Seminar Kembara Sains Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, UKM: Chem-E-Car (KEMia)

Oleh: Dr. Masli Irwan Rosli

Terengganu, 1 APRIL 2018 – Program Kejuruteraan Kimia dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, UKM, telah menghantar sekumpulan wakil ke SMK Banggul, Kemaman, Terengganu untuk menganjurkan Seminar Kembara Sains: Chem-E-Car (KEMia).

Objektif utama Seminar Kembara Sains: Chem E Car (KEMia) ini adalah sebagai wadah meningkatkan kualiti dan minat murid-murid sekolah menengah dalam pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) bagi menceburi bidang sains dan teknologi. Program ini diadakan bersempena dengan pertandingan Chem-E-Car National Competition yang berlangsung di Kolej Universiti TATI, Terengganu yang mana UKM telah menghantar beberapa pasukan sebagai wakil dalam pertandingan ini.

Pelajar-pelajar Program Kejuruteraan Kimia (PKK) yang menyertai pertandingan Chem-E-Car tersebut telah dibawa ke SMK Banggol bagi menjadi fasilitator kepada murid-murid sekolah dari segi menerangkan prinsip pertandingan Chem-E-Car dan membantu murid-murid membina kereta mereka dan seterusnya membimbing mereka bagi mencuba menggerakkan kereta Chem-E-Car menerusi pertandingan sesama mereka. Usaha sebegini adalah untuk menerapkan rasa tanggungjawab dalam diri pelajar UKM dalam membantu komuniti iaitu murid-murid sekolah agar murid-murid tersebut dapat menghargai apa yang mereka pelajari dalam di sekolah khususnya subjek yang melibatkan sains. Selain itu, interaksi antara pelajar universiti dan murid sekolah adalah lebih harmoni memandangkan murid-murid sekolah melihat pelajar-pelajar universiti ini sebagai idola mereka. Dengan itu, jurang perbezaan antara mereka dapat dikurangkan dan ini seterusnya mampu mencetuskan suasana pembelajaran tak langsung dan pengalaman yang menyeronokkan.

Untuk makluman, hanya terdapat satu kelas aliran sains sahaja di SMK Banggol, oleh itu, kesemua murid dari tingkatan 4 dan 5 telah menyertai program KEMia ini dan telah dijalankan dalam Dewan Seri Banggol yang terletak dalam kawasan sekolah tersebut. Seramai lebih kurang 40 murid-murid dan 5 orang guru telah bersama-sama menjayakan program KEMia ini. Kesemua murid-murid telah dibahagikan kepada 10 kumpulan dengan setiap kumpulan dibimbing oleh beberapa pelajar UKM sebagai fasilitator. AJK program KEMia juga telah mengambil kesempatan semasa program KEMia ini berjalan di sana untuk mendapatkan maklum balas daripada murid-murid SMK Banggol terhadap keberkesanan program KEMia ini dalam usaha memupuk minat mereka dalam pendidikan STEM.

Justeru, program KEMia ini diharap dapat membuatkan murid-murid sekolah merasai bidang sains adalah suatu bidang yang menyeronokkan dan seterusnya berminat untuk menceburi bidang STEM. Selain itu, hubungan kemasyarakatan melalui khidmat komuniti antara pihak universiti dan sekolah dapat dieratkan menerusi program sebegini.

Wakil SMK Banggol menyambut rombongan dari UKM dan memberikan taklimat kepada murid-murid. Wakil UKM, Dr. Darman Nordin memberikan taklimat ringkas berkenaan program. Wakil pelajar Program Kejuruteraan Kimia memberikan taklimat berkenaan Chem-E-Car dan aktiviti program. Murid-murid sedang membina kereta Chem-E-Car dengan bantuan pelajar UKM. Murid-murid sedang menggerakkan kereta Chem-E-Car. Murid-murid kelihatan gembira ketika membina kereta Chem-E-Car dengan bantuan pelajar UKM. Murid-murid diraikan dengan pemberian hadiah oleh Ketua Program Kejuruteraan Kimia merangkap penasihat program, Prof. Ir. Dr. Siti Rozaimah Sheikh Abdullah disaksikan oleh wakil pengurusan sekolah. Bergambar kenangan antara rombongan UKM dan murid-murid dan guru dari SMK Banggol.

Write a Comment

view all comments

*