Siwak Bukan Sekadar Sunnah

Siwak, bukan sekadar sunnah

Oleh : Dr Nadia Halib

Universiti Sains Islam Malaysia

Nota : [Berikut merupakan ringkasan jurnal oleh Nabilah Bt Nuairy, Haslinda Ramli, Ishak Ahmad, Norinsan Kamil Othman, Salihatun Md Salleh, Saiful Bahari Bakarudin dan penulis sendiri berjudul ‘ Preliminary Assessment of Salvadora Persica Whitening Effects on Extracted Stained Teeth’ yang diterbitkan oleh Journal of Applied Pharmaceutical Science  7 (12) : 121-125 pada tahun 2017].

Penampilan peribadi seseorang individu menjadi keutamaan masyarakat kini, termasuklah aspek astetik dan penjagaan gigi. Justeru bagi memiliki gigi yang bersih dan putih, permintaan terhadap produk-produk penjagaan gigi semakin meningkat. Bagi memenuhi kehendak pengguna, pengeluar produk secara berterusan membangunkan formula sesuai yang mampu membersih dan memutihkan gigi. Dalam aktiviti seharian, keadaan gigi yang putih boleh mengalami perubahan warna kekuningan akibat pengambilan minuman seperti kopi dan teh kerana kedua nya mengandungi tannin (sebatian tumbuhan keperangan yang memberi rasa pahit) (Watts and Addy, 2001; Joiner, 2006). Perubahan warna kekuningan pada permukaan gigi boleh dibersihkan dengan beberapa kaedah termasuklah penggunaan ubat gigi pemutih dan beberapa rawatan professional oleh doktor pergigian seperti pelunturan menggunakan hidrogen peroksida, penggunaan laser dan juga radikal bebas bagi menguraikan pigmen kotoran (Sarrett, 2002). Terdapat banyak keluaran ubat gigi pemutih di pasaran. Selain kandungan biasa, ubat gigi pemutih mengandungi bahan penggilap pada peratusan yang lebih tinggi. Bahan penggilap yang biasa digunakan termasuklah mineral silika dan kalsium karbonat (Joiner, 2010). Mineral dalam bentuk kristal  tersebut bersifat menghakis yang membersihkan kotoran pada pemukaan gigi secara mekanikal.

Imej SEM keratan rentas Salvadora Persica Imej SEM keratan sisi Salvadora Persica

Di sesetengah negara, masyarakatnya tidak menggunakan berus gigi sebaliknya menggunakan tumbuhan untuk tujuan membersihkan gigi. Antara tumbuhan semulajadi yang telah digunakan sebagai “berus gigi” sejak berabad-abad lamanya ialah Salvadora persica atau lebih dikenali sebagai kayu arak atau kayu siwak. Beberapa kajian telah membuktikan bahawa kayu siwak mengandungi pelbagai bahan organik yang memberi manfaat kepada kesihatan oral. Kandungan sulfur, klorida dan florida nya bersifat anti-bakteria yang membantu mencegah penyakit berkaitan gusi (Al-Lafi and Ababneh, 1995; Almas et al. 1997). Namun begitu, keberkesanan kayu siwak sebagai bahan atau agen pemutih gigi belum dijalankan secara terperinci. Setakat ini, penyelidikan awal terhadap potensi tersebut menemui mineral-mineral kayu siwak dalam bentuk kristal pelbagai saiz, menyokong keberkesanannya sebagai bahan semulajadi yang setara dengan ubat gigi moden bagi membersih dan memutihkan gigi.

Rujukan :

Al-Lafi T and Ababneh H. The effect of the extract of the miswak (chewing sticks) used in Jordan and the Middle East on oral bacteria. Int Dent J, 1995; 45: 218–22.

Almas K, Al-Bagieh N, Akpata ES. In vitro antibacterial effect of freshly cut and 1-month-old miswak extracts. Biomed Lett, 1997; 56: 145–149.

Joiner A. The bleaching of teeth: a review of the literature. Journal of Dentistry, 2006; 34:412–9.

Joiner A. Whitening toothpastes: A review of the literature. Journal of Dentistry, 2010; 38(Suppl): e17 – e24.

Sarrett DC. Tooth whitening today. J Am Dent Assoc, 2002; 133: 1535–8.

Watts A and Addy M. Tooth Discolouration and Staining: A Review Of The Literature. Br. Dent. J., 2001; 190(6): 309–16.

Kredit Foto – virtualdentalmuseum.org

1695total visits,6visits today

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.