Ulasan: Acer Chromebook Spin 11, Sebuah Chromebook Kecil Yang Memudahkan

Sudah lama saya meminati Chrome OS. Sejak saya cuba Chrome OS pada Pixelbook dan menghabiskan masa hanya beberapa minit, terus terlintas difikiran – “Patut atau tidak tinggalkan Windows dan pindah ke Chrome OS sepenuhnya?“. Tetapi ternyata tidak, atas sebab-sebab yang tertentu.

Ya, Chrome OS tidak dinafikan adalah satu sistem operasi ringan yang baik. Ia adalah sebuah pelayar web Chrome dalam bentuk sistem operasi. Tetapi anda semua tahu apa yang Google Chrome lakukan pada RAM anda? Adakah ia sama di pada Chrome OS dan apa sebabnya Chrome OS tidak sesuai menggantikan Windows? Artikel ini adalah ulasannya.

Spesifikasi

Acer Chromebook Spin 11
Skrin 11.6″ 1366×768 Sesentuh + Stylus Wacom
Pemproses Intel Celeron N3350
Kad Grafik Intel HD 500
RAM 4GB-8GB
Storan 32GB – 64GB eMMC
Sistem Operasi Chrome OS
I/O Port bicu audio (mikrofon + headphone)
2x USB-C
2x Type-A USB3.1
1x Slot MikroSD
1x Slot kunci kensington
Video Tiada
Lain-lain Satu port USB-C boleh digunakan untuk
pengecasan
Harga RM1,499 – RM1,899

Chromebook ini menggunakan skrin 11.6-inci dengan resolusi 1366 x 768 dan ia menyokong sesentuh serta stylus dari Wacom. Bingkainya pula agak tebal dan menjengkelkan untuk digunakan.

Ia dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Celeron N3350, memori 4GB RAM dan storan 64GB eMMC. Untuk cip grafik pula ia hanya menggunakan Intel HD 500 dan ia hanya untuk kegunaan asas dan tidak boleh digunakan untuk bermain permainan atau kerja-kerja suntingan yang serius. Tetapi, Chromebook ini bukan Windows – jadi cip grafik ini adalah untuk paparan serta sedikit membantu prestasi jika bermain permainan dari Google Play Store.

Dari segi pilihan  I/O pula, Chromebook ini dilengkapi dengan jumlah port yang cukup memadai.

Tedapat dua port USB 3.0 Type-A, dua port USB-C, sebuah port bicu audio 3.5mm, sebuah slot MikroSD dan sebuah port kunci kensington.

Dua pembesar suara yang ada Chromebook ini diletakkan pada bawah komputer riba. Bagi mereka yang mementingkan kualiti bunyi, Chromebook ini mempunyai kualiti audio yang kurang memuaskan dan tidak enak atau sesuai untuk digunakan untuk menonton video atau mendengar muzik.

Reka Bentuk

Rekabentuk Acer Chromebook Spin 11 ini mempunyai rekaan yang ringkas dan kelihatan seperti sebuah netbook zaman dahulu. Cangkerangnya diperbuat daripada plastik dan secara keseluruhan Acer seperti tidak hirau akan kemasan peranti ini.

Cangkerang bahagian papan kekunci dan komponen Chromebook ini juga diperbuat daripada plastik, termasuk panel belakang bahagian skrin. Logo Chrome dan Acer turut diletakkan di panel belakang skrin untuk memberi identiti ini adalah sebuah Chromebook  dan bukannya komputer riba biasa. Masalah kelenturan pada skrin juga terasa serius rekaan binaan plastik. Satu sahaja bahan besi yang kelihatan pada Chromebook  ini adalah engsel untuk skrinnya.

Papan Kekunci, Pad Sesentuh Dan Skrin Sesentuh

Kerja-kerja menaip juga boleh dikatakan kurang selesa. Ini adalah kerana susun atur papan kekuncinya kecil dan jarak setiap kekunci terlalu rapat. Jadi apabila melakukan kerja menaip artikel atau dokumen, kekunci lain pasti akan tertekan secara tidak sengaja.

Untuk pad sesentuh pula, ia kurang tepat. Pad sesentuhnya kurang responsif. Apabila menggunakan pad sesentuh, mengawal sedikit sukar dan kerja-kerja yang dilakukan adalah tidak sempurna. Solusinya adalah menggunakan tetikus.

Disebabkan Chromebook ini menyokong skrin sesentuh, selain daripada menggunakan pad sesentuh – skrin turut boleh digunakan untuk mengawal. Skrinnya pula menyokong stylus dari Wacom. Sewaktu menguji Chromebook ini, stylus yang digunakan adalah daripada Samsung Galaxy Note 9 dan penulisan menggunakan stylus ini agak baik. Walaupun tidak begitu tepat, tapi ia menjalankan tugasnya dengan baik.

Ciri-Ciri

Tidak banyak ciri menarik yang boleh diceritakan pada Chromebook ini. Ini kerana ini adalah sebuah Chromebook asas. Ciri menarik yang saya cuba adalah permainan dari Google Play Store. Disebabkan Acer Chromebook Spin 11 ini adalah Chromebook rasmi dan diiktiraf Google, ia menyokong Google Play Store. Banyak aplikasi Android yang boleh digunakan.

USB-Cnya pula boleh dikatakan baik. Ia adalah jenis 3.0 jadi pemindahan fail-fail adalah pantas. Menarik sekali, port USB-C sebelah kanan Chromebook  menyokong pengecasan. Ini bermakna, jika pengecas USB-C asalnya tertinggal – pengecas USB-C lain turut boleh digunakan.

Mod tablet atau khemah (tent mode) turut disokong. Skrinnya boleh dipusingkan terus ke belakang dan mengubah kepada mod tablet. Secara automatik ia adalah seakan tablet Android yang tebal dan berat. Walaupun boleh, tetapi tidak digalakkan kerana ia tidak selesa.

Ciri menarik lain adalah, nyahkunci Chromebook ini dengan peranti Android. Ia boleh ditetapkan melalui fungsi Smart Lock. Jadi apabila peranti Android dinyahkunci menggunakan imbasan cap jari atau imbasan wajah – Chromebook turut akan dinyahkunci.

Menjadikan Chromebook ini lebih menarik adalah port USB-Cnya turut menyokong sambungan ke paparan skrin lain. Untuk ujian, Chromebook  ini disambung pada paparan skrin LG melengkung. Ia boleh dipaparkan, tetapi disebabkan kekurangan display driver dan cip grafik yang lemah – pixel-pixel resolusi boleh kelihatan.

Prestasi

Prestasi pada awal menggunakannya, iaitu sebaik sahaja dinyahkotak terasa lengah masa yang serius. Ia sangat perlahan. Tetapi selepas beberapa hari menggunakannya, boleh dikatakan tidak ada masalah. Mungkin pada masa awal penggunaan, Chrome banyak menggunakan RAM dan CPU untuk proses penyelarian akaun Google dan pemasangan aplikasi.

Akan tetapi, atas percubaan PUBG Mobile melalui pemasangan dari Google Play Store – adalah tidak digalakkan. Ia langsung tidak stabil dan sangat lengah masa. Skrin kerap beku, kemudian Chrome OS tidak berfungsi sementara kerana aplikasi PUBG Mobile tidak boleh ditutup. Cara terbaik adalah paksa matikan Chromebook dan hidupkannya kembali.

Pengalaman Pengguna

Untuk seorang yang meminati Chrome OS, Acer Chromebook  Spin 11 ini membuat saya berasa sedikit kecewa. Ini mungkin kerana spesifikasinya yang asas. Chromebook yang buat saya jatuh cinta adalah versi premium iaitu jenama Google sendiri dan ia dijana dengan Intel Core generasi ketujuh.

Menjadikan Chromebook ini lemah adalah kekurangan sokongan aplikasi dari Chrome OS sendiri. Antara aplikasi yang saya betul-betul ingin adalah aplikasi penyuntingan gambar. Aplikasi daripada Google Play yang boleh dimuat turun adalah tidak hebat. Ini kerana Chromebook ini mempunyai resolusi yang rendah. Jadi apabila menggunakan aplikasi ini, kerja-kerja penyuntingan adalah terhad.

Jangka hayat Chromebook ini agak baik. Atas percubaan persendirian, saya mencapai sehingga 6 jam penggunaan. Termasuk melayari web, kerja-kerja menulis artikel dan juga menikmati media seperti video dan muzik. Lebih mengejutkan adalah masa standbynya yang hebat. Hari pertama dicas penuh, kemudian tanpa matikannya dan hanya menutup skrin – baki bateri pada hari ketiga masih 70%.

Dari segi skrin, kurang memuaskan. Ia tidak begitu terang. Resolusi kurang dari HD penuh dan pixel-pixel resolusi boleh kelihatan dengan jelas pada sesuatu sudut. Kekurangan sokongan Google Assistant pula membuat pengalaman penggunaan sebuah Chromebook kurang memuaskan.

Kesimpulan

Ya, Pixelbook tidak boleh dibandingkan dengan Acer Chromebook Spin 11 ini. Tetapi, untuk alami penggunaan sebuah Chromebook dengan Chrome OS – ia sudah memadai. Kerana semua ciri Chrome OS turut hadir pada Chromebook ini. Ia ibarat, Pixel 2 adalah peranti Android asli kelas utama dan Nokia 7 adalah Android One dalam kelas pertengahan.

Jadi, patut atau tidak bertukar secara penuh kepada Chrome OS? Jawapannya tidak. Chromebook ini sesuai digunakan sebagai peranti lerja kedua. Ia adalah untuk kerja-kerja yang sangat ringkas dan ringan.

Pemasaran Chromebook di Malaysia adalah kurang menerima sambutan. Jadi tidak banyak penjual yang menjualnya di Malaysia. Harga Chromebook yang kami terima ini adalah RM1,499 untuk variasi 64GB dan 4GB RAM. Variasi 64GB dan 8GB RAM pula dijual pada harga RM1,899. Alternatif lain, jika anda ingin mencuba Chrome OS adalah dengan memasang Chromium OS – iaitu Chrome OS untuk pembangun, tetapi ia tidak menyokong sistem Google seperti Play Store dan lain-lain.

PRO KONTRA
  • Kemaskini Chrome OS terkini.
  • Ciri-ciri yang menarik.
  • Bateri yang menakjubkan.
  • Mudah digunakan dan menarik.
  • Penggunaan seperti pelayar web Chrome.
  • Prestasi yang kurang memuaskan.
  • Papan kekunci yang tidak selesa.
  • Skrin yang kurang terang.
  • Pembesar suara yang lemah.
  • Bingkai skrin terlalu tebal.

Sumber : amanz.my

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.