Sony Xperia 1 Disahkan Akan Dilancarkan Di Malaysia

Sony tidak lagi memandang Malaysia sebagai pasaran utama telefon pintar keluaran mereka. Maka tidak mengejutkan apabila beberapa peranti yang diumumkan sejak setahun lalu tidak dijual secara rasmi di negara kita. Tetapi bagi mereka yang mendambakan Sony Xperia 1, berita baik bagi anda ialah ia disahkan akan dilancarkan di Malaysia kelak.

Sony Xperia 1Menurut laporan Lowyat.Net, wakil Sony Malaysia mengesahkan pelancaran peranti dengan skrin 21:9 akan dilakukan dalam masa terdekat. Tiada tarikh atau harga jualan buat masa ini. Sony Xperia 1 diumumkan pada Februari lalu ketika acara IFA Barcelona. Pengesahan ini hadir selepas Xperia 1 melepasi laman SIRIM tiga hari yang lalu.

Xperia 1 hadir dengan skrin 6.5-inci dengan panel 4K OLED. Ini sekaligus menawarkan paparan yang sangat terang dan turut menyokong paparan HDR. Ia dijana menggunakan cip Snapdragon 855, memori 6GB RAM, storan sebesar 128GB dan bateri berkapasiti 3300mAh.

Untuk rakaman gambar, Sony Xperia 1 menyertakan tri-kamera belakang yang mana menggunakan lensa sudut-lebar 12MP, lensa telefoto 12MP, dan sudut ultra-lebar 12MP. Sony turut menyertakan sokongan enjin Bionz X dalam rakaman yang lebih cantik padanya. Sony turut menyertakan beberapa sokongan mod rakaman video, termasuk “Cinema Pro” untuk rakaman video sinematik pada nisbah 21:9.

Melengkapkan peranti ini juga adalah sokongan audio berkualiti-tinggi dan speaker stereo. Sony Xperia 1 turut menyertakan sokongan Side Sense yang membolehkan pengguna tap pada sisi peranti bagi mengakses sesuatu aplikasi dengan mudah. Xperia X1 juga turut menyertakan kembali sokongan pengimbas cap jari pada bahagian tepi peranti.

Sumber : amanz.my

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.