Soalan Untuk Saintis : Prof Dr Norazlina Mohamed

Prof Dr Norazlina Mohamed
Profesor Jabatan Farmakologi
Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia

Untuk temubual seterusnya dalam siri Kenali Saintis Malaysia, MajalahSains menemubual Prof Dr Norazlina Mohamed. Beliau merupakan Profesor di Jabatan Farmakologi, Fakulti Perubatan, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras, Kuala Lumpur.

Apa tumpuan/latar belakang penyelidikan sekarang?

Penyelidikan saya tertumpu kepada penyelidikan mengenai metabolisme tulang dan osteoporosis. Saya dan kumpulan saya mengkaji kesan produk semulajadi (seperti vitamin E sawit, ulam raja dan Kacip fatimah) ke atas tulang tikus untuk melihat sama ada produk semulajadi ini dapat memperbaiki kesihatan tulang. Terdapat pelbagai model tikus yang digunakan seperti tikus yang diovariektomi (menyerupai menopaus), tikus yang diaruh dengan nikotin serta tikus yang diaruh dengan alkohol. Di samping itu, saya turut terlibat dengan penyelidikan ke atas individu yang berumur 40 tahun ke atas dengan mengadakan saringan kesihatan tulang serta memberikan penerangan dan khidmat nasihat mengenai penjagaan kesihatan tulang.

Pembentangan poster di persidangan IOF Regionals 4th Asia-Pacific Osteoporosis Meeting, 2013 di Hong Kong. Program saringan dan khidmat nasihat mengenai penjagaan tulang sempena Minggu Osteoporosis peringkat PPUKM 2018.

Bagaimana penyelidikan ini dapat dimanfaatkan oleh masyarakat/industri?

Osteoporosis dikenali sebagai penyakit yang senyap iaitu individu yang mengidap penyakit ini tidak sedar mereka mendapat osteoporosis sehinggalah berlaku kepatahan tulang. Kepatahan tulang yang berlaku menjadi satu beban ke atas individu tersebut dari segi kualiti hidup terjejas dan kos penjagaan kesihatan dan rawatan hospital yang meningkat. Kajian kumpulan saya memberikan pendedahan tentang kesedaran awal penjagaan kesihatan tulang supaya osteoporosis dapat dicegah. Di samping itu, produk semulajadi yang dikaji boleh dijadikan alternatif untuk memelihara kesihatan tulang seterusnya mencegah osteoporosis.

Di mana tempat bertugas sekarang?

Saya bertugas sebagai Profesor di Jabatan Farmakologi, Fakulti Perubatan, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras, Kuala Lumpur. Kumpulan penyelidikan: Metabolisme Tulang

Kumpulan penyelidikan Metabolisme Tulang, Pusat Perubatan UKM.

Bagaimana mula terlibat dalam dunia akademik dan penyelidikan?

Selepas menamatkan ijazah pertama  saya pada tahun 1996, saya berkerja sementara sebagai Pembantu Penyelidik di Jabatan Farmakologi, Fakulti Perubatan, UKM. Setelah beberapa bulan menjalankan penyelidikan sebagai Pembantu Penyelidik, saya mengambil keputusan untuk melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana di tempat yang sama pada tahun 1997. Saya kemudiannya telah dapat menaiktaraf pengajian saya dari Sarjana ke PhD dan seterusnya menamatkan PhD (Farmakologi) pada tahun 2001. Ketika masih menjalankan PhD, saya berpeluang untuk menjadi tutor di Jabatan Farmakologi dan seterusnya menjadi pensyarah tetap pada tahun 2001 dan masih bertugas di tempat yang sama sehingga sekarang.

Gambar ketika telah menamatkan PhD. Telah berumah tangga, mempunyai seorang anak dan sedang mengandungkan anak yang kedua.

Siapa tokoh sains/saintis idola? Dan kenapa?

Saya tiada tokoh sains/atau saintis idola yang tertentu. Tetapi saya amat mengagumi saintis-saintis yang mempunyai minat yang tinggi dan menyumbang banyak tenaga dan idea dalam penyelidikan. Contohnya para pemenang Nobel Laureate yang masih berfikiran kritis dan bersemangat untuk berkongsi idea penyelidikan walaupun kebanyakan mereka sudah berusia.

Ringkaskan satu pengalaman paling mencabar dalam bidang penyelidikan & pengajaran boleh di ambil?

Ketika menjalankan penyelidikan PhD, saya perlu membawa tikus-tikus kajian saya menaiki kereta dari UKM, Jalan Raja Muda Abdul Aziz ke Hospital UKM, Cheras kerana mesin untuk menganalisa ketumpatan tulang tikus terdapat di HUKM. Ketika itu saya sedang mengandung anak sulung. Pengalaman yang mencabar tetapi mengajar saya sifat kecekalan dan kesungguhan dalam menjalankan penyelidikan.

Apa menyebabkan anda masih bertahan dalam penyelidikan saintifik?

Perkara yang paling menyeronokkan sebagai seorang penyelidik adalah apabila hasil kajian dapat diterbitkan di dalam jurnal. Saya berasa amat teruja apabila dapat berkongsi hasil penyelidikan dengan penyelidik-penyelidik lain. Ini merupakan salah satu faktor yang mendorong saya untuk terus menjalankan penyelidikan.

Pengalaman paling menarik?

Pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah apabila saya terpilih untuk menyertai 55th Lindau Nobel Laureate Meeting di Lindau, Jerman pada tahun 2005. Ini merupakan perhimpunan saintifik yang mengumpulkan penyelidik muda dari serata dunia bersama pemenang-pemenang Nobel Laureate untuk berinteraksi dan berkongsi hasil penyelidikan.

Di Lindau, Jerman. Bergambar bersama dua orang pemenang Nobel Laureate yang hadir.

Nasihat untuk remaja yang berminat dalam bidang sains?

Terdapat banyak perkara yang perlu diterokai dan diketahui dalam bidang sains. Penyelidikan merupakan salah satu cara bagi mendapatkan ilmu dan pengetahuan baru. Sifat ingin tahu dan minat yang tinggi merupakan ciri yang perlu ada di dalam setiap penyelidik.

Aktiviti/hobi kegemaran selain ‘bekerja’?

Saya suka membaca novel terutama novel dengan genre misteri, ‘thriller’ atau penyiasatan. Saya juga gemar menonton siri TV dengan genre yang sama.

 

26total visits,11visits today

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.