Trend Menanam Pokok Hiasan: Jom Hijaukan Rumah Anda Tanpa Mengancam Biodiversiti!

Oleh : Aliaa Athirah Adam Malek & Rafidah Abdul Rahman
Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa oleh kerajaan berikutan berlakunya penularan jangkitan virus pandemik Covid-19 di seluruh dunia, semua orang dikehendaki duduk di rumah untuk memutuskan rangkaian jangkitan. Maka ramai yang telah mencuba hobi baru bagi mengisi masa terluang dengan melakukan pelbagai aktiviti menarik seperti mencuba resepi baharu, menghias, mengubah suai dan mengecat rumah serta ada yang cuba nasib berniaga pelbagai produk makanan secara atas talian. Bagi mereka yang mula berjinak dengan dekorasi dan hiasan rumah, sudah tentu mengisi masa terluang di rumah dengan mencari rujukan idea dekorasi dan hiasan terkini di internet. Trend terkini menunjukkan ramai masyarakat Malaysia menanam pokok hiasan hidup di dalam rumah khususnya. Kriteria pemilihan pokok hiasan mengambil kira faktor seperti mudah dijaga, mempunyai nilai estetika dan kebaikan tersendiri. Para saintis mendapati tumbuhan segar merupakan pilihan yang paling efektif untuk membersihkan udara. Walau bagaimanapun, faktor keselamatan perlu diambil kira semasa memilih pokok hiasan terutamanya penanaman dalam rumah supaya tidak mendatangkan kemudaratan dan ancaman kepada penghuni rumah tersebut. Usah cepat terperdaya tentang pokok hiasan tular di laman sosial.

Pelbagai tumbuhan hiasan menjadi tumpuan seperti pokok lidah mentua, pokok kaktus dan bonsai, serta tidak dilupakan pokok seperti orkid dan periuk kera yang sudah sekian lama diminati oleh orang ramai. Apa yang membimbangkan adalah hobi ini bukan hanya sekadar menghijaukan rumah dan memberikan sistem pengudaraan yang baik tetapi turut memberi kesan kepada biodiversiti dan persekitaran. Bagaimana hal ini boleh berlaku?

Orkid Periuk kera

Cakna Sumber Pokok Hiasan Anda

Pemilihan tumbuhan hiasan untuk ditanam bukan sekadar mengikut trend semasa atau minat semata-mata. Pernahkan anda terfikir, dari mana datangnya pokok-pokok hiasan ini, terutama pokok tempatan kita? Terdapat kes penyeludupan dan kecurian tumbuh-tumbuhan ini dari habitat asal untuk didagangkan. Idea menanam dan menjual tumbuhan yang diseludup bukanlah satu idea yang baik. Antara tanaman yang sering menjadi sasaran ialah spesies orkid, periuk kera, asam batu (Begonia) dan keladi hutan kerana permintaan yang tinggi dalam pasaran. Penjualan tumbuhan hiasan secara haram tidak lagi terhad di nurseri fizikal, bahkan kewujudan peniaga atas talian turut merancakkan lagi keadaan. Kebanyakan tumbuhan yang dicuri daripada habitat asal atau di dalam hutan tidak mampu untuk bertahan lama di dalam rumah kerana memerlukan persekitaran yang ambien. Permintaan yang tinggi dalam kalangan pengguna memberi ancaman kepada populasi habitat asal dan biodiversiti. Tanpa permintaan daripada pengguna, rantaian ini mampu diputuskan. Bagi mengatasi masalah ini, penguatkuasaan undang-undang perlu diperketatkan dalam memantau kes kecurian spesies hutan, seterusnya mengelakkan spesies tersebut terus terancam dan pupus.

Daripada mahu kepada tidak mahu

Tahukah anda bahawa jika anda membuang tumbuhan hiasan merata tempat, ianya boleh menggangu ekosistem sedia ada. Apabila anda mula bekerja seperti biasa setelah tamatnya PKP, masa anda menjadi terhad dan terpaksa meninggalkan hobi baru, lantas membiarkan atau membuang tumbuhan hiasan anda dimana-mana sahaja. Sifat tumbuhan hiasan yang mudah membiak menyebabkan peningkatan populasi kerana ia mudah beradaptasi dengan sekeliling, lama kelamaan menjadi ‘spesies ceroboh’. Spesies ceroboh ini akan memberi persaingan dan ancaman kepada spesies tempatan. Sebagai contoh, Plectranthus monostachyus (Labiatae) mempunyai rupa seakan-akan pokok lavender dari segi susunan dan warna bunga, namun ia mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan. Tumbuhan ini berasal daripada Afrika Barat dan dibawa ke Malaysia 10 tahun yang lalu untuk dijadikan pokok hiasan. Kini, tumbuhan ini telah bertukar menjadi rumpai kerana membiak dengan terlalu cepat dan mudah tumbuh di kawasan lapang.

Plectranthus monostachyus (Labiatae) mempunyai susunan dan warna bunga seakan lavender. (Foto: Rafidah Abdul Rahman)

Kesimpulannya, hobi menanam pokok hiasan bukan sahaja menarik, malah dapat meningkatkan kreativiti dan mengisi masa bersama keluarga. Tanggungjawab yang besar diperlukan kerana hobi ini menuntut penjagaan rapi dan melibatkan kos serta tenaga. Hasilnya, persekitaran rumah anda akan menjadi cantik tanpa merosakkan alam semula jadi. Sama seperti menjaga haiwan peliharaan, tumbuhan memerlukan pengendalian yang teratur serta penjagaan jangka panjang. Lakukan penyelidikan terlebih dahulu dan kenal pasti spesies ceroboh atau asing yang boleh memberi kesan kepada ekologi dan persekitaran. Jika perlu, dapatkan nasihat daripada ahli hortikultur atau mereka yang berpengalaman dalam pengurusan tumbuhan hiasan. Hati-hati dengan tanaman beracun yang boleh mengundang kemudaratan seperti mengeluarkan getah dan mempunyai duri tajam.

Aliaa Athirah Adam Malek dan Rafidah Abdul Rahman berkhidmat di Herbarium Kebangsaan (KEP) yang terletak di kampus Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong.

Bacaan lanjut

Kiew R. (2016) New Plant Records, Three New Labiatae Records for Malaysia. Conservation Malaysia, Isu 23. Ms 6 – 8.

Ong PT, O’Byrne P, Wendy YSY, Saw LG. (2011) Wild Orchids Of Peninsular Malaysia. FRIM Publication.

Kredit Foto :
Wanista
Hj.Esa Md. Yunos
BungaOngNursery

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*