Serangan Jantung

Oleh : Mahamad Fauzi Ab. Razak

Baru-baru ini akhbar tempatan melaporkan penyanyi tersohor negara, Dato’ Hattan dimasukkan ke hospital kerana jantung tersumbat. Rasa sakit di bahagian dada dan kebas di bahagian tangan menyebabkan isteri Dato’ Hattan mengejarkannya ke hospital bagi mendapatkan bantuan dan rawatan. Tidak dapat tidak dinafikan tindakan pantas isterinya telah menyelamatkan nyawanya. Di sebalik itu, bukan semuanya bernasib baik sebagaimana pelantun lagu “Rendang tak berbuah” ini. Ramai selebriti terkenal yang menghabiskan hayat akibat serangan jantung. Antaranya artis tanah air kita sendiri seperti Hani Mohsin (2006), Shamrin, vokalis kumpulan Fotograf (2010), Mohd. Faizal Yusuf, pelakon (2011); manakala dari Indonesia seperti Irene Justine, pelakon (2016), aktor Robby Sugara (2019) dan Ashraf Sinclair (2020).

Sungguhpun hari ini kita diuji dengan pandemik COVID-19 yang membunuh dalam skala besar, kita tetap terus diuji dengan serangan penyakit-penyakit yang juga membunuh dalam diam seperti penyakit jantung. Kekal sebagai antara pembunuh utama di Malaysia, sebanyak 18,758 kes direkodkan dengan 176 kematian dan 6,323 kes aktif. Rekod ini mengatasi jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya yang merekodkan 3.7 peratus kematian berbanding 15.6 peratus kematian kerana sakit jantung! Di seluruh dunia pula, 38,971,792 kes direkodkan dengan 1,098,982 kematian akibat sakit jantung.

Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2018, sejumlah 18,267 orang meninggal akibat penyakit tersebut. Daripada jumlah tersebut, kaum lelaki didapati ramai yang meninggal kerana serangan jantung iaitu 12,510 orang berbanding wanita 5,757 orang. Setiap hari seramai 50 orang mati kerananya dan penduduk kawasan bandar didapati lebih terdedah kepada penyakit ini berbanding penduduk kampung dan luar bandar.

Serangan jantung berlaku menerusi simptom awal seperti merasa sakit dada pada bahagian kiri, berpeluh yang melampau secara tiba-tiba, sesak nafas, rasa berdebar-debar dan rasa ingin pengsan. Hal yang demikian berlaku apabila otot jantung tidak menerima bekalan darah yang secukupnya, kelazimannya bekalan darah akan dihantar ke otot-otot jantung melalui saluran arteri koronari. Akibat enapan lemak, kalsium, protein dan sel darah yang rosak membentuk plak, yang mengganggu aliran darah akibat pengecilan saluran arteri koronari.

Kelamaannya, lapisan plak yang mengeras akan mudah pecah disebabkan ia menjadi rapuh. Plak akan bergabung dengan platelet membentuk gumpalan darah beku, yang menghalang saluran arteri. Keadaan ini mengakibatkan otot jantung mengalami kurang bekalan oksigen yang serius, penyumbang kepada kekejangan dan kematian otot jantung.

Jantung merupakan organ berongga yang berfungsi mengepam darah ke seluruh tisu badan melalui saluran darah. Organ yang terletak di sebelah kiri dada ini diselaputi oleh oleh kantung yang dikenali sebagai pericardium dan dikelilingi oleh paru-paru. Selain hati dan paru-paru, jantung merupakan salah satu organ terpenting bagi tubuh manusia yang dilindungi oleh tulang rangka dan terletak di bahagian torasik.

Secara amnya, jantung orang dewasa yang beratnya 300-350 gram terdiri daripada empat ruang iaitu dua atrium di bahagian atas dan dua ventrikel di bahagian bawah. Ventrikel berfungsi mengepam darah ke seluruh tubuh termasuk paru-paru. Sebagaimana tisu-tisu organ badan, jantung juga memerlukan nutrien yang dibekalkan menerusi darah. Darah ini dibekalkan oleh arteri koronari kiri dan kanan yang bercabang keluar dari aorta. Kegagalan jantung mendapat nutrien dan oksigen yang secukupnya daripada darah menyebabkan jantung berhenti berfungsi secara tiba-tiba. Hal yang demikian dikatakan sebagai serangan jantung.

Mangsa serangan jantung merasa sukar bernafas dan seolah-olah “tercekik”. Manakala bahagian organ tertentu mangsa mengalami rasa sakit, kebas atau mencucuk-cucuk. Pada peringkat yang lebih teruk, otot jantung akan berhenti berdenyut dan darah tidak dapat dipam ke otak dan lain-lain bahagian badan. Persoalannya, apakah serangan jantung yang menjadi penyebab utama kematian di Malaysia boleh ditangani?

Mengikut pakar-pakar jantung, kejadian serangan jantung berpunca daripada gaya hidup kurang sihat seperti tabiat merokok, kurang bersenam dan amalan pemakanan tidak seimbang. Ketiga-tiga perkara tersebut menjadi faktor paras oksigen dihantar kepada jantung menjadi kurang, paras kolesterol yang tinggi, darah tinggi, obesiti dan proses metabolisme rendah yang diperlukan untuk membakar lemak dan kolesterol. Menyedari hakikat berkenaan, serangan jantung boleh ditangani dan dicegah dengan beberapa langkah yang diamalkan secara berdisiplin. Antaranya mengambil suntikan vaksin secara tahunan yang boleh memberi manfaat kepada jantung. Hal ini dikatakan demikian kerana penyakit jantung boleh menurunkan keupayaan badan melawan selesema serta meningkatkan komplikasi jantung, pneumonia dan kegagalan pernafasan. Justerus suntikan vaksin boleh membantu mencegah komplikasi jangkitan dan gejala penyakit berkenaan.

Kajian menyarankan kekerapan interaksi dan perhubungan sosial berperanan penting terhadap keseluruhan kesihatan khususnya kesihatan jantung. Oleh yang demikian meluangkan masa bersama rakan-rakan dan keluarga boleh mengurangkan “stress” dan melawan kemurungan-faktor risiko kepada penyakit jantung. Selain itu ketawa juga dapat memberi perlindungan kepada kesihatan jantung kerana ia menyebabkan saluran darah berehat dan berkembang secara normal.

Kajian pada 2016 mendapati orang yang terlibat dalam permainan sukan beraket menghadapi risiko kematian terendah malah dapat memanjangkan hayat seseorang sehingga 9 tahun. Sukan beraket seperti tenis dan squash; diikuti berenang, aerobik dan berbasikal dapat mengurangkan risiko kematian. Di samping kesihatan jantung boleh ditambah baik menerusi amalan bersarapan dengan bijirin oat, membersih gigi secara teratur, mengamalkan makanan yoghurt, bersenam, menangani stress dan memperuntukkan masa tidur yang cukup. Apapun bagi mereka yang berumur melebihi 40 tahun ke atas dinasihatkan kerap berjumpa doktor secara berkala. Hal ini diperkatakan demikian kerana serangan dalam kalangan golongan yang berumur 40 hingga 59 tahun meliputi 19.2% manakala golongan berusia 60 tahun ke atas meliputi 16.6%.

Walaupun kematian adalah suatu kepastian, namun usaha bagi menjaga dan memanjangkan hayat seseorang menerusi penjagaan kesihatan jantung merupakan tindakan proaktif yang perlu diberi perhatian dan keutamaan oleh semua pihak demi Malaysia yang sihat dan sejahtera.

Kredit Foto : adobe

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*