Soalan Untuk Saintis : Dr Mohd Mokrish Md Ajat

Dr Mohd Mokrish Md Ajat
Pensyarah Kanan
Jabatan Sains Praklinikal Veterinar UPM

Untuk temubual seterusnya dalam siri Kenali Saintis Malaysia, MajalahSains menemubual Dr Mohd Mokrish Md Ajat. Beliau kini bertugas sebagai Pensyarah Kanan di Jabatan Sains Praklinikal Veterinar, Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia.

Apa tumpuan/latar belakang penyelidikan sekarang?

Saya mempunyai latar belakang penyelidikan dalam bidang biokimia veterinar khusus dalam sains lipidomik dan biologi molekul. Sains lipidomik merupakan satu cabang bidang sains yang mengkaji fungsi dan kepentingan lipid dalam keseimbangan dinamik metabolisme sel haiwan. Oleh kerana dunia sains pada zaman ini memerlukan penglibatan secara merentasi pelbagai displin, penglibatan penyelidikan saya kini merangkumi bidang nanobioteknologi, kanser, produk hasilan semulajadi dan penyakit zoonotik.

Kerja makmal ketika PhD

Bagaimana penyelidikan ini dapat dimanfaatkan oleh masyarakat/industri?

Dua bidang penyelidikan yang saya sedang terlibat secara langsung kini melibatkan kajian tentang kepentingan dan kebaikan mengambil sarang burung walit dalam pemakanan sebagai supplemen kesihatan. Industri sarang burung walit sedang berkembang pesat di Malaysia dan menyumbang kepada berjuta-juta ringgit dalam industri supplemen kesihatan. Khasiat sarang burung walit setakat ini masih kurang kajian secara saintifik. Diharap dengan kajian yang saya lakukan dapat menyumbang kepada industri sarang burung walit tempatan. Bidang penyelidikan kedua yang saya turut terlibat kini adalah dalam kajian penyakit zoonotik. Penyakit zoonotik adalah penyakit yang berjangkit yang boleh ditransmisi dari haiwan ke manusia dan dari manusia ke haiwan. Contoh penyakit zoonotik adalah seperti rabies, ebola dan leptospirosis. Saya terlibat dalam pembangunan program kesedaran penyakit zoonotik sekolah yang telah saya laksanakan dengan tajaan geran penyelidikan serta komuniti dari UNESCO-MAB dan USAID.

Bersama sukarelawan program kesedaran penyakit zoonotik sekolah di UPM Bintulu Mengajar sukarelawan modul program kesedaran penyakit zoonotik sekolah

Di mana tempat bertugas sekarang?

Saya bertugas sebagai pensyarah kanan di Jabatan Sains Praklinikal Veterinar, Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia. Kumpulan penyelidikan saya terdiri daripada ahli-ahli akademik di beberapa fakulti di UPM, institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara.|

Bersama ahli- ahli kumpulan penyelidikan di UPM kini

Bagaimana mula terlibat dalam dunia akademik dan penyelidikan?

Saya tidak pernah terfikir bahawa saya akan terlibat dalam dunia akademik dan penyelidikan. Saya merupakan pelajar yang agak aktif dalam aktiviti pelajar terutamanya dalam pertandingan debat bahasa inggeris ketika mengikuti Bacelor Sains (Kepujian) Biokimia di UPM. Dunia akademia tidak pernah terlintas dalam fikiran saya dan hanya berminat untuk menjadi seorang pegawai tadbir diplomatik. Namun, setelah menamatkan pengajian bacelor saya, dekan Fakulti Perubatan Veterinar UPM ketika itu menawarkan saya untuk menjadi seorang tutor. Tawaran itu merupakan saat bermulanya penglibatan saya dalam bidang akademia. Pada tahun 2007, saya telah terpilih untuk bersama-sama tiga orang lagi saintis muda mewakili Akademi Sains Malaysia ke persidangan Lindau Nobel Laureatte. Pertemuan dengan saintis-saintis muda dari seluruh dunia dan pemenang-pemenang hadiah nobel membuatkan saya sangat teruja untuk melibatkan diri dalam bidang akademik. Setelah menamatkan pengajian master sains dalam bidang nanobioteknologi di UPM, saya meneruskan pengajian PhD saya di Fakulti Perubatan Veterinar, Utrecht University, The Netherlands dalam bidang biokimia. Saya berada dibawah penyeliaan Prof. Dr. Bernd Helms yang merupakan bekas pelajar Prof. Dr. James Rothman penerima hadiah nobel dalam bidang fisiologi dan perubatan tahun 2013. Saya melengkapkan pengajian PhD setelah “public defense” pada 2015.

Lawatan bersama delegasi Akademi Sains Malaysia ke Cambridge University Lawatan ke genome campus wellcome trust UK

Siapa tokoh sains/saintis idola? Dan kenapa?

Terdapat empat orang tokoh sains atau saintis yang memberi inspirasi kepada saya sehingga kini.

Pertama, Prof. Datin Paduka Dr. Khatijah Mohd Yusof iaitu salah satu penerima anugerah Merdeka tahun 2015 dan penerima anugerah UNESCO Carlos.J.Finlay. Beliau merupakan individu pertama yang menawarkan kepada saya tempat untuk meneruskan pengajian master sains. Walaupun saya merupakan seorang pelajar yang biasa sahaja dalam prestasi pelajaran, beliau memberi peluang dan kepercayaan kepada saya. Pengalaman menjadi pelajar seliaan beliau memberi inspirasi kepada saya untuk sentiasa memberi peluang dan ruang untuk sesiapa sahaja yang ingin menuntut ilmu.

Kedua, Prof. Dr. Mohd Zobir Hussein iaitu seorang saintis dalam bidang nanoteknologi dan sains bahan. Beliau merupakan penyelia bersama pengajian master saya. Pada ketika itu, bidang sains bahan dan nanoteknologi adalah sangat asing bagi saya. Kajian merentasi displin berbeza iaitu kimia, fizik dan bioteknologi merupakan cabaran hebat bagi saya ketika itu. Namun, dorongan beliau untuk terus membuat eksperimen berkali-kali sehingga membuahkan hasil merupakan inspirasi saya untuk terus tabah membuat sebarang eksperimen berkali-kali di masa hadapan.

Ketiga, Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris iaitu seorang saintis dalam bidang avian dan naib canselor UPM pada ketika ini. Beliau merupakan satu-satunya individu yang sudi mendengar idea cadangan penyelidikan saya dan menggalalakkan saya untuk menulis proposal geran penyelidikan. Walaupun ketika itu saya belum selesai pengajian PhD saya, beliau memberi kepercayaan dan memberi peluang kepada saya. Nasihat beliau berkenaan kepentingan penghayatan insan sangat memberi kesan kepada saya.

Keempat, Prof. Dr. Bernd Helms iaitu penyelia pengajian PhD saya. Beliau merupakan saintis yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang sangat luas. Menjadi pelajar seliaan beliau mengajar saya untuk berfikir secara lebih kritikal dan berhujah dengan lebih bernas dalam perbincangan berkenaan kajian-kajian saintifik. Mesej yang penting saya pelajari dari beliau juga adalah untuk sentiasa rajin membaca jurnal dan berbincang dengan rakan-rakan saintis.

Bersama Prof. Datin Paduka Dr. Khatijah Mohd Yusof penyelia master

Ringkaskan satu pengalaman paling mencabar dalam bidang penyelidikan & pengajaran boleh di ambil?

Pengalaman paling mencabar yang saya alami dalam penyelidikan saya setakat ini adalah ketika pengajian PhD saya. Bidang lipidomik adalah sangat mencabar ketika itu kerana instrumen “Mass-spec” yang tidak sofistikated seperti sekarang. Dua tahun saya melihat kepada hipotesis yang bercanggah sehingga penemuan hasil yang lebih masuk akal dan relevan setelah menjalankan “optimization”. Pengalaman mengasingkan sel primer dari tikus telah menguji kesabaran saya. Tidak semestinya buat sekali menjadi, ada ketikanya berbulan-bulan tiada hasil. Namun, akhirnya kajian kami membuahkan hasil dan penemuan tersebut penting.

Pengajaran yang penting saya dapat simpulkan di sini adalah ilmu sains fundamental adalah sangat penting. Sekiranya tiada kajian menyeluruh fundamental, kita tidak dapat mengaplikasikan ilmu sains secara optimum.

Bersama saintis makmal mass spectrometry ketika PhD

Apa menyebabkan anda masih bertahan dalam penyelidikan saintifik?

Saya masih bertahan kerana minat dan sentiasa ada perasaan ingin tahu. Bagi saya ilmu sains ini indah dan penting untuk kebaikan manusia sejagat. Ilmu yang kita perolehi akan ada lebih nilainya sekiranya kita berkongsi. Apabila saya membuat kajian atau membaca artikel yang menarik, saya akan berkongsi dalam kuliah untuk memberi inspirasi kepada pelajar-pelajar saya untuk menghargai ilmu sains.

Pengalaman paling menarik?

Pengalaman ketika zaman belajar adalah paling indah, penuh dengan pelbagai warna. Ada masa warnanya cerah dan ada yang suram mahupun gelap. Tapi persahabatan yang terbina di antara rakan-rakan seperjuangan dalam makmal akan kita ingat sampai bila-bila. Kadangkala kolaborasi penyelidikan dengan rakan-rakan makmal dahulu akan wujud.

Rakan-rakan makmal PhD Bersama rakan-rakan lab PhD

Nasihat untuk remaja yang berminat dalam bidang sains?

Nasihat saya untuk remaja yang berminat dalam bidang sains adalah untuk sentiasa membaca bahan-bahan ilmiah saintifik dan meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris. Sekiranya diberi peluang untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi tidak kira di dalam atau luar negara, kita perlu fokus dan buat sehabis baik. Kesabaran adalah kunci utama untuk kekal dalam bidang sains.

Aktiviti/hobi kegemaran selain ‘bekerja’?

Ketika ini saya berminat melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti sukarelawan sekiranya ada kesempatan. Hobi kegemaran saya adalah melancong, menonton wayang dan mencuba memasak menu-menu baru.

Ketika di Belanda

25total visits,7visits today

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.