Sedia maklum, aplikasi pemesejan Telegram sering menawarkan beberapa fungsi dan ciri menarik dalam usaha menambahbaik pengalaman komunikasi dalam kalangan pengguna. Dalam perkembangan terkini, mereka hadir dengan beberapa lagi kemaskini dengan menyertakan sejumlah kawalan baharu seperti pautan khas untuk jemputan sertai group, fungsi mesej boleh dipadam secara automatik, fungsi widget pada skrin utama dan sejumlah lagi ciri menarik lain.

Melaluinya, pengguna kini boleh mencipta pautan khas untuk dikongsi kepada mana-mana pengguna lain – bagi membolehkan mereka menyertai sesebuah group dalam Telegram dengan lebih mudah. Pautan ini turut boleh ditukar menjadi kod QR yang boleh diimbas. Lebih menariknya lagi, pautan dan kod QR ini boleh ditetapkan tempoh untuk kekerapan penggunaannya kepada beberapa pilihan – misalnya 10 kali, 100 kali atau tanpa had. Fungsi ini bagaimanapun, hanya boleh diakses oleh pentadbir group sahaja.

Seterusnya, fungsi mesej dipadam secara automatik pula membolehkan pentadbir sesebuah group mempunyai keupayaan untuk memadam sebarang mesej dengan mudah. Melaluinya, pentadbir boleh menetapkan masa tertentu untuk mesej tersebut dipadam secara automatik – misalnya dalam masa sehari atau seminggu selepas ianya dikirim.

Tidak ketinggalan, Telegram kini turut membenarkan pengguna Android untuk menambah fungsi Widget pada skrin utama peranti. Ia bukan sahaja mampu memberi akses serta-merta, malah turut memudahkan pengalaman pengunaan ramai pihak.

Antara sejumlah fungsi dan ciri lain yang disertakan pada kemaskini kali ini – adalah seperti ahli pada group kini tanpa had, fungsi import mesej dan sistem laporan juga ditambah-baik dan lebih banyak emoji beranimasi baharu yang diperkenalkan. Bagi pengguna Telegram yang masih belum menerima ciri dan fungsi baharu ini, anda disarankan untuk semak serta pastikan aplikasi anda telah dikemaskini.

Sumber : amanz.my

By neto

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.