Ulasan Acer Nitro 5 AMD Ryzen (2020) – Mampu Milik Tetapi Berkuasa

Laptop gaming kini semakin canggih dan berkuasa. Dengan kuasa Nvidia GeForce GTX, anda boleh mainkan pelbagai permainan baharu dengan harga yang hampir sama dengan seunit iPhone, ya, selamat datang ke tahun 2020.

Antara lambakan laptop gaming ini adalah Acer Nitro 5 yang dihadiri dengan AMD Ryzen 7 baharu bersama kad grafik Nvidia GeForce GTX 1650. Ini adalah barisan laptop Acer terkini yang merapatkan jurang antara laptop Acer biasa dengan jenama kelas-atasan, Predator.

Rupa gaya sahaja, laptop in dengan warna Obsidian Black dan kemasan serupa metallic nampak agak premium. Tapi adakah ia sehebat rupa paras luarannya?

Spesifikasi

Ini merupakan spesifikasi unit ulasan yang kami dapati dari Acer Malaysia:

  • CPU: AMD Ryzen 7 4800H
  • GPU: NVIDIA GeForce GTX 1650 4GB GDDR6
  • RAM: 8GB DDR4 3200MHZ
  • Storan: 512GB SSD PCIe NVMe
  • Paparan: 15.6″ FHD (1920×1080) ComfyView IPS 144Hz

Seperti yang disebut sebelum ini, rupa gaya laptop ini memberikan pernampakan premium yang sedap disentuh. Sentuhan sedikit warna merah diperhias di pelbagai sisi laptop ini (termasuklah warna LED pada papan kekunci) nampak memikat dan dalam masa yang sama, membantu dalam membebaskan haba.

Setiap kekunci pada papan kekuncinya agak selesa untuk ditekan, lebih-lebih lagi semasa sesi permainan yang lama. Butang kekunci juga tidak terlalu lembut untuk ditekan. Namun saya ada satu kritikan, butang Nitro diletak terlalu dekat dengan butang backspace, dan beberapa kali butan Nitro itu ditekan secara tidak sengaja.

Walaupun dalam keadaan sesi permainan yang lama sekalipun, haba tidak terasa pada permukaan keyboad. Syabas pada pihak Acer dalam penghasilan reka bentuk laptop ini.

Dari segi I/O 3 port USB adalah biasa-biasa sahaja. Tetapi, cukup untuk kegunaan saya untuk mencucuk headphone USB, HDD mudah alih juga tetikus. Satu sentuhan baik yang mana ia juga menampilkan USB Type-C dan lubang ethernet.

Namun, saya tidak berpuas hati dengan kedudukan lubang kuasa, sukar untuk dicucuh dalam jam pertama menggunakannya. Setelah itu, baru dapat masuk. Mungkin perlunya reka bentuk baru dari segi battery port untuk keluaran akan datang.

Bagi yang masih tertanya-tanya tentang butang Nitro, ia membuka sebuah aplikasi untuk tetapan LED pada keyboard dan mengubah kelajuan kipas tanpa menggunakan ubahsuaian BIOS. Sangat berguna.

Aplikasi ini juga menunjukkan kelajuan kipas semasa. Satu fungsi yang sangat berguna.

Prestasi Permainan

Nitro 5 sangat baik melangsungkan tugasnya sebagai sebuah laptop gaming. Ini fakta. Ia boleh memainkan pelbagai permainan dengan tetapan tinggi dan/atau ultra pada 60fps tanpa lengah. Kipas juga secara automatik melakukan tugasnya dengan baik bila suhu naik akibat kuasa tinggi memainkan permainan. Ini beberapa contoh:

Permainan perlumbaan seperti Forza Horizon dan juga GRID boleh beraksi pada 60fps keatas tanpa apa-apa isu, seperti apa yang anda jangkakan pada kuasa yang ada pada laptop ini. Tiada lag.

Permainan dunia terbuka pula seperti The Division dan Yakuza Zero juga boleh beraksi pada tetapan tinggi atau ultra, dengan mengekalkan kadar bingkai tinggi seperti mana yang dijangka GTX 1650 mampu lakukan.

Cubaan paling berkuasa untuk laptop ini adalah Destiny 2, di mana aksi hebat dalam mod Crucible dapat dijalankan dengan baik. Letupan, warna dan cahaya kekal konsisten seluruh mana-mana sesi.

Pada permainan ini jugalah kita dapat lihat kipas dipasang sehabis kuat. Ini membuatkan permukaan keyboard lebih sejuk, menunjukkan betapa baiknya pengawalan suhu pada laptop ini.

Jangka hayat bateri juga agak baik, 4-6 jam dalam keadaan terbiar dan 3 jam apabila menonton video atau siaran langsung didalam 720p. Ini membuatkannya antara laptop Ryzen terbaik dari segi prestasi bateri.

Harga Dan Nilai Pengguna

Pada harga RM4,299, Acer Nitro 5 duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan pesaing-pesaingnya. Tetapi saya percaya tawaran dari Acer ini lebih baik daripada yang lain. Namun, untuk “future-proof” dan bersedia untuk permainan generasi baru, penambahnaikkan RAM sangat kami sarankan jika anda masih ingin mainkan permainan pada tetapan tinggi.

Jika anda mahu lebih jimat, ada juga Nitro 5 versi Intel Core i5 dengan 4GB RAM pada harga RM3,799. Pilihan di tangan anda.

Kesimpulan

Acer Nitro 5 merupakan kemaskini baharu untuk barisan ini kekal kompetitif dalam arena laptop gaming. Harganya agak munasabah dan cukup berkuasa, sesuai untuk para pelajar yang inginkan laptop “gamer” yang diimpikan untuk main permainan video terkini.

Kelebihan
  • Prestasi terbaik dengan harga yang ditawarkan
  • Sistem penyejukan yang baik membuatkan papan kekunci selesa diguna semasa sesi permainan yang lama
Kekurangan
  • Tempat pencucuh kuasa yang pelik
  • Kapasiti RAM mungkin perlu ditambah kelak
Markah Pembaca: 0 0 undian

Sumber Asasl : gamermalaya.my

Write a Comment

view all comments

*