Tesla Model 3 Diperlihatkan Dengan Kemampuan Swapandu Sepenuhnya

Elon Musk meramalkan kenderaan keluaran Tesla akan mempunyai kemampuan swapandu sepenuhnya pada penghujung tahun ini. Ramalan beliau ini boleh dikatakan amat berani kerana kemampuan swapandu terbaik setakat ini hanya Tahap 3 di mana ia terhad kepada perjalanan di lebuh raya tetapi tidak boleh digunakan secara menyeluruh dari titik A ke titik B.

Selepas mengumumkan Full Self Driving Computer semalam, Tesla telah memuat naik video yang memperlihatkan sebuah Model 3 melakukan pemanduan Tahap 4. Kenderaan dipandu secara automatik sepenuhnya dari tempat meletak kereta, melalui jalan bandar sebelum memasuki lebuh raya. Ia mampu menukar lorong dan berhenti di simpang tanpa sebarang campur tangan pemandu manusia.

Ini menjadikan Tesla syarikat pertama yang menunjukkan kemampuan Tahap 4 pada kenderaan keluaran mereka. Kesemua ini dilakukan dengan Full Self Driving Computer yang mempunyai kemampuan memproses 21 kali ganda lebih tinggi berbanding komputer keluaran NVIDIA yang digunakan sebelum ini.

Sistem swapandu ini dahulunya dianggap fiksyen sains seperti siri TV The Knight Rider. Selepas hampir empat dekad KITT memaparkan kemampuan swapandu, ia akhirnya menjadi realiti menerusi sistem swapandu Autopilot Tesla.

Baca – Mengenali Klasifikasi Swapandu – Bagaimana Sesebuah Kenderaan Dinilai Dengan Teknologi Ini

Sumber : amanz.my

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.