Ulasan JOI Book 100 – Komputer Riba Murah Dengan Beberapa Kompromi

Laptop-laptop nipis dan berkuasa nampaknya sedang menjadi suatu trend yang cukup popular kebelakangan ini, tidak kiralah jika ia untuk kerja ataupun untuk gaming. Dengan spesifikasi seperti CPU Intel generasi kelapan, storan SSD dan kad grafik berkuasa dari NVIDIA, tanda harga peranti-peranti ini juga semestinya akan membuatkan mata anda terbeliak.

Jadi apakah pilihan bagi mereka yang hanya inginkan sebuah laptop nipis dan ringan yang boleh digunakan untuk tugasan harian pejabat, boleh dibawa kemana sahaja, dan mempunyai bateri yang mampu bertahan selama sehari tanpa perlu membawa kabel pengecasan?

SNS Network baru-baru ini mengumumkan kehadiran peranti laptop terbaru mereka yang dinamakan JOI Book 100. Ia dipasarkan sebagai sebuah laptop ringan dan nipis yang bukan sahaja sesuai untuk melakukan tugasan seharian pejabat, tetapi juga cukup ringan untuk dibawa kemana sahaja, dan hadir pada harga yang sangat mampu milik sekali.

Kami diberi peluang untuk menggunakan peranti JOI Book 100 ini untuk beberapa minggu, dan di dalam ulasan ini, kami akan memberikan pendapat kami jika laptop ini berbaloi dibeli oleh anda.

Spesifikasi Dan Rekabentuk

JOI Book 100
Skrin 14″ IPS LCD Full HD
Pemproses Intel Celeron N3450
Grafik Tiada
RAM 4 Gigabyte LPDDR3
Muatan Dalaman 32Gigabyte EMMC
Kamera 2.0MP
I/O 2x USB 3.0,,
HDMI Ya
Pembaca Kad MikroSD
Imbasan Tiada
SIM Mikro SIM
Bateri 10,000mAh
Harga Jualan RM 1299

JOI Book 100 ini ialah sebuah laptop dengan paparan skrin bersaiz 14 inci dengan bezel nipis, dan hadir dengan rekaan rangka yang diperbuat daripada aluminum. Paparan tersebut mempunyai resolusi Full HD 1920×1080 pixel, dan menggunakan panel IPS yang menjanjikan warna yang cukup terang sekali.

Dari segi spesifikasi dalaman, unit JOI Book 100 yang diberikan kepada kami dilengkapi dengan CPU Intel Celeron N3450, memori DDR4 sebanyak 4GB dan juga storan eMMC sebesar 32GB.

Dari segi I/O, laptop JOI Book 100 ini dilengkapi dua palam USB 3.0, sebuah palam micro HDMI, palam audio 3.5mm dan sebuah pembaca kad microSD.

Menurut laporan sebelum ini, laptop ini hadir dengan model yang mempunyai storan SSD, tetapi sayangnya model tersebut tidak diberikan kepada kami untuk diuji. Jika anda membeli laptop ini, perkara ini bukanlah suatu masalah yang besar kerana anda boleh membuka satu panel kecil di bahagian bawah laptop ini untuk memasang SSD anda sendiri.

JOI Book 100 ini juga hadir dengan paparan bersaiz 14.1 inci dengan resolusi Full HD (1920×1080). Apa yang menarik di sini ialah paparan tersebut mempunyai rekaan bezel yang nipis, dan ini membuatkan laptop tersebut kelihatan cukup segak sekali. Ia juga menggunakan panel IPS yang menjanjikan warna yang terang dan bertenaga, dan juga paparan yang cukup terang sekali.

Walaupun laptop JOI Book 100 ini hadir pada harga yang cukup murah sekali, SNS Network tidak menggunakan bahan berkualiti rendah untuk rekaan rangka laptop ini. Keseluruhan rangka laptop ini diperbuat daripada logam aluminum untuk memastikan bahawa laptop ini dilindungi oleh ketukan dan kemalangan kecil.

Ini juga membuatkan laptop ini lebih berat daripada banyak laptop pada saiz yang sama, tetapi ia adalah kompromi yang sanggup kami terima untuk binaan laptop yang lasak.

Pengalaman Pengguna

Apabila saya menerima laptop ini untuk diuji, saya cukup sangsi akan kebolehannya, walaupun hanya untuk kegunaan harian seperti melayar web, menonton video dan menggunakan perisian seperti Microsoft Office.

Gabungan CPU Intel Celeron dan juga storan eMMC sebesar 32GB sahaja tidak begitu memberangsangkan, malah jumlah memori DDR4 sebesar 4GB sahaja membuatkan kami fikir bahawa laptop ini akan mengalami masalah sela masa yang cukup serius jika kami menggunakan lebih dari dua aplikasi pada masa yang sama.

Kami menguji prestasi laptop ini dengan melakukan tugas-tugas harian kami di pejabat dan juga di luar, Ini termasuklah melayari laman web, menulis menggunakan WordPress, menonton video YouTube pada resolusi HD (720p) dan Full HD (1080p).

Prestasi laptop ini akan kami katakan sedikit bercampur-aduk kerana secara teknikalnya, ia mampu melakukan beberapa ujian yang kami lontarkan ke laptop ini, tetapi terdapat beberapa detik dimana masalah sangkut dan sela masa dapat dilihat, terutamanya apabila menonton video beresolusi tinggi.

Malah, apabila kami menulis artikel dengan laptop ini, terdapat juga ketika dimana teks yang ditaip tersangkut-sangkut apabila kami menaip dengan pantas, dan ini mengganggu konsentrasi kami sewaktu bekerja.

Bercakap mengenai pengalaman menaip, boleh kami katakan bahawa bahagian papan kekunci salah satu daripada komponen yang telah SNS Network kurangkan kos binaannya. Papan kekuncinya bukan sahaja cetek, malah mereka menggunakan pelekat untuk menunjukkan abjad, nombor

Masa yang diperlukan untuk masuk kedalam sistem operasi Windows 10 menggunakan storan eMMC ini mengambil masa dalam 45 saat ke seminit, dan ini biasanya tidaklah begitu teruk, tetapi bergantung kepada perisian yang anda ingin gunakan dengan laptop ini, waktu aktivasi perisian tersebut akan mengambil masa juga.

Masalah ini boleh dibendung dengan memasang sebuah SSD M.2 2280 melalui ruangan yang hadir di bawah laptop JOI Book 100 ini. Anda boleh memuatkan SSD sehingga 512GB, dan kemudian memuat kembali sistem operasi Windows 10 ke SSD tersebut.

Walaupun begitu, masalah RAM yang tidak mencukupi (4GB sahaja) masih terus membelenggu laptop ini. Ini dapat dilihat apabila laman web perlu disegar-semula jika anda membuka terlalu banyak tab pada pelayar web anda.

Dari segi jangka hayat bateri, sepanjang penggunaan kami, laptop JOI Book 100 ini yang menggunakan bateri 10,000mAh mempunyai jangka hayat selama lima hingga enam jam dengan satu pengecasan penuh.

Ini bukanlah angka yang tinggi, tetapi ia cukup panjang untuk melakukan tugas harian di dalam dan di luar pejabat, walaupun anda mungkin akan mahu membawa pengecas laptop ini bersama-sama anda sekiranya anda kehabisan bateri secara tiba-tiba.

Kami ingin menunjukkan skor penanda aras laptop ini, tetapi malangnya, penanda aras yang ingin kami gunakan seperti PCMark dan GeekBench sama ada terlalu besar ataupun memang tidak boleh dibuka pada laptop ini.

Patutkah Saya Membelinya?

Dari segi rekabentuk dan kualiti binaan, JOI Book 100 hadir dengan rekaan logam aluminum menyeluruh yang cukup baik sekali. Kelemahan yang dapat dilihat pada laptop ini hadir melalui pilihan cip pemprosesan Intel Celeron dan memori RAM yang tidak mencukupi.

Jika anda sedang mencari sebuah laptop murah pada harga RM1299 yang hanya akan digunakan untuk tugas-tugas mudah seperti melayar laman web, menonton video ringkas dan menaip teks, laptop JOI Book 100 ini sesuai dengan belanjawan dan keperluan anda.

PRO dan Kelebihan
  • Harga mampu milik
  • Rekaan dan binaan yang berkualiti
  • Penaiktarafan ke storan SSD yang mudah
KONTRA dan Kekurangan
  • Prestasi tersekat-sekat
  • Papan kekunci berkualiti rendah
  • Storan asas yang tidak mencukupi untuk memuat turun perisian dan menyimpan fail

Sumber : amanz.my

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.