Ubi Gadong (Discorea Sp. Ubi Beracun yang Banyak Manfaat

Airul Ain Ashri & Azwan Mat Lazim, PhD
Ubi gadong merupakan sejenis ubi yang eksotik di negara kita. Ia mungkin menjadi salah satu sumber karbohidrat suatu ketika dahulu, namun kini ubi gadong kian dilupakan. Oleh kerana ia mengandungi komponen sianida dalam kumpulan alkaloidnya, ubi ini perlulah direndam dan dicuci dengan bersih terlebih dahulu bagi membuang racun (discorina) sebelum boleh dimakan atau digunakan sebagai ubatan. Apa yang menarik, ekstrak daripada ubi ini telah digunakan sebagai salah satu ramuan dalam penghasilan racun bagi masyarakat tradisional Melayu dalam menuba ikan dan mengawal makhluk perosak bagi penanaman padi. Selain itu ia turut digunakan oleh pengamal ilmu hitam dalam ramuan santau atau sihir. Oleh kerana ubi ini tidak lagi digunakan secara meluas, maka kumpulan penyelidikan kami telah mengeksploitasi serta memodifikasi hasil daripada ubi ini kepada suatu bahan yang lebih sofisikated. Antaranya hidrogel, surfaktan, pengelmusi, titik nano dan salutan. Dalam siri kajian ubi gadong, sebagai pengenalan, kumpulan penyelidikan kami akan memperkenalkan tentang manfaat yang boleh diperoleh daripada ubi beracun ini.
1.0 Ubi Gadong (Dioscorea Hispida Dennst)
Dioscorea hispida Dennst atau lebih dikenali sebagai ubi gadong di Malaysia adalah sejenis tumbuhan monokotiledon. Dahulu, ubi gadong sangat terkenal di kalangan orang Melayu terutamanya di negeri Terengganu dan Kedah tetapi kini ubi ini kian dilupakan. Terdapat lebih kurang 1137 spesies Dioscorea yang terdapat diseluruh dunia dan kajian saintifik mengenainya telah bermula sejak tahun 1953 oleh para saintis di Amerika Syarikat. Taburan spesies ini sangat meluas di mana ia meliputi dari utara India merangkumi China Selatan hingga ke New Guinea. Ia tumbuh secara meliar di kawasan seperti hutan sekunder, belukar dan ada kalanya ditanam di halaman rumah serta mampu hidup dalam pelbagai keadaan cuaca serta dapat hidup bertahun lamanya dan amat sukar untuk mati. Terdapat beberapa nama dagangan bagi spesies Dioscorea hispida di serata dunia. Antaranya adalah seperti Mitsuda dokoro (Jepun), Podava (India) dan sikapa (Makassar). Di Malaysia sendiri ubi ini dikenali dengan pelbagai nama seperti tuba ubi, ubi nasi, ubi cerok, ubi kendudok, ubi kipas, gadog, gadong lilin, gadong mabuk, ubi arak dan taring pelanduk
2.0 Ciri-ciri Botani dan Taksonomi
Secara umum, ubi gadong adalah sejenis tumbuhan yang merayap dan memanjat di mana ia boleh mencapai ketinggian 5 hingga 20 meter. Arah rambatannya adalah berputar ke kiri (melawan arah jam, jika dilihat dari atas). Ciri khas ini penting untuk membezakan ubi gadong dengan gembili (Dioscorea aculeata) yang memiliki penampilan yang sama tetapi arah putaran batang ke kanan (mengikut arah jam). Daunnya bewarna hijau pekat, berbentuk tiga segi seakan-akan daun sirih dan tidak bercantum antara satu sama lain dengan urat daun yang jelas kelihatan. Rajah 1 menunjukkan ubi gadong dan daun ubi gadong. Batangnya yang berduri pula mempunyai ketebalan antara 0.5 hingga 1 cm, berbentuk silinder dan berwarna hijau dan ia boleh melilit batang pokok lain atau menjalar di atas tanah. Bunganya bewarna kekuningan dan berbau wangi serta tumbuh di bawah daun tetapi ia amat jarang ditemui.
Rajah 1 (Atas) Dioscorea hispida Dennst (ubi gadong) dan (Bawah) daun ubi gadong yang berbentuk tiga segi
Rajah 2. Bahagian pokok Dioscorea hispida. 1. batang melilit, 2. Ubi, 3. batang, 4. cabang berbungan (bunga jantan), 5. bunga jantan dan 6.buah (kapsul)
Ubi gadong membesar di dalam tanah seperti ubi kayu dan ubi keledek. Dalam satu liang atau pangkal pokok terdapat beberapa biji ubi dan berbentuk agak bulat dan boleh membesar sehingga mencapai beberapa kilogram, berkulit keras nipis dan terdapat akar serabut disekelilingnya. Kulitnya berwarna coklat kekuningan atau agak gelap sedikit bergantung kepada jenis tanah. Apabila ubi gadong terlalu tua di dalam tanah kulitnya akan bertukar menjadi warna kehijauan menunjukkan ia mengandungi kuantiti racun yang tinggi. Kaedah tanaman lazimnya menggunakan keratan ubi dan jarang menggunakan biji benih atau keratan batang. Rajah 2 menunjukkan morfologi bahagian pada pokok Dioscorea hispida Dennst.
3.0 Manfaat Ubi Gadong
3.1 Perubatan (Mengubati penyakit)
Gadong adalah sejenis tumbuhan liar yang boleh dimakan selepas proses pembuangan racun dilakukan. Ubi gadong biasanya direbus atau dijadikan kerepek. Selain sebagai sumber makanan kepada penduduk setempat, ubi gadong juga bermanfaat dalam mengubati pelbagai jenis penyakit. Masyarakat di Indonesia dan selatan China menggunakan parutan ubi gadong sebagai rawatan awal bagi penyakit kusta. Ia juga digunakan bagi mengubati penyakit kutil, kapalan dan mata ikan manakala di Thailand pula, hirisan ubi gadong digunakan untuk mengurangkan kekejangan perut juga menghilangkan nanah pada kulit akibat luka. Masyarakat di Filipina telah menggunakan ubi gadong bagi melegakan penyakit arthritis dan rumatik. Ia juga boleh digunakan untuk membunuh kutu (belatung) yang terdapat pada luka binatang. Bagi masyarakat Melayu di Malaysia, ubi ini akan dikeringkan sebelum dijadikan bedak untuk rawatan muka berjeragat dan jerawat. Turut dilaporkan bahawa masyarakat di negara China telah menggunakan ekstrak ubi ini sebagai alfrodisiak dan pembesaran payudara.
3.2 Pertanian (Racun Perosak Organik)
Ubi gadong juga bermanfaat dalam bidang pertanian. Secara semulajadi, banyak serangga yang memakan tumbuhan yang mempunyai kandungan pyrrolizidine alkaloid. Hasilnya alkaloid ini akan terkumpul di dalam badan serangga menyebabkan kerosakan saraf dan seterusnya mengakibatkan kematian. Para petani di Kedah menggunakan ubi gadong untuk mengawal serangan perosak tanaman terutamanya ulat pengorek batang di sawah padi. Para petani akan menaburkan hirisan ubi gadong ke kawasan sawah padi. Kaedah ini didapati berkesan untuk mengurangkan dan mengawal populasi ulat pengorek. Kematian ulat pengorek mungkin disebabkan oleh racun dioscorina yang terdapat pada ubi gadong. Kajian yang dijalankan di Jepun dan Filipina ke atas ubi gadong menunjukkan keupayaan ubi ini untuk mengawal pertumbuhan larva serangga jenis Lepidoptera (kupu-kupu). Toksin ini merencat sistem pencernaan larva Lepidoptera hingga menyebabkan pertumbuhannya terbantut dan seterusnya mengakibatkan kematian. Ubi gadong berpotensi untuk dijadikan racun organik bagi mengawal haiwan perosak seperti ulat pengorek tanah dan siput gondang. Ubi gadong ini boleh digunakan sebagai salah satu alternatif bagi menggantikan racun kimia yang tidak menjejaskan kesihatan manusia serta mesra alam. Toksin organik ini tidak menyebabkan kesan residual, lebih selamat untuk digunakan serta jauh lebih murah.
3.3 Industri (Pewangi dan Peluntur)
Selain digunakan di dalam bidang perubatan dan pertanian, ubi gadong juga berpotensi digunakan sebagai pewangi kerana bunga kuning daripada ubi gadong berbau wangi dan dapat digunakan untuk mengharumkan pakaian. Kebanyakan masyarakat di Bali telah menggunakan bunga gadong untuk mewangikan pakaian dan sebagai perhiasan rambut. Cecair kuning yang terdapat pada isi dan teras (sap) ubi gadong turut digunakan sebagai peluntur pakaian.
4.0 Komposisi Nutrisi
Ubi bukan hanya sekadar sebagai jaminan makanan dan punca mata pencarian tetapi merupakan sumber nutrisi kepada berjuta penduduk di seluruh dunia. Ubi ini kaya dengan karbohidrat, vitamin dan mineral terutamanya jika diambil dalam kuantiti yang banyak. Kebanyakan spesies ubi ini mengandungi jumlah kalium yang tinggi, di mana kalium dapat membantu untuk mengawal tekanan darah. Ubi gadong sangat sesuai dimakan oleh penghidap tekanan darah tinggi tetapi tidak digalakkan untuk pesakit yang mengalami kegagalan ginjal. Jika dahulu, ubi ini mungkin menjadi makanan ruji bagi penduduk di Malaysia dengan dipelbagaikan kaedah masakan seperti merebus, bakar, dibuat bingka dan juga kerepek. Namun begitu, kini ubi ini tidak lagi popular mungkin disebabkan sumbernya yang sukar diperoleh. Walaupun begitu, ubi ini masih lagi menjadi pilihan alternatif bagi penduduk sekitar pantai timur Malaysia.


Nota : Prof. Madya Dr Azwan Lazim merupakan pensyarah kimia di Fakulti Sains dan Teknologi, UKM

Write a Comment

view all comments

*