Pelbagai eksperimen dilakukan di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) untuk memajukan pemahaman manusia dalam sains dan teknologi. Tetapi selama ini data yang dikumpul perlu dihantar pulang ke bumi terlebih dahulu untuk diproses kerana kemampuan pengkomputeran yang tidak cukup berkuasa,

Pada 20 Februari kelak, Spaceborne Computer-2 akan dihantar ke ISS dan akan mempunyai peningkatan unit pengkomputeran 2 kali ganda lebih tinggi berbanding generasi terdahulu. Ia turut dilengkapi GPU yang boleh memproses imej seperti X-Ray dan gambar dari bumi secara terus tanpa perlu dihantar ke bumi.

Selain itu pelbagai data dari sensor dan satelit boleh dikumpul oleh Spaceborne Computer-2. Data yang selama ini mengambil masa berbulan untuk diproses kini akan mengambil masa beberapa minit sahaja.

Komputer khas untuk angkasa lepas ini dibangunkan oleh Hewlett Packard Enterprise (HPE) dengan kerjasama Microsoft Azure. Sekiranya anda tertanya-tanya mengapa komputer biasa tidak dihantar ke ISS selama ini, jawapannya ialah keperluan yang unik. Ia perlu tahan gegaran dan daya-G yang tinggi ketika dilancarkan dari bumi di samping mampu beroperasi dengan radiasi angkasa lepas yang tinggi.

Spaceborne Computer-2 akan beroperasi di ISS sehingga 3 tahun dan data yang dikumpul akan digunakan NASA untuk membangunkan komputer yang lebih tahan lasak untuk misi pengembaraan manusia ke bulan, Marikh dan seterusnya.

Sumber : amanz.my

By neto

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.