Ulasan Buku : Fourth Industrial Revolution: The Leadership Dilemma

Oleh :  Dr Siti Suriani Othman
Pensyarah Kanan
Fakulti Kepimpinan & Pengurusan USIM

Fourth Industrial Revolution: The Leadership Dilemma karya Profesor Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak

Membaca buku berbahasa Inggeris bertajuk Fourth Industrial Revolution: The Leadership Dilemma karya Profesor Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) terbitan Penerbit Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 2018 amat mengujakan kerana masih begitu kurang perbincangan tentang Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) dilakukan secara kritis dan mempersoalkan impaknya kepada kemanusiaan.

Profesor Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak

Kita dapat melihat banyak perbincangan yang dibuat dalam bentuk penulisan dan perdebatan memperlihatkan kecenderungan menerima dengan positif terma popular yang abstrak (ms 12) dan lebih membincangkan tindakan yang perlu dilakukan, dan pengetahuan serta kemahiran yang perlukan tambah baik di pelbagai peringkat dan bidang.

Dalam buku setebal 56 muka surat ini, Dzulkifli membawakan tiga dilema 4IR yang memanggil pemimpin untuk lebih kritikal terhadap revolusi ini kerana golongan pemimpin adalah tunggak yang menggerakkan masyarakat.

Tiga dilema yang dibincangkan adalah pertama: dilema sama ada 4IR perlu dan telah dilihat sebagai “satu peristiwa” atau “kesinambungan peristiwa”; kedua:  sejauh manakah kita perlu berorientasikan manusia (antrosentrisma) atau berorientasikan teknologi (teknosentrisma); dan ketiga: sejauh manakah kita perlu mengaplikasi kebijaksanaan tiruan (artificial intelligence, AI) dan meraikan kebijaksanaan asli yang dianugerah Tuhan.

Peringkat Revolusi Perindustrian

Dalam membincangkan dilema pertama, Dzulkifli menegaskan keperluan untuk memahami 4IR bukan sebagai satu bentuk peristiwa seperti menjalankan ceramah, forum, dan pembangunan modul. Sebaliknya, 4IR perlu dibincangkan dalam kontinum, yang berteraskan kefahaman sejarah tentang Revolusi Perindustrian Pertama dengan perkembangan teknologi wap, Revolusi Perindustrian Kedua dengan pengenalan elektrik dan Revolusi Perindustrian Ketiga dengan kemajuan masyarakat moden dari pelbagai segi. Dalam kontinum ini, 4IR menjanjikan kepelbagaian ketidaktentuan dan kesannya boleh jadi sangat negatif jika tidak ditangani secara bijaksana.

Manusia Vs Teknologi

Kesan jangka panjang termasuklah hilang peluang pekerjaan kerana amalan automasi, pembahagian kekayaan yang tidak seimbang, masalah alam sekitar seperti penipisan ozon, kepupusan spesis serta pemanasan global.

Dilema seterusnya membawa persoalan lebih berat tetapi berkaitan dengan dilema pertama; di manakah letaknya nilai sebagai manusia jika segala-galanya diambil alih oleh teknologi? Status manusia sebagai makluk yang penting semakin diragut oleh teknologi, tetapi bagaimanakah teknologi semata-mata boleh menyelesaikan cabaran-cabaran yang utama di seluruh dunia seperti kesihatan, alam sekitar yang memerlukan suntikan pengalaman manusia untuk memahami, bertindak dan meneraju keseimbangan? Ini membawa kepada persoalan apakah sebenarnya peranan sebenar 4IR kepada umat manusia?

Kebijaksanaan Asli vs Kebijaksanaan Tiruan

Dilema terakhir pula mempersoalkan di manakah kita perlu meletakkan kepentingan “fitrah” berbanding AI yang rata-rata dilihat penyelesai kepada hampir semua masalah dunia. Persoalan asas yang perlu difikirkan pemimpin secara kritis ialah adakah AI akan membantu mengurangkan masalah utama dunia seperti kemiskinan, perkauman dan diskriminasi?

Kritikan utama dalam aspek ini ialah dari segi memfokuskan kepada STEM (sains, teknologi, kejuruteraan, matematik) yang dilihat Dzulkifli sebagai mengenyahkan manusia (dehumanising) kerana tiada unsur kemanusiaan di dalamnya. Di sinilah mudahnya manusia kehilangan hikmah kerana pendidikan bukan lagi menjadi alat untuk mengembangkan hikmah malah hanya untuk kerjaya dan menjana pendapatan (ms 25). Alternatif yang diutarakan ialah STREAM, dengan penekanan terhadap sains dan juga kemanusiaan termasuk agama, etika dan pengurusan. Inilah yang dilakukan oleh Kanada, yang meraikan pengetahuan sebagai mendapat hikmah, kasih sayang dan keamanan dan keberanian menghadapi musuh dengan penuh integriti.

Kepada Dzulkifli, cabaran utama untuk kita semua dalam menatari cabaran 4IR ialah bagaimanakah kita mengekalkan atau meningkatkan nilai kemanusiaan dalam mengharungi arus teknologi.

Pendapat Mendiang Stephen Hawking mengenai Kebijaksanaan Buatan

Menerima 4IR semata-mata tanpa mencari jawapan dan kaedah tindakan bagi persoalan-persoalan yang dibawakan mungkin membawa kepada kemusnahan manusia, sebagaimana diingatkan mendiang Profesor Stephen Hawking (1942-2018) pada 2014, “Perkembangan dan aplikasi sepenuhnya AI akan menjadi sumpahan buat umat manusia” dan ini “sepatutnya perkara terakhir yang kita lakukan sebagai spesis, kerana sekali kita terjerumus, kita tidak akan dapat keluar lagi” (ms35). Hari ini sendiri kita dapat lihat beberapa negara yang sudah mula mengamalkan perancangan ketenteraan yang melibatkan serangan masa yang automatik, melalui arahan umum kepada sistem automasi robot. Melalui sistem ini, lebih ramai “musuh” yang terbunuh, namun ramai juga rakyat biasa yang tidak bersalah menjadi mangsa. Pastinya dalam konteks ini, hilanglah kesedaran keagamaan kerana robot membunuh tanpa mengecam siapa dan tanpa pertimbangan etika.

Rata-rata, buku ini disampaikan dalam bahasa yang mudah difahami walaupun ia membincangkan isu abstrak yang masih begitu kabur. Dengan kaedah penulisan yang ringan dan agak jurnalistik, ia memberi kesegaran kepada intipati dan pembaca seluruhnya. Fokus khusus kepada kepemimpinan mempunyai matlamat yang perlu dan jelas, kerana kedudukan pemimpin dalam mana-mana masyarakat dan budaya, menjadikan mereka golongan yang berpengaruh dan mempengaruhi terutama dalam konteks fenomena 4IR ini. Namun, isi kandungan buku ini juga sangat sesuai dibaca oleh masyarakat umum sebagai salah satu respond kritikal kepada perkembangan ini.

Fokus khusus kepada pemimpin, kerana kedudukan mereka dalam masyarakat & budaya, menjadikan mereka golongan yang berpengaruh & mempengaruhi fenomena 4IR ini

Dengan kekuatan ini, dalam waktu yang sama pendekatan penulisan juga membawa kepada beberapa kelemahan buku ini. Antaranya ialah kecenderungan penulis untuk mengutarakan isu tetapi tidak menghuraikan dengan jelas. Misalnya, konsep modal insan dikritik (ms 26) tetapi tidak dijelaskan permasalahan yang dilihat oleh penulis. Kecenderungan yang sama berlaku pada muka surat 29 apabila penulis menyebut beberapa tinjauan telah dibuat dalam kajian-kajian yang mendapati banyak masalah yang timbul hari ini kerana manusia sendiri. Tinjauan-tinjauan yang dimaksudkan tidak dijelaskan dan lebih baik jika ada sitasi bagi rujukan.

Rata-rata buku ini membuka perspektif baharu terhadap 4IR yang banyak dibincangkan tanpa penilaian kritikal. Kekuatan utama buku ini bukan hanya dari segi perkara yang dibincangkan penulis tetapi ia sesuai diaplikasikan oleh semua tidak terhad kepada golongan pemimpin. Untuk menjadi manusia yang benar-benar manusia, kesedaran spiritual, teknologi dan rangkaian dengan dunia luar dicadangkan dirangkum untuk membentuk manusia yang sedar diri, kenal diri, beretika dan berintegriti.

Kredit Foto :

globaltrademag
mybookstore.usim
www.usim.edu.my
www.cadm.com
medium.com
physiowizard
medium.com

59total visits,51visits today

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.