Seorang Bapa Membina Kereta Lamborghini Untuk Anaknya Daripada Bahan Pencetakan 3D

Harga sebuah kereta Lamborghini mampu mencecah jutaan ringgit, namun sekiranya anda seorang yang berkemahiran, anda mungkin boleh membinanya pada kos harga yang lebih rendah. Itu yang terjadi kepada seorang ahli fizik di Colorado, A.S yang membina sebuah Lamborghini Aventador untuk anaknya hasil daripada cetakan 3D.

Sterling Backus merupakan seorang ahli fizik dan profesor di Colorado State University, yang mana turut diketahui mempunyai minat yang tinggi dalam dunia permotoran kereta. Idea untuk membina sebuah Lamborghini ini tercetus apabila beliau bermain permainan Forza Horizon 3 bersama anaknya.

Proses awal pembinaan kereta ini adalah dengan melakar rekabentuknya melalui SolidWorks, iaitu sebuah perisian CAD yang dapat menghasilkan model 3D. Kemudian, Sterling akan menggunakan bantuan pencetak 3D untuk membolehkan beliau membina bahagian luaran dan dalaman kereta.

Untuk menjimatkan perbelanjaan, Sterling tidak menggunakan pencetak 3D bersaiz kereta untuk membinanya. Sebaliknya, beliau menggunakan pencetak QIDI Xpro yang bernilai $650 (bersama dua pencetak 3D berkos rendah) untuk membina sejumlah badan kereta. Beberapa panel 3D dicetak dalam beberapa keratan, dan kemudian ditampal melalui pelekat ‘methyl methacrylate’ untuk mendapatkan binaan yang kukuh dan tidak mudah tertanggal.

Di dalam bahagian enjin, Sterling mengambil enjin GM LS1 5.7-liter daripada Chevy Corvette 2003 untuk ditempatkan pada ruangan enjin Lamborghini Aventador replika ini. Beliau juga memastikan kereta ini mempunyai fungsi seumpama kereta sebenar, seperti kebolehan tingkap yang boleh diturunkan secara automatik bersama kawalan untuk penyaman udara.

Sterling mengatakan kos penghasilan kereta ini memakan kos sekitar $20,000, iaitu kira-kira 5% daripada harga sebenar kereta ini di sana. Walau bagaimanapun, beliau mengatakan banyak lagi perkara yang perlu dilakukan, seperti mengemaskan lagi rekaannya, sebelum kereta ini dapat digunakan.

Sumber : amanz.my

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.