STEM Perlu diseimbangkan dengan HACD

Oleh: Dzulkifli Abdul Razak, Prof. Tan Sri

Penghargaan kepada Nazmi Lao daripada Akademi Sains Malaysia (ASM) atas terjemahan. Artikel asal diterbitkan oleh New Straits Times pada 15hb July, 2018

Sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik atau lebih dikenali sebagai STEM merupakan istilah yang sering menjadi buah sebutan ramai semenjak beberapa tahun lepas.

Seperti biasa, Malaysia mengambil jalan mudah dengan mengikuti tanpa mengenali sesuatu perkara itu dengan lebih mendalam lagi. STEM telah menggantikan STI (sains, teknologi dan inovasi). Terdahulu, STI pernah menjadi trend sewaktu istilah “inovasi” menjadi sebutan umum, dipopularkan melalui ungkapan “innovate or die”. Namun begitu, bukankah selama ini sains dan teknologi dipacu oleh kreativiti dan inovasi?

Sebelum wujudnya era sains dan teknologi, kreativiti merupakan salah satu ciri utama pencipta-pereka seperti Thomas Edison dan Alfred Nobel. Malahan, Anugerah Nobel telah memaparkan barisan penerima anugerah terdiri daripada individu yang kreatif dan berinovasi.

Jika kita kembali semula ke zaman terdahulu lagi, “sains” adalah satu-satunya pilihan yang diketengahkan dalam pendidikan, dan pilihan tersebut disifatkan tergolong dikalangan mereka yang elit.

Mari kita sama-sama menjejaki kelahiran ilmu sains moden semasa zaman Renaissance di Itali sekitar abad ke-16. Pada masa itu, sains dikenali sebagai “falsafah alam semulajadi”. Para saintis pada zaman itu dikenali sebagai “ahli falsafah alam” atau “penyiasat alam semulajadi”. Tiga abad kemudian, barulah perkataan “saintis” dicipta.

Sains boleh disifatkan sebagai falsafah  yang cuba menjelaskan dunia di sekeliling kita. Namun begitu, sains pada masa kini hanya bersifat utilitarian dan tidak mempunyai penghayatan mahupun jiwa. Sains pada masa kini lebih berpandukan inovasi dari aspek ekonomi, yakni memenuhi kehendak pasaran semata-mata.

Ini boleh diperjelaskan dengan industri ketenteraan yang dicipta oleh Presiden Amerika Syarikat ke-34, Jeneral Dwight Eisenhower (1953-1961). Industri ketenteraan tersebut diilhamkan daripada teknologi peperangan yang seterusnya telah membentuk imej S&T yang dinikmati pada masa kini. Tanpa disedari, kita semua telah menikmati hasil sains dan teknologi di bawah kekangan dan hipokrisi tersebut.

Bom atom ciptaan “Manhattan Project” yang menjahanamkan Hiroshima dan Nagasaki pada tahun 1945 merupakan contoh nyata membuktikan penglibatan saintis terkemuka dalam kesan negatif bidang sains.

Kita telah dibiasakan dengan impak sains yang positif sehingga ia telah membayangi kesan-kesan negatif. Hinggakan pada masa kini, sains dianggap sebagai suatu “senjata” dalam memerangi masalah kemiskinan, kebuluran, serta isu-isu global lain.

Selain itu, sains turut digunakan sebagai “strategi” yang mendefinisikan semula pencarian naluri kemanusiaan secara mekanikal dalam cara semudah mungkin. Fenomena tersebut seiring dengan paradigma STEM yang bersifat teknosentrik malah utilitarian, dan tidak mempunyai nilai kemanusiaan.

Untuk membetulkan ketidakseimbangan tersebut, akronim STEM telah dikembangkan menjadi STEAM atau STREAM dengan menerapkan unsur-unsur baharu: yakni R untuk agama (Religion); E untuk etika (Ethics) mahupun beberapa pihak tertentu merujuk kepada Bahasa Inggeris (English); A untuk kesenian atau estetika (Arts atau Aesthetics) dan M untuk pengurusan (Management) atau perubatan (Medicine). Kesemua elemen tambahan ini merupakan ciri-ciri untuk “memanusiakan” STEM, namun ianya tidak mampu diarusperdanakan disebabkan alasan sesetengah pihak yang menganggap bahawa STEM itu paling sempurna semata-mata kerana ia berasal dari Amerika Syarikat.

Cuba kita tinjau semula beberapa institusi tempatan untuk memahami pembangunan dan penyampaian mereka, dalam usaha untuk memperkukuh keunggulan STEM. Pada masa yang sama, kita telah mengenepikan STEAM dan STREAM. Ini mencerminkan pemikiran terutamanya dalam kalangan saintis dan organisasi saintifik tempatan yang agak membimbangkan. Mengapakah ini berlaku sedemikian?

Perkembangan terkini ialah dengan pengenalan akronim terbaru daripada Amerika Syarikat, iaitu HACD. HACD merupakan singkatan untuk Humanities, Arts, Craft and Design (kemanusiaan, kesenian, pertukangan dan rekabentuk). Dengan adanya HACD, kita tidak perlu lagi mengendahkan STEAM mahupun STREAM.

Walaupun elemen yang diketengahkan dalam HACD membawa penekanan berbeza, namun secara keseluruhannya ianya serupa dengan STEAM mahupun STREAM.

HACD merupakan usaha untuk melengkapi STEM yang dianggap tidak mampu menyelesaikan isu-isu masa kini dengan cara berperikemanusiaan, terutamanya isu-isu berkaitan dengan manusia. Secara tuntas, penyelesaian masalah secara teknologi canggih (hi-tech) tanpa sentuhan insani (hi-touch) bakal menimbulkan masalah “saintifik” yang lain, misalnya perubahan iklim dan pemanasan global, ataupun bom atom pada zaman 1940-an.

Namun begitu, terdapat implikasi kecil dalam jalan penyelesaian ini. Anthropocentrism, atau kepercayaan bahawa manusia merupakan entiti yang tetinggi di alam semesta, merupakan salah satu punca utama masalah tersebut.

Kesimpulannya, tanggapan bahawa STEM merupakan “gaya pemikiran lama” perlu difahami semula – walaupun secara hakikatnya tindakan tersebut perlu dimulakan sekurang-kurangnya sedekad lalu.

Kepada mereka yang sinis, laporan yang diterbitkan oleh Board on Higher Education and Workforce di bawah US National Academies of Sciences, Engineering, and Medicine menyarankan agar HACD disepadukan dengan sains, teknologi, kejuruteraan, matematik dan perubatan dalam kurikulum kolej serta pasca-graduan.

Laporan tersebut diterbitkan setelah mendapati jurang semakin meluas dalam sistem pendidikan Amerika Syarikat (dan juga Malaysia) di antara kurikulum kesusasteraan dan pengkhususan berkaitan dengan pekerjaan.

Laporan tersebut menyatakan bahawa “Ironinya, seiring dengan perkembangan pendidikan yang lebih tertumpu dan berdisiplin, ramai majikan (terutamanya daripada bidang berteknologi tinggi) mementingkan hasil pembelajaran yang mempunyai unsur pendidikan bersepadu seperti pemikiran kritis, komunikasi, kerjasama, dan kemahiran pembelajaran sepanjang hayat.”

Sekali lagi, Amerika Syarikat telah bersuara. Oleh itu, wajarlah kita mematuhinya seperti mana kita turut mematuhi STEM. Namun begitu, kali ini kita perlu mengambil kira konteks negara kita juga. Oleh itu, mana satu pilihan kita: STEAM atau STREAM?

Nota – Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak merupakan penerima anugerah Tokoh Akademik Negara 2017. Beliau merupakan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), mantan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Felo Akademi Sains Malaysia (ASM) dan Felo Akademi Sains dan Sastera Sedunia (WAAS) dan mantan Naib Canselor USM (2000-2011). Beliau boleh dihubungi melalui emel: dzulrazak51@gmail.com

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.