Oleh : Nur Nasuha Zolkifli & Dr. Chong Ju Lian
Pusat Pengajian Sains Marin & Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu

Sering kali kita mendengar berita mengenai haiwan yang diancam kepupusan di media massa seperti televisyen, surat khabar, majalah dan media cetak yang lain. Pastinya haiwan seperti harimau, seladang, gajah dan tapir akan terbayang di benak fikiran kita. Namun begitu, tahukah anda terdapat satu lagi spesies yang sedang diancam kepupusan sebaris dengan haiwan ikonik yang lain? Spesies tersebut merupakan haiwan mamalia bersisik yang dikenali sebagai tenggiling.

Terdapat lapan spesies tenggiling di dunia dengan empat spesies tenggiling mendiami benua Asia iaitu Tenggiling Malaya atau Tenggiling Sunda (Manis javanica), Tenggiling China (Manis pentadactyla), Tenggiling India (Manis crassicaudata) dan Tenggiling Filipina (Manis culionensis). Di Afrika pula spesies yang boleh ditemui adalah seperti Tenggiling Gergasi (Smutsia gigantae), Tenggiling Berperut Putih (Phataginus tricuspis), Tenggiling Temminck (Smutsia temminckii) dan Tenggiling Berperut Hitam (Phataginus tetradactyla).

Namun, Tenggiling Sunda merupakan satu-satunya spesies tenggiling yang boleh ditemui di Malaysia. Keunikan rupa bentuknya menyebabkan haiwan ini mempunyai tarikannya yang tersendiri. Haiwan unik ini aktif pada waktu malam dengan kelakuan serta sifat fizikalnya  diadaptasi bersesuaian dengan corak pemakanannya yang memakan semut dan anai-anai.

Tenggiling Sunda memainkan peranan ekologi yang penting di ekosistem hutan melalui pemakanannya. Mengikut sorotan kajian, Tenggiling Sunda direkodkan mampu memakan  200,000 semut pada setiap kali waktu makan. Jumlah yang banyak ini menjadikan populasi semut dan anai-anai di habitat asal dikawal, memandangkan semut dan anai-anai boleh menjadi makhluk perosak sekiranya populasinya tidak terkawal. Secara amnya, semut dan anai-anai akan bersarang di dalam tanah, busut atau di dalam batang pokok. Proses pembinaan sarang pada pokok hidup akan menyebabkan bahagian dalam batang pokok berongga dan seterusnya akan membunuh pokok atau membahayakan manusia dan haiwan lain kerana kebarangkalian pokok untuk tumbang adalah tinggi. Oleh itu, dengan kewujudan tenggiling sebagai pemangsa utama semut dan anai-anai di pokok-pokok di dalam hutan, kelestarian ekosistem dapat dikekalkan. Namun, di sebalik keunikan haiwan ini, tenggiling diancam dengan kepupusan.

Ancaman kepupusan

Menurut Senarai Merah IUCN, Tenggiling Sunda di Asia Tenggara mencatat pemerosotan drastik populasinya walaupun tidak terdapat banyak data mengenai bilangannya, dengan data umumnya diperolehi daripada masyarakat setempat, Orang Asal dan hasil pemerdagangannya sama ada haram atau sah di sisi undang-undang. Di Semenanjung Malaysia, Tenggiling Sunda turut mencatatkan penurunan populasi, dengan semakin jarang penemuannya dilaporkan oleh masyarakat setempat. Kemusnahan habitat dan pemburuan haram merupakan faktor-faktor utama yang dikenal pasti mengancam Tenggiling Sunda di taburan sebarannya.

Antara kemusnahan habitat termasuk penebangan hutan secara skala besar yang mana hutan-hutan dara telah ditebang bagi pelbagai tujuan seperti penerokaan kawasan baru untuk pembangunan, rangkaian lebuh raya, penempatan manusia, penternakan, perladangan dan pembalakan. Walaupun Tenggiling Sunda dilaporkan mempunyai tahap keteradaptasian yang tinggi terhadap perubahan di persekitarannya, namun penebangan hutan berskala besar secara tidak langsung akan memberi impak kepada tempat tinggal dan sumber makanannya. Tambahan, tenggiling akan menjadi sasaran mudah bagi para pemburu dan pemangsa memandangkan kawasan persembunyiannya semakin berkurangan. Tenggiling Sunda menggunakan dahan pokok, banir pokok dan juga lubang dalam pokok sebagai sarang untuk berehat dan memelihara anak. Ketiadaan pokok-pokok di hutan bukan sahaja menyukarkan tenggiling untuk berlindung, malah akan menyebabkan ibu tenggiling yang masih menyusu dan menjaga anaknya terdedah kepada bahaya bencana alam dan menjadi sasaran mudah pemburu dan pemangsa.

Pemburuan haram Tenggiling Sunda telah meningkat akibat dipengaruhi oleh permintaan yang tinggi daripada pasaran gelap antarabangsa terutamanya dari negara China dan Vietnam. Walaupun dengan wujudnya undang-undang yang menyeluruh dan hukuman yang tegas di banyak negara, masih terdapat lagi restoran yang menyediakan makanan eksotik seperti daging tenggiling yang boleh mencecah sehingga lebih RM1,000 sekilogram di pasaran haram. Walaupun harganya mahal, daging tenggiling sering mendapat permintaan yang tinggi daripada penggemar makanan eksotik terutamanya di luar negara yang mempercayai dagingnya mempunyai khasiat untuk kesihatan. Dengan itu, selagi kepercayaan ini masih berterusan, maka tenggiling akan terus diburu oleh pemburu-pemburu haram.

Selain dagingnya, sisik tenggiling yang diperbuat daripada keratin yang turut membentuk kuku dan rambut manusia dianggap sangat baik untuk tujuan perubatan tradisional terutamanya di Hong Kong, Vietnam, China untuk mengubati penyakit hati dan kanser selain dipercayai boleh membersihkan toksin dalam badan. Ironinya, kaedah pembuatan ubat-ubatan tradisional bukanlah 100% terdiri daripada sisik tenggiling tetapi merupakan formulasi pelbagai jenis herba. Namun, disebabkan tanggapan salah yang telah lama mempengaruhi pengguna ubat-ubatan tradisional, maka permintaan terhadap tenggiling dan produk-produknya semakin meningkat. Walaupun perdagangan antarabangsa haiwan ini dan produk-produknya telah dilarang bermula pada tahun 2016, namun terdapat lagi banyak kedai-kedai perubatan Cina yang masih menjual sisik tenggiling dengan harga lebih kurang RM250.00 bagi 40 gram.

Walaupun pelbagai undang-undang dan peraturan telah diperkenalkan dan dikuatkuasakan, masalah pemburuan tenggiling secara haram untuk mendapatkan daging, sisik, kulit dan bahagian-bahagian lain yang dikatakan memberi kekuatan kepada manusia terus berleluasa. Pemburu haram ini bukan sahaja mengeksploitasikan tenggiling malahan mengaut keuntungan yang banyak melalui kegiatan ini. Permintaan yang tinggi melalui pasaran antarabangsa dan tempatan terhadap spesies ini menjadi punca utama kegiatan pemburuan haram terus berleluasa.

Pada tahun 2008, Tenggiling Sunda diklasifikasikan sebagai haiwan terancam oleh Senarai Merah Spesies Terancam (IUCN), sebaris dengan haiwan ikonik yang lain seperti Harimau Malaya (Panthera tigris jacksoni) dan Gajah Asia (Elephas maximus). Namun, disebabkan pemburuan haram yang berleluasa, Tenggiling Sunda telah diklasifikasikan sebagai haiwan sangat terancam pada tahun 2014. Pengklasifikasian baharu ini merupakan amaran terakhir supaya tindakan pemuliharaan dilakukan secepat mungkin sebelum haiwan unik ini pupus dari muka bumi.

Masa hadapan tenggiling Sunda

Dewasa ini, pandemik Covid-19 atau juga dikenali sebagai SARS-CoV-2 menyebabkan tenggiling menjadi tumpuan dunia apabila para penyelidik melaporkan bahawa tenggiling Sunda yang diperolehi dalam rampasan di selatan negara China telah dikenal pasti sebagai perumah perantara untuk virus corona yang mempunyai hubungan rapat dengan SARS-CoV-2 melalui penjujukan metagenomik yang telah dijalankan. Namun, pemerdaganga tenggiling dan produknya dipercayai tidak akan terjejas akibat penemuan atau laporan tersebut, dan para penyelidikan dan aktivitis konservasi seluruh dunia sedang memantau dengan teliti keadaan terkini akan pemerdagangan tersebut.

Untuk memastikan kemandirian spesis tenggiling, beberapa langkah perlu diambil untuk jangka pendek dan jangka panjang seperti menganjurkan program pendidikan, kesedaran, penyelidikan dan penguatkuasaan undang-undang yang mesti dipergiat segera secara bersepadu dan sistematik. Penambahbaikan undang-undang dan penguatkuasaannya adalah untuk memastikan populasi tenggiling di habitatnya terkawal dan mengurangkan permintaan melalui kerjasama pihak berkuasa dengan komuniti setempat dalam pengurusan populasi tenggiling. Juga bagi usaha pemuliharaan jangka masa panjang, amatlah digalakkan untuk mewujudkan satu pusat konservasi dan penyelidikan di Malaysia yang memfokuskan khusus untuk tenggiling.

Mengambil contoh usaha konservasi tenggiling yang berjaya di beberapa buah negara luar seperti Cambodia, Nepal dan Singapura, maka Malaysia juga perlu mempergiatkan lagi  langkah untuk memulihara tenggiling di Malaysia. Program kesedaran amat signifikan untuk dijalankan sebagai salah satu langkah proaktif dan dijangka akan membantu daripada aspek pemuliharaan tenggiling. Hal ini kerana, usaha pemuliharaan tenggiling ini akan diterapkan kepada masyarakat. Impak yang diperolehi daripada usaha konservasi sebegini diharapkan mampu meningkatkan tahap kesedaran mengenai haiwan yang diancam kepupusan terutama kepada generasi muda supaya mereka dapat membantu dalam melindungi haiwan terancam ini.

Program kesedaran awam bagi pemuliharaan haiwan tenggiling amatlah digalakkan untuk dijalankan kepada masyarakat terutamanya pelajar sekolah. Dalam usaha program kesedaran ini, kombinasi seni, sains, sosial dan literasi akan didedahkan kepada masyarakat agar maklumat pemuliharaan tenggiling ini dapat disampaikan kepada masyarakat seluruh dunia. Pelbagai aktiviti boleh diadakan seperti melukis, mewarna, bercerita, seminar saintifik, pameran tentang tenggiling dan memberi penjelasan sebenar kenapa ia perlu dipulihara supaya masyarakat dapat pendedahan yang lebih terperinci mengenai kepentingan tenggiling terhadap ekosistem. Selain itu, melalui perlaksanaan program kesedaran dan pemuliharaan tenggiling ini, masyarakat khususnya pelajar sekolah akan membawa mesej yang disampaikan iaitu memulihara spesies terancam sebagai tanggungjawab bersama sehinggalah mereka dewasa kelak.

Rujukan

Berman, A., Arce-Contreras, R., Zimmerman, R. R., & Uhlemann, S. (2015) Protection sought for pangolins, world’s most illegal trafficked mammals [online]. Retrieved from http://www.biologicaldiversity.org/news/pressreleases/2015/pangolin-07-15-2015.html

Challender, D., Willcox, D.H.A., Panjang, E., Lim, N., Nash, H., Heinrich, S. & Chong, J. (2019). Manis javanica. The IUCN Red List of Threatened Species 2019: e.T12763A123584856. https://dx.doi.org/10.2305/IUCN.UK.2019-3.RLTS.T12763A123584856.en. Downloaded on 04 August 2020.

Chong, J. L., Muhammad Hafiz, S., & Marina, H. (2016) Conservation of the Sunda Pangolin (Manis javanica) in Peninsular Malaysia: Important findings and conclusion. Malayan Nature Journal, 68(4), 161-171.

Kaspal, P. (2009) Saving the pangolins: ethno zoology and pangolin conservation awareness in human dominated landscape. Rufford Small Grant Foundation, Canary Islands.

Lam, T.T., Jia, N., Zhang, Y. et al. Identifying SARS-CoV-2-related coronaviruses in Malayan pangolins. Nature 583, 282–285 (2020). https://doi.org/10.1038/s41586-020-2169-0

Lim, N. T. L., & Ng, P. K. L. (2008) Home range, activity cycle and natal den usage of a female Sunda pangolin Manis javanica (Mammalia: Pholidota) in Singapore. Endangered Species Research, 4, 233-240.

Newton, P., Thai, N. V., Roberton, S., & Bell, D. (2008) Pangolin in Peril: using local hunters’ knowledge to conserve elusive species in Vietnam. Endangered Species Research, 6, 41-53.

Pantel, S., & Chin, S. Y. (2009) Pangolin capture and trade in Malaysia. Proceedings of workshop on trade and conservation of pangolins native to South and Southeast Asia. TRAFFIC BULLETIN. Malaysia: Petaling Jaya. pp. 138-157.

Pantel, S., & Noorainie, A. A. (2010) A preliminary assessment of pangolin trade in Sabah. Petaling Jaya, Selangor, Malaysia: TRAFFIC Southeast Asia.

Sulaiman, M. H. & Chong, J. L. (2016). Tenggiling Sunda Khazanah Alam Malaysia. Penerbit UMT,

Universiti Malaysia Terengganu.

Kredit Foto : Dr. Chong Ju Lian

sumber asal : www.majalahsains.com

By neto

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.