Berita Menarik

Siapa Bakal Pengganti Stephen Hawking?

Pembaca : 8
0 0

Oleh: Dzulkifli Abdul Razak, Prof. Tan Sri

Abu mendiang Stephen William Hawking‎ selamat disemadikan minggu lalu di Westminster Abbey, UK selepas meninggal dunia 14 Mac lalu pada usia 76 tahun (1942-2018). Pada 31 Mac penghormatan jenazah beliau telah selamat disempurnakan di Cambridge.

Hawking dikatakan seorang terpintar pada abad ini dalam dunia sains dan telah banyak membawa pemikiran baru bagi memahami sains dengan lebih mendalam lagi. Khusus untuk menerangkan asal usul kejadian alam semesta dari kaca mata sains fizik. Bukunya berjudul A Brief History of Time melakar suatu perspektif baru sebagai kesenambungan kepada apa yang telah diutarakan oleh mereka terpintar pada abad-abad silam. Umpama Albert Einstein (1879-1955) pada abad lalu, dan Issac Newton ‎(1643-1727) pada abad sebelum itu pula. Malah, Hawking menyandang kursi yang disandang oleh Newton semasa beliau berkhidmat di Universiti Cambridge. Bahkan, abunya yang disemadikan pada 15 Jun ditempatkan antara kuburan Newton dan saintis terkenal, Charles Darwin (1809-1882).

Keistimewaan Hawking

Begitulah sanjungan akademik yang diberikan oleh dunia ilmiah kepada Hawking sebagai salah seorang ahli tersohor melampui sains dan teknologi (S&T) menelusuri ilmu-ilmu lain yang sering lengkap melengkapi. Beliau bukan lagi individu yang hanya mengusahakan S&T untuk mencari nama dan ganjaran, tetapi turut menyumbang idea dan kefahaman mendalam untuk kesejahteraan umat manusia dan dunianya. Hatta penerokaannya merupakan luar batasan S&T yang sempit ataupun disempit kepada STEM dewasa ini. Dengan kata lain, beliau meneroka dunia ilmiah dengan lebih terperinci lagi ke arah himpunan ilmu yang tunggal; bukan lagi serpihan-serpihan kecil.

Rupa-rupanya lagi mendalam kepintaran seseorang itu, lagi melebar pula dunia ilmu yang diterokainya agar titik-titik pertemuan serta pertanyaan yang musykil dapat ‎dihubungkait dan dicantumkan demi membuahkan satu ‘gambaran’ yang lengkap sejajar persoalan yang tidak kurang pentingnya. Misalan: dimana datangnya alam semesta ini? Apakah asal usul kejadiannya? Malah persoalan ketuhanan juga kian dikaitkan dalam pengembaraan mencari penyelesaian yang lebih menyeluruh dan padu. Umpama kata Einstein: “Tanpa agama sains adalah pincang, tanpa sains agama adalah rabun”. Pendek kata, kedua-dua bidang ini saling melengkapi dan membawa sumbangan masing-masing sebagai satu gabungan ilmu merentas bidang. Begitu juga Hawking yang mengiktiraf bahawa: “Science is not only a disciple of reason but, also, one of romance and passion” (Sains bukan saja merupakan suatu ikutan penaakulan tetapi, juga romans dan nyala rasa).

Minda Mengatasi Jasad

Kehandalan Hawking dikatakan melewati yang lain kerana jasad beliau lumpuh dari kepala ke hujung kaki. Sejak usia muda lagi beliau dimamah oleh penyakit saraf motor degeneratif sehingga kehidupannya terhenti sebagai seorang manusia biasa dari sudut jasmaninya. Kesudahannya, beliau terhampar dikerusi roda yang dibikin khas berserta alat suara berkomputer sebagai penghubung dengan persekitarannya. Lebih tepat lagi, menghubungkan idea serta pemikiran beliau dengan dunia luar yang cuba digarapnya. Umum ini merupakan satu cabaran besar baik bagi mereka yang normal, apatah lagi apabila jasad sudah tidak lagi bermaya. Namun bagi Hawking seolah-olah sebaliknya. Teori demi teori diutarakannya, buku demi buku pula dikeluarkan, begitu juga berbagai pendapat serta telahan dihamburkan buat perkongsian dan pedoman masa hadapan supaya kita berwaspada.

Antaranya kegusaran beliau tentang ciptaan teknologi kecerdasan buatan, lantas penggunaan robot yang bakal mengganggu gugat manusia serta kemanusian itu sendiri jika kita tidak teliti. Secara tidak langsung, Hawking menyumbang terus kepada kesejagatan ilmu melalui mindanya yang masih bercahaya baik dalam usia agak lanjut. Dan diiktiraf melalui berbagai hadiah berprestij seantero. Hanya beza dengan Einstein, beliau tidak dianugerahi Hadiah Nobel. Apapun, Hawking ada berkata bahawa menyelidik bukanlah untuk memenangi sesuatu; hanya sekadar berseronok untuk mengetahui apa yang orang lain belum tahu. Lagi pun, tidak semua penerima Hadiah Nobel tersebut mengkagumkan sepertimana Hawking.

Lantaran itu ramai yang tertanya-tanya sama ada akan muncul seorang insan lain untuk mengambil tempat Stephen Hawking. Atau adakah dunia ini akan kesunyian dengan ketiadaan tokoh baru yang ‎pantas muncul seperti dalam dunia hiburan – saling berganti menjadi artis pujaan ramai. Nampaknya, ini tidak semudah itu dalam dunia ilmu yang mempunyai tuntutan serta amanah yang lebih besar untuk memaknakan “hidup” sebagai satu rumpun manusia, bukan perseorangan. Inilah agaknya perbezaan antara kedua dunia tersebut. Para ilmuan lebih sering mengundang kritikan (termasuk juga tohmahan) sebagai satu proses pembenihan idea-idea baru yang bakal mengangkat lagi maruah serta martabat generasi-generasi mendatang. Sedangkan sanjungan dan pujian sekadar merupakan sandaran pada ketika-ketika tertentu saja. Mungkin rangsangan untuk terus kehadapan sementara menanti lebih banyak lagi serangan diajukan. Oleh kerana itu jugalah kemunculan seorang pengganti banyak bergantung kepada kehebatan seseorang itu menangkis atau memberi hujah lawan terhadap kritikan yang dihadapi agar terus mara dengan gagasan lebih bernas lagi. Dunia wajar diyakinkan dahulu sebelum menerimanya sebagai satu “kenyataan” saintifik baru.

Siapa Layak Pasca-Hawking?

Setakat ini masih samar-samar lagi siapa bakal pengganti Stephen Hawking, malah ada pihak yang menduga ia tidak akan berlaku. Antara alasan diberikan adalah kerana hampir semua teori besar telahpun dikeluarkan sehingga ada yang menyebut ini menandakan “penamatan sains.” Bermaksud, sains sudah sampai ke penghujung jalan. Kerangka umum yang difikirkan perlu sudahpun‎ tersedia dengan pohon serta dahan-dahan utama terlakar agak jelas. Mungkin tinggal hanya soal-soal ranting saja lagi. Bagi sebahagian mereka, soal akar juga telah selesai sehingga ada yang mendakwa bahawa S&T dan apa lagi STEM sudah menjadi dogma baru mengimbas semula kepada era pertembungan di antara sains dengan ideologi Gereja pada abad lampau. Hanya kini S&T dan STEM mengambil tempat serta peranan Gereja dengan dogma-dogma baru yang sukar ditembusi oleh pemikir-pemikir terkini. Kumpulan ini dikatakan tersisih dengan idea-idea “radikal” mereka sebagaimana nama-nama seperti Galileo dan Copernicus disisihkan oleh pendapat dogmatik Gereja hampir 400 tahun lalu. Hal ini mungkin berterusan selagi tembok dogma lama tidak ditembusi dengan idea-idea baru yang lebih berani.

Dengan kata lain, pemergian Stephan William Hawking membawa satu natijah yang amat berlainan. Bukan sahaja kepada perkembangan S&T tetapi turut juga mempengaruhi pandangan alam yang ada. Dunia “ciptaan” Hawking kemungkinan besar akan menyaksikan satu lagi pergolakan hebat dunia sains apabila tercetusnya pandangan alam sains pasca‎-material yang kini sudahpun membuak-buak. Siapakah gerangan yang akan dinobatkan untuk menyatukan mahupun menyelesaikan permasalahan ini akan sama-sama kita saksikan nanti. Persoalan seterusnya ialah berapa lama pula kemunculan tokoh sains seterusnya? Jika tidak, agak malanglah dunia bernakhodakan STEM yang masih tidak tentu arah tujuannya mengambil kira kepincangan yang kian melata didunia hari ini kerana sains bukannya lagi untuk manusia dan kemanusiaan.

Nota – Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak merupakan penerima anugerah Tokoh Akademik Negara 2017. Beliau merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Felo Akademi Sains Malaysia (ASM) dan Felo Akademi Sains dan Sastera Sedunia (WAAS) dan mantan Naib Canselor USM (2000-2011). Beliau boleh dihubungi melalui emel: [email protected]

Happy
Happy
0 %
Sad
Sad
0 %
Excited
Excited
0 %
Sleepy
Sleepy
0 %
Angry
Angry
0 %
Surprise
Surprise
0 %

Average Rating

5 Star
0%
4 Star
0%
3 Star
0%
2 Star
0%
1 Star
0%

Tinggalkan Balasan

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.