Ujian Rangkaian 5G Tempatan Akan Dikembangkan Ke 6 Buah Negeri Bermula Oktober Hingga Mac 2020

Melalui Pelan Gentian Optik Dan Kesalinghubungan Negara (NFCP), kerajaan Malaysia sedang menguji pelbagai cara bagaimana rangkaian telekomunikasi 5G boleh memanfaatkan semua rakyat Malaysia.

Buat masa ini, kesemua ujian-ujian rangkaian 5G sedang giat dijalankan di kawasan Lembah Kelang dimana syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan memperlihatkan kaedah ujian masing-masing.

Hari ini, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah mengumumkan bahawa ujian rangkaian 5G ini akan dikembangkan kepada enam buah negeri lain bermula bulan Oktober 2019 sehingga Mac 2020.

Negeri-negeri yang akan mempelopori ujian rangkaian 5G yang meluas ini termasuklah Selangor, Perak, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Pengembangan ujian ini bukan sahaja akan menguji kadar kelajuan penghantaran data, tetapi juga pelbagai jenis ekosistem berlainan yang boleh memanfaatkan penggunaan rangkaian data berkelajuan tinggi ini.

Pihak SKMM telah mengesahkan bahawa syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan tersebut akan menguji rangkaian 5G mereka melalui 55 kes uji-kaji menerusi sembilan tiang utama. Ini termasuklah:

  • Pertanian (TM, Maxis)
  • Penjagaan Kesihatan Digital (Digi, U Mobile)
  • Pendidikan (Digi, Maxis)
  • Hiburan (Altel, Digi, TM)
  • Pembuatan (Altel)
  • Sektor petroleum (Petronas)
  • Bandar Pintar (Altel, Celcom, Digi, edotco, Maxis, TM, U Mobile)
  • Pengangkutan Pintar (Altel)
  • Pelancongan (Digi, TM)

Diantara projek-projek menarik yang diumumkan oleh pihak SKMM termasuklah ujian kenderaan swapandu yang akan dikepalai oleh Altel, dimana ia akan diuji di Pulau Langkawi pada bulan Januari 2020 tidak lama lagi. Pihak Altel dikatakan akan mengumumkan butiran lebih lanjut mengenai ujian kenderaan swapandu ini tidak lama lagi.

Syarikat-syarikat startup tempatan yang berminat untuk menguji keberkesanan aplikasi mereka dengan rangkaian 5G tempatan boleh mendaftar minat dengan Digi melalui 5G OpenLab @ Rekascape di Cyberjaya dimana syarikat tersebut sedang menjalankan ujian 5G mereka sendiri.

Apabila bercakap mengenai 5G, konsep Industrial Revolution 4.0 (IR4.0) pastinya tidak jauh ketinggalan. Di negeri-negeri Perak dan Terengganu, Altel dan Petronas akan menguji teknologi-teknologi terbaru didalam sektor pembuatan dan petroleum untuk memastikan proses-proses dalaman boleh bergerak dengan cekap tanpa memerlukan jumlah pekerja yang ramai, dimana mereka boleh menjalankan tugas-tugas lain.

Menurut Al-Ishsal Ishak, Ketua Pegawai Eksekutif SKMM, ujian-ujian rangkaian 5G ini akan memakan belanja sebanyak RM116 juta, dan ia akan dilaburkan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi yang akan menjalankan ujian-ujian di enam buah negeri ini.

Beliau juga tidak menidakkan kemungkinan negeri-negeri lain yang akan menjalankan ujian yang sama, cuma pada masa ini, inilah kawasan-kawasan yang akan hadir dengan ujian 5G.

Untuk bacaan lebih lanjut mengenai ujian-ujian 5G yang akan dijalankan di enam buat negeri ini, anda boleh membaca mengenainya di laman web NFCP.

Sumber : amanz.my

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.