus ini berasal daripada Malaysia, pasti kita akan menamakannya sebagai durianvirus, rambutanvirus, pulasanvirus, landaklautvirus atau landakvirus bukan?

Pembahagian jenis-jenis coronavirus – Wanbo Tai at Researchgate.net

Daripada segi genetik atau kategori untuk coronavirus ini sendiri, spesis ini dibahagikan kepada 4 jenis, iaitu alpha, beta, gamma dan delta. Jenis yang mempunyai tendensi untuk menjangkiti manusia adalah daripada kumpulan alpha dan beta sahaja. 2019-nCoV berasal daripada kumpulan beta-coronavirus. Cara virus ini merebak adalah melalui udara dan untuk jangkitan virus-virus sebelum ini (tidak termasuk SARS-CoV dan Mers-CoV) ianya merupakan jangkitan yang agak biasa (common) untuk menyebabkan gejala demam selsema di seluruh dunia, merangkumi lebih kurang 30 peratus daripada jumlah kes ini secara keseluruhannya.

Namun, dalam penyelidikan yang dilaksanakan oleh pakar mikrobiologi, mereka mendapati struktur 2019-nCoV mempunyai persamaan diantara 70 hingga 99 peratus dengan SARS-CoV. Mengapa julatnya begitu tinggi perbezaannya iaitu sebanyak 29 peratus? Hal ini adalah kerana genetik yang dimiliki oleh virus ini selalunya tidak konsisten dan mempunyai perbezaan yang amat tinggi walaupun mereka datang daripada keluarga yang sama.

Anda juga perlu fahami bahawa perbezaan dalam peratusan rendah sedemikian amat signifikan dalam prognosis dan kadar kematian pesakit. Perbezaan sebanyak 1 peratus, jika kita letakkan daripada aspek genetik amat ketara perbezaannya. Manusia mempunyai perbezaan genetik 1 peratus dengan chimpanzee dan 2 peratus dengan gorilla. Nampak tak betapa besarnya perbezaan itu?

Untuk 2019-nCoV, cara jangkitannya hampir sama dengan Mers-CoV iaitu kemampuannya untuk menembusi bahagian paru-paru manusia jauh lebih dalam. Berdasarkan laporan WHO yang bertarikh 23 Januari 2020, kadar kematian akibat penyakit ini berada pada peringkat rendah, iaitu sebanyak 4 peratus. Walau bagaimanapun, kita harus fahami bahawa untuk masa ini, wabak ini berada pada tahap permulaan sahaja. Apa yang menakutkan adalah daripada segi peratusan mangsa yang terkena jangkitan 2019-nCoV ini meningkat dengan pantas.

Anda bayangkan sahajalah, pada 23 Januari, seramai 581 orang dijangkiti virus ini, dan sehari selepas itu, jumlah mangsa meningkat kepada 900 orang dan pada hari ini (25 Jan), jumlahnya kini seramai 1350 orang. Juga, mangsa daripada pelbagai negara lain juga bertambah. Terdapat beberapa perbezaan yang menjadikan 2019-nCoV tidak sama dengan coronavirus sebelum ini. Hal ini adalah kerana sifat virus ini yang amat licik dalam memperdayakan sistem imuniti badan kita disamping mempunyai kelebihan yang kita kenali sebagai konsep antigenic-shift dan antigenic-drift.

Konsep antigenic-drift dan antigenic-shift – BBC News

Mengikut kenyataan Datuk Dr Rushdan Noor, dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 24 Januari 2020, 2019-nCoV merupakan salah satu contoh terbaik untuk menunjukkan keupayaannya untuk menjalani proses antigenic-shift. Hal ini adalah kerana seperti yang kita ketahui, penyakit ini telahpun dikategorikan sebagai sejenis penyakit zoonosis. Proses antigenic-shift ini membolehkan virus ini menjangkiti spesis lain dari masa ke semasa dan kini, telah sampai masanya untuk virus ini menjagkiti manusia pula. Pasukan penyelidik sememangnya akan cuba mencipta satu jenis vaksin, khusus untuk menangani wabak penularan virus ini.

Selalunya, selepas beberapa ketika, kes-kes jangkitan 2019-nCoV akan mulai reda. Gabungan antibodi manusia dan penciptaan vaksin yang baru kelak akan meletakkan masyarakat dunia dalam keadaan selamat, khususnya untuk menangani wabak 2019-nCoV. Akan tetapi, sama seperti virus influenza, 2019-nCoV akan mengalami proses antigenic-drift pula. Ini bermaksud, antibodi yang dihasilkan secara semulajadi melalui sistem imuniti kita sendiri mahupun dengan bantuan vaksin akan menjadi tidak berkesan pula. Untuk pengetahuan anda, hal yang saya tuliskan mengenai antigenic-drift merupakan salah satu hipotesis dan teori yang dikongsikan oleh para saintis yang terlibat dan mempunyai kepakaran dalam bidang penyakit berjangkit.

ASPEK KLINIKAL CORONAVIRUS

Gejala penyakit mengikut garisan masa – Imej oleh C.Huang Et Al untuk Lancet 2020

Apa yang menjadikan ramai mangsa menjadi semakin teruk apabila dijangkiti dengan 2019-nCoV ini adalah kerana gejala yang dialami oleh pesakit-pesakit ini tidak spesifik dan kelihatan seperti demam selsema biasa sahaja. Gejala-gejala ini juga membuatkan para perawat untuk menganggap apa yang dihadapi oleh pesakit-pesakit ini tidak serius pada awalnya. Namun, kita harus bersyukur kerana berita penularan wabak ini tersebar dengan pantas, dan seterusnya meletakkan pesakit dan perawat untuk berada dalam keadaan lebih berjaga-jaga,

Selalunya, gejala penyakit akan bermula seawal 2 hingga 14 hari selepas dijangkiti virus ini. Jangkitan tanpa ada apa-apa gejala ini kita gelar sebagai incubation period. Untuk kes 2019-nCoV ini, pesakit akan mendapat gejala seperti demam, batuk, selesema, dan keletihan. Akan tetapi, gejala ini akan bertukar menjadi semakin teruk dengan begitu pantas kepada kesukaran untuk bernafas dan memerlukan kemasukkan ke hospital dengan cepat.

Gejala ini dikenali sebagai Acute Respiratory Distress Syndrome, ARDS yang seringkali menjadi punca kematian seseorang pesakit. Mana-mana pesakit yang dimasukkan ke hospital dengan lebih awal mempunyai risiko kematian yang lebih rendah memandangkan mereka akan terus dibawa ke unit rawatan rapi atau ICU yang dilengkapi dengan alat bantuan pernafasan artifisial, atau ventilator. Untuk pesakit yang mengalami gejala-gejala sebegini, namun melewatkan diri untuk mendapatkan rawatan mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk maut.

Bagaimana pula dengan rawatan 2019-nCoV di hospital di setakat ini? Seperti yang saya nyatakan di atas, jangkitan 2019-nCoV ini tiada rawatan peyembuhan. Apa yang ada hanyalah rawatan sokongan dalam bentuk ubat-ubatan untuk mengurangkan keradangan pada saluran pernafasan pesakit dan batuan pernafasan. Pesakit-pesakit ini akan diletakkan di dalam wad isolasi memandangkan sehingga kini, cara penyakit ini merebak masih lagi tidak disahkan, namun, kebanyakkan pusat perubatan dan hospital mengambil langkah dan kaedah yang sama seperti ketika penularan wabak Mers-CoV beberapa tahun yang lepas, iaitu melalui udara.

Punca kemunculan penyakit ini juga masih lagi tidak dapat disahkan. Untuk wabak yang bermula daripada Wuhan ini, mereka mendapati kebanyakkan pesakit ini mendapat jangkitan selepas mereka mengunjungi pasar yang menjual makanan laut dan haiwan hidup. Juga, disebabkan peningkatan kes yang berlaku kepada pesakit yang tidak pernah mengunjungi tempat jualan haiwan dan makanan laut, terdapat 2 kemungkinan di sini iaitu sama ada asal usul penyakit ini bukanlah daripada pasar makanan laut dan haiwan hidup, ataupun sememangnya penyakit ini berasal daripada pasar yang menjual makanan laut dan haiwan hidup, namun pesakit-pesakit lain yang tidak pernah ke tempat tersebut mendapat jangkitan virus ini daripada pesakit lain. Untuk tempat ini, kerajaan China telahpun menutup pasar Huanan yang terletak di Wuhan, berkuatkuasa bermula 1 Januari 2020.

Pasar Huanan ditutup mulai 1 Januari 2020 – Jelly News

Ada juga yang mengatakan bahawa virus ini berasal daripada haiwan-haiwan eksotik yang dijadikan sebagai makanan buat segolongan manusia seperti kelawar, ular, musang dan lain-lain. Hal ini adalah kerana SARS-CoV dipercayai berasal daripaa kelawar dan menjangkiti haiwan lain seperti anjing dan musang sebelum penyakit ini menjangkiti manusia. Juga, Mers-CoV didapati berasal daripada kelawar, yang kemudiannya dipindahkan kepada unta sebelum kepada manusia. Satu kertas kajian yang diterbitkan oleh Journal of Medical Virology bertarikh 22 Januari mengatakan bahawa terdapat sedikit sebanyak petunjuk yang mendapati bahawa kelawar merupakan haiwan yang bertanggung jawab sekali lagi sebagai pembawa asal 2019-nCoV ini.

Namun, anda harus fahami bawah pengesahan asal-usul seseuatu penyakit ini akan mengambil masa yang agak panjang untuk mengesahkannya. Namun, apa pun, lebih baik kita jauhkan diri buat masa ini kepada tempat-tempat tersebut, selaras daripada nasihat yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia, KKM.

Gambar perkongsian daripada KKM oleh Infografik Bernama

Memegang pada konsep mencegah lebih baik daripada mengubati, pihak KKM mengeluarkan banyak nasihat dan kaedah untuk mengurangkan risiko seseorang itu daripada mendapat penyakit ini. Antaranya termasuklah:

  1. Mencuci tangan dengan sempurna menggunakan sabun mahupun hand-sanitizer
  2. Memakai penutup mulut dan hidung
  3. Mengelakkan daripada berjumpa dengan orang lain yang mempunyai gejala selesema, batuk dan demam.
  4. Mengelakkan diri daripada berkunjung ke ladang haiwan, pasar dan tempat sembelihan haiwan
  5. Mengelakkan diri daripada memakan makanan yang mentah atau tidak dimasak dengan sempurna
  6. Mendapatkan rawatan sekiranya terdapat gejala demam, batuk atau selesema dalam tempoh 14 hari daripada lawatan.
  7. Menangguhkan perjalanan ke Wuhan, China buat sementara waktu kecuali sekiranya ada urusan yang tidak boleh dielakkan. Untuk itu, langkah-langkah pencegahan perlu dilakukan sejurus selepas pulang ke Malaysia.

Jadi, sebagai kesimpulannya, kita seharusnya meletakkan diri dalam keadaan berjaga-jaga serta mengikuti nasihat yang diberikan oleh para pegawai perubatan dalam usaha untuk menangani masalah berkaitan 2019-nCoV ini. Dapatkan rawatan dengan segera sekiranya anda mengalami apa-apa gejala penyakit yang telah disebutkan di atas. Semoga penularan wabak penyakit ini berjaya kita tangani dengan kadar segera.

RUJUKAN

  1. Statistik kemaskini kes berkaitan 2019-nCoV
  2. Maklumat berkaitan dengan 2019-nCoV oleh CDC
  3. Perbincangan antara wakil WHO daripada seluruh dunia mengenai wabak penyakit ini
  4. Kajian berkaitan gejala penyakit dan komplikasi 2019-nCoV
  5. Makluman Ketua Pengarah Kesihatan kepada media tempatan

Kredit Foto : gard

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.