Oleh: Elmaliana Albahari, Noor Hayati Hashim,
Pusat Pengurusan ICT MARDI

Pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memberikan impak kepada budaya kerja seluruh kakitangan pelbagai institusi.  Bekerja di rumah (BDR) bukan lagi perkara baru dan menjadi normal baharu yang diadaptasi oleh semua demi kelangsungan hidup dan mengelakkan penularan wabak ini.

Pelbagai aplikasi diperkenalkan dan digunakan bagi tujuan pemantauan serta memastikan impak bekerja dari rumah masih berkesan.  Sistem pemantauan ini sebagai satu kaedah alternatif memastikan kakitangan masih mampu bekerja dengan efisien.  Antaranya Sistem Pemantauan Operasi Tugas Saya atau Spot-Me yang dibangunkan oleh MAMPU dapat memudahkan urusan merekod daftar masuk/keluar sepanjang masa pegawai BDR.  Penggunaan sistem ini mendapat sambutan perluasan pelaksanaan di peringkat kementerian serta agensi.  Kewujudan Spot-Me berjaya dimanfaatkan oleh semua pengguna dengan ciri-ciri dan antaramuka sistem yang mudah dieksplorasi dan memenuhi keperluan agensi.

Selain pemantauan kehadiran BDR oleh penyelia, tetapan lokasi di dalam sistem ini membolehkan sistem ini menjejaki lokasi pegawai setiap kali daftar masuk/keluar atau daftar pergerakan dilakukan.  Kaedah ini dapat memastikan pegawai kekal berada di lokasi yang didaftarkan serta mematuhi arahan PKP serta tidak melakukan kesalahan merentas daerah/negeri sepanjang tempoh ini.  Sekiranya pegawai perlu hadir ke pejabat atau berada lokasi kerja yang berbeza semasa BDR, pegawai boleh melakukan daftar pergerakan di dalam sistem ini.  Penyelia akan menerima notifikasi bagi tujuan pemantauan.

Normal baharu BDR telah mengubah seluruh aspek kehidupan manusia dan membataskan perjumpaan secara fizikal sesama kakitangan, namun kepelbagaian teknologi pada masa kini membolehkan semangat bekerja secara harmoni dan positif masih wujud dengan hanya berjumpa di alam maya.  Perubahan global ini mempengaruhi cara kehidupan peribadi dan sosial serta cara bekerja di kebanyakan organisasi.  Spot-Me meningkatkan impak kerja yang baik dengan pemantauan catatan tugasan harian.  Pegawai dapat menulis tugasan harian yang dilaksanakan setiap hari dan mendapatkan pengesahan dari penyelia.  Fungsi ini membantu pegawai menyusun kerja-kerja harian dan memastikan sasaran kerja tahunan dapat dilaksanakan dengan baik dan dicapai tidak kira di mana lokasi keberadaan pegawai sepanjang tempoh PKP berlangsung.

Wabak maut dengan pelbagai varian baharu ini menyebabkan pekerja terpaksa BDR secara berpanjangan dan tiada kepastian kesudahannya. Spot-Me bukan sahaja sebagai medium pemantauan dan penjejak pegawai yang BDR malahan dapat meningkatkan keupayaan daya insan serta integriti diri.  Skop bekerja di rumah boleh dirancang dengan baik bagi menjamin impak positif kepada organisasi.  Pegawai yang amanah menggunakan masa BDR dengan baik dapat memberikan manfaat kepada organisasi sekaligus memenuhi arahan kerajaan untuk mematuhi SOP sepanjang PKP.

Penghargaan: Bahagian Pembangunan Aplikasi, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU)

Antaramuka utama log masuk Spot-Me
Dashboard Pegawai mempunyai catatan kehadiran, pergerakan harian dan catatan tugasan harian.

sumber asal : www.majalahsains.com

By neto

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.