Sinergi Mantap serlahkan Potensi Penyelidikan Sains

Oleh LAUPA JUNUS

Penganjuran bengkel program NEST Camp anjuran bersama Leave A Nest Malaysia, MJIIT- UTM dan Euglena Co. Ltd wajar dijadikan contoh dalam usaha memupuk minat golongan muda dalam bidang sains.

Bengkel tersebut yang diadakan pada 29 November sehingga 1 Disember 2019 di Makmal Nest-Bio Venture, sebuah makmal bioteknologi dengan kerjasama Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur.

Program tersebut disertai seramai 39 pelajar berumur antara 13 dan 15 tahun daripada pelbagai sekolah di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Bengkel tersebut merupakan sebahagian daripada program seminar NEST Camp yang memberi peluang kepada pelajar meneroka dunia menerusi kaca mata seorang penyelidik

Menerusi program tersebut, mereka didedahkan dengan pelbagai contoh bagaimana sains dan alam sekitar mampu menyelesaikan isu-isu dalam kalangan komuniti dan juga global.

Menurut Pengarah Urusan Leave A Nest Malaysia, Abdul Hakim Sahidi pihaknya percaya bengkel tersebut dapat menyemarakkan semangat naluri penyelidik dan melengkapkan pelajar dengan kemahiran menyelesaikan masalah secara  hands-on sejajar dengan keadaan dunia yang tidak menentu pada masa akan datang.

Bengkel Euglena  For All membolehkan pelajar menajamkan naluri penyelidik mereka bukan sahaja secara depan mata tetapi juga deria rasa.

“Alhamdulillah NEST Camp dan Bengkel Euglena For All yang diadakan buat julung kali ini berjaya mencapai objektifnya iaitu untuk memupuk minat para pelajar terhadap subjek sains di samping memberikan ilmu dan kemahiran untuk mereka mencipta kajian sains sendiri. Dan melalui “euglena for all workshop“, para pelajar dapat menambah pengetahuan  mengenai dunia mikroorganisma yang berada di sekeliling kita terutama dalam mencari spesies euglena yang mempunyai sifat unik haiwan dan juga tumbuhan, ”ujarnya.

Lebih menarik pelajar mendapat peluang berinteraksi melalui perkongsian ilmu daripada seorang penyelidik Jepun yang telah lama berkecimpung dalam penyelidkan spesies alga Egulena tersebut iaitu Prof. Kengo Suzuki. Beliau kini merupakan Pengasas Bersama , dan Ketua Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) di syarikat euglena Co.Ltd.

Suzuki yang kini merupakan profesor pelawat di MJIIT berkongsi pengalamannya selama 20 tahun sebagai usahawan dalam bidang tersebut.

Sumber Bahan Mentah

Malah menurut Suzuki, pengalaman dan pembabitan beliau dalam bidang kajian sampel berkenaan telah bermula sejak 2003, membuktikan sumber daripada persekitaran sepatutnya dimanfaatkan untuk faedah manusia.

“Malaysia mempunyai bahan mentah sebagai sumber penyelidikan. Kami di Jepun telah menggunakan Euglena ini sejak sekian lama dan mampu menjana nilai perniagaan sehingga ratusan juta dolar, ” ujar beliau.

Fokus utama bengkel berkenaan ialah berkaitan input dan pembelajaran mengenai euglena iaitu mikroorganisma sel tunggal  yang mempunyai kedua-dua ciri haiwan dan tumbuhan.

Alga mikro (microalgae) berkenaan mampu melakukan fotosintesis dan bergerak seperti haiwan serta memakan organisma lain.

Justeru, menerusi penyelidikan tersebut, pelajar berpeluang memerhatikan sifat-sifat spesies tersebut pada sampel air yang diambil daripada beberapa lokasi dalam negara dan memeriksa pergerakannya dengan memahami faktor utama dan keunikannya.

Bengkel tersebut juga memberi peluang kepada pelajar merasai sendiri  makanan dan minuman yang dihasilkan daripada alga mikro berkenaan dan faedahnya kepada kesihatan.

Mereka yang belum mengetahui latar belakang penyelidikan alga mikro berkenaan juga didedahkan mengenai usaha-usaha yang dilakukan oleh Presiden dan Pengasas Bersama euglena Co., Ltd. Izumo Mitsuru,  bagaimana beliau menyelesaikan isu kebuluran dan isu makanan tidak seimbang di Bangladesh semasa menjalani latihan praktikal di Bangladesh ketika berumur awal 20-an.

Menerusi penemuannya Mitsuru mengasaskan syarikat tersebut dan menghasilkan makanan berasaskan euglena sebagai penyelesaian menyelamatkan kanak-kanak di negara berkenaan daripada masalah kekurangan zat.

Pupuk Minat Pelajar

Dalam pada itu, menurut Pengurus Pengajaran Leave A Nest (Malaysia), Dr. Nurul Syazwani Ahmad Sabri penggunaan Euglena sebagai bahan sampel penyelidikan amat sesuai bagi menceritakan sebuah kisah kejayaan penyelidikan daripada bahan yang diambil daripada alam sekitar.

“(Sampel) Euglena ini kita ambil di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor dan sesuai bagi menghuraikan kisah kejayaan penyelidikan sampai ke peringkat produk akhir seperti makanan (biskut), minuman dan bahan api bio (biofuel),” ujarnya.

Syarikat euglena Co., Ltd. merupakan rakan antarabangsa utama bagi  Nest-Bio Venture Lab.

Syarikat berkenaan juga memfokuskan kepada program pendidikan seperti menganjurkan bengkel sains untuk penyelidik muda daripada peringkat sekolah rendah dan memengah dalam dalam usaha memupuk minat dalam bidang sains dan teknologi  untuk generasi akan datang.

Justeru menerusi penganjuran bengkel tersebut, kumpulan sasar dapat meneroka minat dan kesungguhan mereka dalam usaha mempelajari  sains daripada  sampel mikroorganisma seperti euglena.

Dengan adanya rasa ingin tahu yang tinggi ia dapat mendorong mereka kepada penerokaan ke perjalanan seterusnya apabila memasuki pendidikan peringkat tinggi, sekali gus mampu melahirkan generasi pelapis dalam bidang penyelidikan pada masa akan datang.

***
Maklumat syarikat

Euglena Co.Ltd
Euglena merupakan sebuah syarikat Jepun yang memiliki teknologi membiakkan spesis alga mikro yang dikenali sebagai ‘euglena’. Euglena Co.Ltd menghasilkan suplemen, produk makanan dan kosmetik berasaskan euglena sejak tahun 2005. Syarikat tersebut juga telah memasuki pasaran tenaga hijau dan bersedia menghasilkan bahan api bio untuk jet  dan biodisesel besar-besaran berasaskan alga dan minyak terpakai melalui kilang mereka di Yokohama November lalu. Euglena Co.Ltd telah tersenarai di Bursa Saham Tokyo. Syarikat ini kini sedang mencari potensi penghasilan alga mikro di luar Jepun.

Leave a Nest Malaysia Sdn.Bhd
Leave a Nest Malaysia Sdn.Bhd telah ditubuhkan pada tahun 2013. Ia merupakan pejabat antarabangsa kedua yang beroperasi di luar Jepun untuk syarikat induk Leave a Nest Co.Ltd yang ditubuhkan pada Jun 2002. Projek pertama Leave a Nest Malaysia Sdn.Bhd ialah penganjuran bengkel pendidikan sains untuk pelajar sekolah menengah dan sekolah rendah. Usaha tersebut bertujuan untuk menghubungkan pengetahuan sains dan teknologi dan disampaikan secara lebih berkesan.

Gambar-gambar sekitar program

Dr. Kengo Suzuki bersama peserta bengkel Chong Chu Yang melihat euglena di bawah mikroskop Dr.Kengo Suzuki menyelia tugasan peserta melihat spesis euglena menggunakan mikroskop Dr. Kengo Suzuki Dr.Kihoko Tokue

sdr

Dr. Nurul Syazwani Ahmad Sabri, Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Leave a Nest Malaysia Sdn.Bhd Pelajar teruja dengan eksperimen yang dijalankan oleh mereka. Pembantu pengendali bengkel menerangkan sesuatu kepada peserta Peserta dan penganjur merakam gambar kenangan

Abdul Hakim Sahidi, Pengarah Urusan Leave a Nest Malaysia

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.