Stanene – Bahan Baru yang yang diramal Merevolusi Industri Elektronik Abad ini

Oleh: Mohd Faizal Aziz

BANGI:  Satu bahan baru yang dikenali dengan nama ‘stanene‘ telah disebut oleh Profesor Emeritus Dr Muhammad Mat Salleh sebagai bahan yang diramalkan mampu merevolusi bidang elektronik abad ini. Beliau benar-benar berharap penyelidikan tentang bahan ini dimulakan oleh generasi penyelidik pada hari ini kerana potensi bahan ini di masa hadapan sangat memberansangkan dalam industri berteknologi tinggi. Ia dinyatakan dalam syarahan Profesor Emeritus Dr Muhammad Mat Salleh anjuran Institut Kejuruteraan Mikro & Nanoelekronik (IMEN),Universiti Kebangsaan Malaysia.

Stanene berasal daripada istilah Latin iaitu Stannum untuk timah, yang merujuk kepada bahan penebat topologi 2 dimensi (2D) lapisan atom timah tunggal disusun membentuk lapisan berbentuk heksagonal seperti grafin. Dalam syarahan beliau, Profesor Dr Muhammad turut memperkenalkan istilah Bahasa Melayu untuk ‘stanene’ sebagai ‘timahin’. Stanene pada awalnya dijangkakan secara teori akan menjadi bahan penebat topologi 2D pada tahun 2011. Ciri-ciri keunggulan stanene seperti yang dibentangkan termasuklah memiliki kesan spin kuantum-Hall, berpotensi menghasilkan superkonduktor suhu bilik, berpotensi menghasilkan transistor kesan medan (Field Effect Transistor) yang lebih pantas berbanding teknologi sedia ada.

ARTIKEL BERKAITANZarah Kuantum dan Topologi dalam Hadiah Nobel 2016
ARTIKEL BERKAITANBengkel Topological Phase Transition and New Developments di Nanyang Technology University, Singapura

Syarahan yang berjudul “Menelusuri Evolusi Industri Elektronik bagi Merintis Kecemerlangan UKM Pasca 50 tahun Penubuhannya” merupakan syarahan pertama sebagai Profesor Emeritus Dr Muhammad Mat Salleh yang juga merupakan Felo Utama Institut Kejuruteraan Mikro & Nanoelekronik (IMEN) yang diadakan di Persada Canselori, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Dalam syarahan yang dihadiri kira-kira 150 hadirin yang terdiri daripada pensyarah, penyelidik dan pelajar, Prof Muhammad Mat Salleh mengimbau kembali pengalaman beliau sebagai pensyarah di UKM selama 48 tahun yang telah melahirkan ramai pakar fizik tempatan dan luar negara. Beliau turut berkongsi secara ringkas bagaimana era sejarah teknologi elektronik bermula sejak tiub vakuum diperkenalkan pada tahun 1904 sehingga zaman nanoteknologi pada hari ini

Selain telah menghasilkan ratusan makalah yang diterbitkan di jurnal-jurnal tempatan dan antarabangsa, Profesor Emeritus Muhammad Mat Salleh turut menerima pelbagai anugerah antaranya ialah WIPO Award for Outstanding Invention 1999 untuk Optical Carbon Monoxide Gas Sensor, 28th International Invention Geneva 2000 – Optical Gas Sensor, 30th International Invention Geneva 2002 – Optical Electronic Nose, Seoul International Invention Fair 2002 – Optical Electronic Nose. Di peringkat nasional pula beliau telah dianugerai Kandiah Invention Award 1999, Gold medal for invention of electronic Nose dan Rekabentuk Organic Light Emitting Diode (OLED) di ITEX 2002.

Mengakhiri syarahan beliau, Profesor Meritus Dr Muhammad Mat Salleh melontarkan satu falsafah warga Korea Selatan dalam bekerja dan mengejar kemajuan. Ujar beliau, warga Korea tidak bekerja mencari rezeki untuk mengisi perut sendiri, tetapi warga Korea bekerja untuk mengisi perut seluruh rakyat Korea. Oleh itu kata beliau, sekiranya budaya tidak mementingkan diri sendiri ini diamalkan, maka kemajuan akan tercapai tidak kira di mana sahaja berada termasuk di universiti, institusi malahan negara sekalipun.

Gambar dari facebook UKM

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.