Tumor dan Kanser: Apakah Perbezaannya?

Oleh : Muhamad Firdaus Rahim
Artikel ini merupakan perkongsian dari portal HelloDoktor

Istilah tumor dan kanser sering digunakan secara liberal tanpa mengikut disiplin maksud asalnya. Walaupun nampak serupa, sebenarnya ada perbezaan dari maksudnya.

Tumor ialah istilah umum bagi ketumbuhan

Perkataan tumor berasal dari bahasa Latin yang membawa maksud to swell atau bengkak atau ketumbuhan. Dalam ilmu perubatan, tumor berlaku apabila terdapat perkembangan sel tertentu dalam tubuh di luar kawalan.

Setiap sel mempunyai kapasiti untuk berkembang biak, kecuali sel jantung dan otak. Perkembangan tersebut dikawal oleh faktor tertentu. Apabila diperlukan, bilangan sel tertentu akan bertambah dan berhenti jika tidak diperlukan.

Sebagai contoh apabila kulit luka, sel kulit di bahagian terbabit mati. Tubuh akan menghantar isyarat agar sel kulit baru dihasilkan untuk menggantikan sel mati tersebut. Apabila bilangan sel diganti sudah mencukupi, isyarat untuk berhenti pula dihantar.

Tumor berlaku apabila sel berkembang biak tanpa kawalan atau keperluan sehingga terkumpul dan menghasilkan ketumbuhan. Ia berlaku disebabkan mutasi pada DNA sel terbabit. Setiap sel berpotensi membentuk tumor.

Terdapat dua jenis tumor: malignan dan benigna

Perbezaan utama antara malignan dan benigna ialah malignan mempunyai potensi untuk menembusi membran dasar (basement membrane) yang memisahkan antara sel dan struktur di bawahnya. Kesannya, sel malignan tersebut boleh merebak (metastasise) ke bahagian lain, paling kerap paru-paru, tulang, hati, dan otak. Kebiasaannya, tumor sudah berada di tahap lanjut apabila sudah merebak.

Selain malignan, kanser juga merujuk kepada maksud yang sama.

Sel malignan menembusi membran dasar (basement membrane)

Benigna pula tidak boleh menembusi membran dasar dan tidak merebak ke bahagian lain. Ia lebih kurang bahaya berbanding malignan. Simptom dan komplikasi mungkin berlaku disebabkan fizikal tumor tersebut yang menghimpit struktur di sekelilingnya.

Jadi, apabila bercakap tentang kanser, ia membawa maksud malignan. Tumor pula istilah yang lebih umum bagi ketumbuhan.

Rujukan :

Benign Tumors – https://www.webmd.com/a-to-z-guides/benign-tumors-causes-treatments#1

What’s the Difference Between Malignant and Benign – https://www.cancercenter.com/discussions/blog/whats-the-difference-benign-and-malignant-tumors/

11total visits,7visits today

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.