Siri komputer riba ASUS ZenBook telah diperkenalkan pada pertama kalinya sejak Intel memperkenalkan konsep Ultrabook, iaitu komputer riba nipis, ringan dan berkuasa sejak 10 tahun yang lalu.

Dengan siri CPU generasi ke-11 Intel, Tiger Lake, mereka telah mengemaskini konsep tersebut dengan menamakannya sebagai Intel Evo, dan dengan ASUS ZenBook Flip S OLED UX371, ASUS nampaknya bersedia untuk merevolusikan pasaran komputer riba sekali lagi.

Rekaan

ASUS ZenBook Flip S OLED UX371
Skrin 13.3″ 3840, 4K, 16:10
Pantone Validated
Panel OLED
Pemproses Intel Core i7-1165G7
Grafik Intel Iris Xe
RAM 16 Gigabyte DDR4
Muatan Dalaman 1TB NVMe SSD
Kamera 720p
I/O 2x Thunderbolt 4
1x USB 3.2 Type-A
HDMI Ada
Pembaca Kad Tiada
Sekuriti Pengimbas wajah
SIM Tiada
Bateri 56Wh
Pengecas pantas 65W USB-C
Harga Jualan RM6799

Sebagai salah satu model perintis konsep Ultrabook, siri ASUS ZenBook lazimnya hadir dengan rekaan nipis dan ringan. Dengan ketebalan 13.9mm dan berat 1.2kg, ASUS ZenBook Flip S OLED adalah sebuah komputer riba yang boleh dibawa kemana-mana sahaja dengan mudah.

ASUS ZenBook Flip S OLED ini hadir dengan satu pilihan warna sahaja, iaitu gabungan Jade Black pada bahagian rangka dan Red Copper pada sisi bucu bahagian paparan dan papan kekunci.

Ia dilengkapi sebuah paparan OLED bersaiz 13.3 inci dengan fungsi sesentuh pada resolusi 4K dan nisbah paparan 16:9. Ini bagi kami adalah sesuatu yang sayang kerana nisbah paparan 16:10 dilihat semakin meningkat popularitinya kebelakangan ini, yang memberikan pengguna paparan yang lebih tinggi dan boleh memuatkan lebih banyak kandungan.

Sebagai sebuah komputer riba produktiviti, ia menyokong 100 peratus gamut warna sRGB dan DCI-P3 yang lazimnya diperlukan oleh pereka grafik dan penyunting video profesional untuk mendapatkan warna yang tepat.

Selain daripada itu, paparan ZenBook Flip S OLED boleh dilipat kebelakang dan digunakan sebagai sebuah tablet. Jujur saya katakan saya tidak begitu minat bingkai tebal di bahagian bawah komputer riba ini, khususnya kerana pada pendapat saya resolusi 4K dan saiz skrin 13.3 inci bukanlah suatu padanan yang baik. Ruang bingkai tersebut lebih baik dimanfaatkan untuk kawasan skrin yang lebih besar.

Akan tetapi, saya sedar bahawa bingkai tebal tersebut boleh digunakan untuk memegang komputer riba ini apabila digunakan didalam mod tablet, dan bingkai di bahagian kiri, kanan dan atas komputer tidaklah begitu tebal.

Beralih pula kepada pilihan I/O, ia dilengkapi dua palam Thunderbolt 4 Type-C dengan antaramuka USB Type-C, satu palam USB 3.2 Type-A, dan satu palam HDMI bersaiz penuh.

Pengecasan komputer riba ini menggunakan salah satu daripada palam USB-C, dan boleh dicas menggunakan pengecas PowerDelivery ataupun GaN jika anda seperti saya, malas mahu mengeluarkan pengecas asal dari kotak.

Satu kekurangan utama yang saya dapat lihat ialah ketiadaan pembaca kad SD ataupun MicroSD, dan juga pembuangan palam audio 3.5mm. Anda akan perlu menggunakan pembaca kad SD parti ketiga dan juga pembesar suara ataupun fon kepala dengan sokongan Bluetooth jika anda mahu mendengar audio tanpa mengacau mereka yang duduk bersebelahan anda.

Bahagian pad sesentuh komputer riba ini juga boleh saya katakan agak besar dan selesa digunakan. Jika anda seorang yang memerlukan pad nombor, ZenBook Flip S ini juga hadir dengan sokongan untuk ASUS NumberPad, sebuah fungsi yang menukar pad sesentuh ini menjadi pad nombor dengan satu butang sahaja.

Jika anda seorang pelukis ataupun artis digital, ZenBook Flip S 13 juga dilengkapi dengan sebuah pena stylus yang mempunyai tahap sensitiviti tinggi yang boleh digunakan untuk pelbagai cara lukisan ataupun hanya sebagai satu cara untuk mengambil nota dengan mudah.

Spesifikasi Dalaman

Sebagai sebuah komputer riba dibawah naungan Intel Evo, ASUS ZenBook Flip S ini juga hadir dengan spesifikasi yang agak berkuasa. Model yang kami ulaskan ini dilengkapi dengan CPU Intel Core i7-1165G7, memori DDR4 sebanyak 16GB dan juga storan SSD NVMe PCIe sebesar 1TB.

Dari segi grafik pula, komputer riba ini dilengkapi dengan cip pemprosesan grafik Intel Iris Xe dengan memori sebanyak 8GB yang mencukupi untuk melakukan tugasan yang memerlukan pengolahan grafik seperti video, imej dan juga permainan komputer pada resolusi dan tetapan yang tinggi. ASUS ZenBook Flip S ini juga hadir dengan sejumlah spesifikasi lain yang boleh dipilih, bergantung kepada kemampuan dan keperluan anda.

Bercakap mengenai spesifikasi dalaman, kami juga menjalankan sejumlah ujian penanda-aras untuk memperlihatkan prestasi komputer riba ini.

PCMark:

CrystalDiskMark:

Geekbench (CPU):

Geekbench (GPU Compute)

Skor penanda-aras yang paling menarik dapat dilihat sini hadir pada CrystalDiskMark, dimana kita dapat memperlihatkan kelajuan pembacaan dan penulisan data melangkaui 3000MB/s. Ini bukan sahaja membolehkan pembacaan data yang pantas, tetapi juga mempercepatkan proses pembukaan sistem operasi dan perisian.

Pengalaman Pengguna

Jujur saya katakan, untuk sebuah komputer riba yang padat, nipis dan ringan, ASUS ZenBook Flip S 13 ini adalah sebuah komputer riba yang sangat berkuasa dan fleksibel cara penggunaannya. Tidak kira jika anda bekerja di pejabat, belajar di rumah, ataupun mencari ilham di luar, komputer riba ini serba mampu melakukan pelbagai jenis tugasan yang dicampakkan kepadanya.

Gabungan cip pemprosesan Intel Core i7 generasi ke-11 dengan paparan OLED 13 inci khususnya membolehkan pemilik komputer riba ini digunakan untuk pelbagai jenis tugas. Diantaranya termasuklah penyuntingan dan olahan video beresolusi tinggi menggunakan perisian seperti Adobe Premiere, After Effects dan sebagainya tanpa perlu risau mengenai isu lengah masa.

Dalam pengalaman kami menyunting video menggunakan komputer riba ini, gabungan paparan skrin yang menyokong gamut warna DCI-P3 dan Adobe sRGB lebih dari 100 peratus membantu dalam mencipta video yang mempunyai warna-warna yang tepat dan juga pengolahan video yang pantas.

Sebagai mesin tugasan harian, seperti mencari berita, menulis artikel, mengedit gambar dan sebagainya, ASUS ZenBook Flip S13 ini adalah sebuah komputer riba yang terlebih berkuasa. Jumlah memori besar bermakna bahawa saya boleh membuka seberapa banyak laman web yang saya ingini, cuma isunya ialah paparan 13.3 inci yang kecil menyebabkan ia sukar untuk melihat tab-tab laman web yang dibuka.

Jika anda seperti saya dan membelanjakan banyak masa menonton filem dan siri televisyen di Netflix, paparan ZenBook Flip S13 yang hadir dengan sokongan HDR500 boleh saya katakan adalah peranti mudah-alih yang terbaik untuk tujuan ini.

Paparan OLED terbina hadir dengan olahan warna yang jitu, digabungkan dengan kebolehan melipat paparan kebelakang didalam mod “khemah” membolehkan juga saya untuk meletakkan kudapan dan minuman di hadapan saya tanpa perlu risau tentang ruang di atas meja.

Jika ruang bukan satu isu buat anda, anda boleh memasang ZenBook Flip S ini kepada sebuah paparan skrin yang lebih besar dengan palam HDMI terbina yang menyokong paparan dengan resolusi 4K juga.

Dengan cip pemprosesan grafik Intel Iris Xe pula, komputer riba ini juga mampu menggerakkan sejumlah permainan-permainan komputer. Dua diantara permainan kegemaran saya sekarang ialah Diablo 3 dan juga Genshin Impact, dimana ZenBook Flip S13 ini boleh menggerakkannya pada resolusi Full HD tanpa begitu banyak masalah dengan gabungan tetapan grafik sederhana.

Walaupun begitu, terdapat juga beberapa aspek pada komputer riba ini yang saya tidak begitu gemari. Seperti yang dikatakan sebelum ini, ketiadaan pembaca kad untuk tujuan pembacaan foto ataupun video adalah satu kekurangan yang cukup besar sekali khususnya untuk mereka yang ingin memindahkan gambar atau video dari kamera ke komputer riba secara cepat.

Bukan itu sahaja, pembuangan palam audio 3.5mm apabila ketebalan komputer riba ini masih cukup untuk memuatkan sebuah palam USB Type-A adalah kekurangan yang cukup serius. Ya, kebanyakan fon kepala sekarang hadir dengan sokongan untuk sambungan nirwayar, tetapi masih ramai lagi orang yang masih lagi menggunakan fon kepala berwayar.

Paparan OLED hadir dengan kejituan warna yang terbaik, tetapi satu kelemahan ketara ialah paparan OLED juga memantul cahaya daripada permukaannya, dan oleh kerana ini, bergantung pada dimana anda menggunakan komputer riba ini, ia mungkin menjadi suatu isu untuk anda.

Dari aspek keselamatan, ASUS ZenBook Flip S ini turut dilengkapi dengan sistem log masuk Windows Hello, tetapi sayangnya hanya pengimbas wajah yang disokong, kerana komputer riba ini tidak dilengkapi dengan pengimbas cap jari. Bagi saya ini adalah satu kekurangan yang agak kritikal kerana secara jujurnya saya lebih selesa menggunakan imbasan cap jari berbanding wajah untuk tujuan melog masuk kedalam akaun tanpa menggunakan kata laluan.

ASUS juga mengatakan bahawa ZenBook Flip S ini mempunyai jangka hayat bateri selama sekitar 10 jam, tetapi dengan corak penggunaan kami (kecerahan paparan pada 50 peratus, mod kuasa biasa), dengan satu pengecasan penuh, kami dapat menggunakan komputer riba ini selama sekitar tujuh ke lapan jam, dimana ia tidaklah begitu jauh daripada apa yang dikatakan.

Walaupun begitu, ini hanyalah jika komputer riba ini digunakan untuk tugasan-tugasan pejabat ataupun harian biasa. Jika anda menyunting video ataupun bermain permainan komputer menggunakan bateri, jangkahayatnya akan menurun dengan lebih cepat lagi.

Untuk mengatasi masalah ini, saya kebiasaannya akan membawa pengecas GaN saya kemana-mana, dimana saya boleh menggunakannya untuk mengecas komputer riba ini tampa masalah tidak kira dimana saya berada jika diperlukan. Sebagai rujukan, anda boleh menggunakan mana-mana pengecasan Power Delivery 65W dengan sambungan USB Type-C untuk mengecas komputer riba ini.

Penutup

Pada pendapat saya, ASUS ZenBook Flip S13 ialah sebuah mesin produktiviti tidak banyak pesaing di pasaran sekarang. Gabungan rekaan boleh-ubah bersama-sama dengan panel OLED dan cip pemprosesan Intel terbaru pada harga RM6799 cukup sukar sekali untuk dicari.

Dalam pada itu, prestasi komputer riba ini dalam menggerakkan pelbagai jenis aplikasi dengan baik dalam sebuah rekaan nipis dan ringan menjadikan harga premium komputer riba ini rasa cukup berbaloi sekali pada pendapat saya.

Ya, kekurangan ketara seperti ketiadaan pembaca kad SD dan juga palam audio 3.5mm sangat dirasai, tetapi jika saya mencari sebuah komputer riba berkuasa, dan berkemampuan memilikinya, ini adalah diantara komputer riba pertama yang saya akan syorkan untuk anda dapatkan.

Pro:

  • Rekaan boleh-ubah nipis dan ringan
  • Prestasi mengagumkan dari pelbagai aspek
  • Jangkahayat bateri yang panjang
  • Paparan skrin OLED yang cantik

Kontra

  • Tiada pembaca kad SD dan palam audio
  • Tiada pengimbas cap jari
  • Pantulan cahaya dan bayang pada skrin

Sumber : amanz.my

By neto

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.