Ulasan: Realme 2 Pro – Kelas Pertengahan Berkuasa Pada Harga Mampu Milik

Realme 2 Pro
Skrin 6.3” IPS LCD, FHD+
Chipset Qualcomm Snapdragon 660
CPU 4 x Kryo 260 2.0 GHz
4 x Kryo 260 1.8 GHz
GPU Adreno 512
Memori 4GB / 6GB / 8GB RAM
Storan 64GB / 128GB + mikroSD
Kamera Utama 16MP f/1.7 + 2MP
Kamera Hadapan 16MP f/2.0
Sambungan WiFi 802.11 a/b/g/n/ac
Bluetooth 5.0
A-GPS, GLONASS
Mikro-USB
Sistem ColorOS 5.2
Android 8.1 Oreo
Bateri 3500 mAh, pengecasan 10W
Dimensi 156.7 x 74 x 8.5 mm
Berat & Ketebalan 174g, 8.5mm
Tempoh
Penggunaan
3 minggu

Tahun ini kita menyaksikan banyak telefon kelas pertengahan yang menarik di bawah harga RM1000. Antara yang terawal untuk bersaing di bawah harga ini ialah Xiaomi Redmi Note 5 dengan membawakan cip Snapdragon 636 bersama kapasiti 4000 mAh. Kemudian, muncul pula dengan ASUS ZenFone Max Pro (M1) yang menawarkan spesifikasi seumpama Redmi Note 5, namun penawaran bateri setinggi 5000 mAh. Bagi peminat peranti Android One, Xiaomi juga hadir dengan Xiaomi Mi A2, dengan penawaran cip Snapdragon 660.

Kini muncul satu lagi peranti menarik di bawah RM1000 ini menerusi Realme 2 Pro. Realme ini merupakan sub-jenama daripada OPPO yang ingin menghadirkan peranti berlandaskan slogan “Power Meets Style“. Melalui slogan ini, Realme bukan sahaja ingin menghasilkan peranti yang mempunyai spesifikasi yang berkuasa untuk harganya, tetapi juga mahukan sebuah peranti yang mempunyai rekaan yang anggun bergaya.

Jenama Realme sebelum ini pernah hadir dengan Realme 1 yang membawa penawaran peranti kelas pertengahan melalui janaan cip MediaTek Helio P60. Ia menerima banyak komen positif daripada sejumlah besar pengulas teknologi, atas kehadiran spesifikasi yang berbaloi untuk harganya, kamera yang baik, bersama rekaan peranti yang menarik. Untuk meneruskan kesinambungan peranti ini, mereka hadir dengan Realme 2 Pro yang turut membawakan spesifikasi kelas pertengahan yang berkuasa.

Rekaan

Sebagai permulaan, Realme 2 Pro didatangkan dengan spesifikasi kelas pertengahan, seperti kehadiran skrin 6.3-inci Full HD+ dengan nisbah 19.5:9, cip Snapdragon 660, pilihan memori 4GB / 6GB / 8GB RAM, dan pilihan storan dalaman 64GB / 128GB bersama sokongan mikroSD. Ia juga menawarkan beberapa sambungan standard seperti Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac, Bluetooth 5.0, bersama kapasiti bateri 3500 mAh.

Untuk mengurangkan harga jualan, Realme 2 Pro mempunyai binaan berasaskan polikarbonat, namun Realme bijak dalam memberi citarasa premium pada binaan peranti ini. Ia tidak terasa murah, yang mana saya merasakan ia seolah-olah dibina dengan binaan kaca. Namun tidak seperti Realme 2, rekaannya tidak menampilkan sebarang kemasan berlian, dengan hanya menyajikan tampilan rata yang serba ringkas. Dari segi pilihan warna, Realme 2 Pro ini menawarkan sebanyak dua pilihan warna, mererusi warna hitam dan biru.

Dari segi kedudukan butang, ia membawakan butang kuasa di bahagian kanan, bersama butang pembesar suara dan slot dwi-sim pada bahagian kiri. Menariknya pada slot sim ini, Realme 2 Pro membawakan ruang sim berasingan bagi membolehkan pengguna menggunakan kad mikroSD dan dwi-sim secara serentak. Pada bahagian bawah, ia menempatkan bicu audio 3.5mm dan pembesar suara berasaskan mono, bersama-sama sambungan berasaskan mikro-USB.

Pada bahagian hadapan, ia membawakan paparan IPS LCD sebesar 6.3-inci, dengan resolusi skrin Full HD+ pada nisbah 19.5:9. Seperti OPPO F9, takuk pada Realme 2 Pro menawarkan takuk seumpama titisan air bagi memberi ruang paparan yang lebih luas. Walaupun takuk ini hadir dalam saiz yang kecil, ia masih menempatkan beberapa komponen utama, seperti kamera hadapan, sensor proximity, bersama saluran pendengaran. Untuk kualiti skrin, panel IPS LCD pada peranti ini masih memberi paparan yang sangat baik, dengan memberi darjah pandangan skrin yang luas. Cuma skrin peranti ini hanya dilindungi dengan kaca Corning Gorilla Glass 3 berbanding Corning Gorilla Glass 6 pada OPPO F9.

Untuk perlindungan sekuriti, Realme 2 Pro menyajikan dua perlindugnan biometrik menerusi imbasan jari dan wajah. Kadar imbasan jarinya kelihatan sederhana, tidak seperti Redmi Note 5 yang mampu menyahkunci peranti dengan lebih pantas. Namun untuk imbasan wajahnya, ia kelihatan sangat lancar dan setanding dengan prestasi imbasan wajah pada Honor 8X.

Dari segi variasi, Realme 2 Pro telah ditawarkan dalam tiga variasi yang berbeza menerusi 4GB/64GB, 6GB/64GB, dan 8GB/128GB. Di pasaran Indonesia, Realme 2 Pro ini dijual pada harga jualan Rp. 2,899,000 (~RM802) bagi 4GB/64GB, Rp. 3,299,000 (~RM913) bagi 6GB/64GB, dan Rp. 3,699,000 (~RM1023) bagi 8GB/128GB. Agak menarik pada variasi paling tinggi, ia menggunakan storan UFS 2.1 berbanding eMMC 5.1 untuk memberi kelajuan storan yang lebih pantas. Sekiranya storan dalaman ini tidak mencukupi, anda masih boleh meletakkan kad mikroSD dengan sokongan kad berstoran sehingga 256GB.

Sistem

Antaramuka yang hadir pada Realme 2 Pro ini mempunyai persamaan dengan peranti OPPO kerana ia dijana dengan ColorOS. Ia menyajikan ColorOS 5.2, iaitu iterasi terkini yang anda dapat lihat pada peranti OPPO terkini seperti OPPO F9 dan OPPO Find X. Ia telah dibina berasaskan sistem operasi Android 8.1 Oreo, bagi membolehkan anda memanfaatkan fungsi Autofill untuk kemasukan kata laluan secara sendiri. Antaramuka ini masih membawakan paparan tanpa talam aplikasi, namun menyajikan tampilan yang moden dan ceria.

Perbezaan ColorOS antara peranti OPPO dan peranti ini, ia tidak membawakan sebarang sokongan pertukaran tema, jadi anda kekal untuk menggunakan tema sedia ada. Sebagai alternatif, anda boleh menggunakan pelancar (launcher) pihak ketiga, dengan membolehkan anda mengubah tampilan ikon pada paparan utama. Dengan penggunaan pelancar alternatif ini, anda juga boleh mendapatkan talam aplikasi untuk memudahkan anda menguruskan perletakkan peranti.

Beberapa fungsi menarik pada ColorOS 5 masih disajikan pada Realme 2 Pro ini. Antara fungsi kesukaan saya ialah Game Space yang membolehkan aplikasi meningkatkan kelajuan dan membantu untuk menyorokkan notifikasi ketika permainan. Sekiranya anda kerap ke luar negara, anda boleh menggunakan perkhidmatan O Roaming yang didatangkan, dengan membolehkan anda melanggan internet melalui sokongan eSIM secara terbina. Ia juga membawakan fungsi Phone Manager iaitu pusat sehenti untuk mengawal storan, memori, dan akses sesuatu aplikasi pada peranti anda.

Prestasi

Walaupun ditawarkan pada harga rendah, ia masih membawakan cip kelas pertengahan yang berkuasa untuk harganya, menerusi cip Qualcomm Snapdragon 660. Ia membawakan rekaan cip lapan-teras, menerusi 4 x Kryo 2.0 GHz + 4 x Kryo 260 1.8 GHz, bersama penggunaan GPU Adreno 512. Cip ini telah digunakan pada kebanyakan peranti (termasuk pencabar terdekatnya Xiaomi Mi A2), yang terkenal dengan prestasinya yang pantas. Melalui ujian aplikasi penanda aras seperti AnTuTu Benchmark, peranti ini berjaya meraih mata sekitar 133,955, sekaligus memberi bacaan yang setara dengan cip sekelasnya seperti MediaTek Helio P60 dan HiSilicon Kirin 710.

Ketika diuji di dunia sebenar, cip ini mampu menggalas prestasi harian dengan lancar, terutama ketika menggunakan aplikasi media sosial, aplikasi permesejan, dan pelayar web. Ia tidak memberi sebarang isu untuk prestasi ketika menatal (scrolling) pada aplikasi-aplikasi ini, bersama pembukaan aplikasi yang cukup pantas. Ia juga mampu memainkan permainan terkini seperti PUBG Mobile dengan lancar, dengan menetapkan grafik “Smooth” pada tetapan kadar bingkai (frame rate) “High”. Ia juga tidak memberi isu haba yang terlalu panas ketika memainkan permainan, dengan hanya mengeluarkan haba yang sedikit suam selepas 30 minit sesi permainan.

Kamera

Untuk keupayaan kamera, Realme 2 Pro membawakan sistem kamera yang lebih baik berbanding OPPO F9, melalui padanan sensor utama 16MP (f/1.7, 1/2.8″, 1.12µm, Sony IMX398) dan sensor kedua 2MP f/2.2 untuk hasilan bokeh. Ia turut menyertakan sistem penstabilan elektronik (EIS) bagi membolehkan peranti mengurangkan kesan gegaran ketika melakukan penggambaran. Untuk penggambaran malam pula, ia dilengkapi dengan lampu flash LED dengan sokongan pencahayaan satu tona warna.

Untuk hasil penggambarannya, ia mampu menghasilkan gambar yang terang dan tajam melalui penggunaan aperture sebesar f/1.7. Ia kurang memberikan kesan hingar (noise) yang ketara walaupun berdepan dengan situasi pencahayan yang malap. Warnanya juga kelihatan hampir ke arah semula jadi, selain memberi kontras yang sangat memuaskan untuk kegunaan harian.

Untuk keupayaan kamera hadapan pula, ia menyajikan sensor yang sedikit direndahkan daripada OPPO F9, menerusi sensor 16MP f/2.0. Ia masih dapat menghasilkan gambar selfie yang jelas, namun sedikit memutihkan warna kulit walaupun fungsi Beautify telah dimatikan. Seperti kamera belakang, ia juga hadir dengan fungsi Portrait Mode, untuk penghasilan kesan bokeh di bahagian belakang wajah.

Dari segi fungsi, Realme 2 Pro menawarkan rakaman video setinggi [email protected], namun penstabilan video yang diaktifkan untuk rakaman [email protected] Ia juga menyajikan fungsi Portrait Lighting iaitu fungsi yang dapat membuat simulasi penggambaran seumpama di dalam studio. Anda juga boleh menggunakan fungsi Stickers, dengan membolehkan anda melekatkan animasi menarik pada wajah. Fungsi Expert Mode turut tersedia, dengan menyajikan sejumlah kawalan manual seperti pertukaran ISO, fokus, dan shutter speed.

Bateri

Dari segi ketahanan bateri, ia mempunyai kapasiti bateri yang sama dengan OPPO F9, melalui kapasiti bateri 3500 mAh. Kapasiti bateri sedikit tewas berbanding Redmi Note 5 (4000 mAh) namun kelihatan baik apabila dibandingkan dengan Xiaomi Mi A2 (3010 mAh). Dengan binaan 14nm pada cip Snapdragon 660 ini, ia dilihat mampu memberi masa penggunaan peranti yang panjang menerusi binaan cip yang efisien.

Dengan kapasiti 3500 mAh dan padanan cip 14nm ini, Realme 2 Pro mampu mencatatkan masa Screen-on-Time (SoT) yang sangat baik, melalui bacaan SoT sekitar 6 jam 21 minit untuk penggunaan sepanjang hari. Namun peranti ini tidak menyokong fungsi pengecasan pantas, dengan hanya bergantung pada pengecas 10W yang didatangkan. Melalui pengecas 10W, peranti ini dapat dicas sekitar 2 jam 18 minit dari kapasiti bateri 0 hingga 100%.

Rumusan

Realme 2 Pro ini boleh dikatakan OPPO F9 versi yang lebih berpatutan, dengan pengurangan dari segi fungsi dan spesifikasi. Ia tidak didatangkan dengan fungsi pengecasan pantas, hanya menggunakan skrin Gorilla Glass 3, dan mempunyai binaan yang ringkas. Dari segi perisian, ia juga tidak menawarkan sokongan pertukaran tema walaupun ia dijana dengan antaramuka yang sama seperti OPPO F9.

Namun dengan melihat penawaran yang disertakan pada Realme 2 Pro ini, ia sebenarnya telah mengekalkan beberapa fungsi penting yang ada pada OPPO F9. Ia hadir dengan cip kelas pertengahan yang pantas, rekaan yang masih kelihatan premium, bersama paparan skrin penuh dengan takuk seumpama titisan air. Ia juga hadir dengan sokongan dwi-kamera yang terang melalui aperture f/1.7, bersama kapasiti bateri 3500 mAh yang mampu bertahan sepanjang hari.

Pro
  • Masih memberi penampakan peranti premium walaupun dibina berasaskan polikarbonat
  • Hadir dengan rekaan skrin penuh bersama takuk seumpama titisan air
  • Kualiti skrin yang yang baik untuk kegunaan harian melalui panel IPS LCD dan resolusi Full HD+.
  • Memberi prestasi yang pantas untuk kegunaan harian dan permainan melalui cip Snapdragon 660.
  • Membawakan keupayaan kamera belakang dan hadapan yang sangat baik.
  • Memberi ketahanan bateri sepanjang hari dengan bacaan SoT 6 jam 21 minit.
  • Hadir dengan slot dwi-sim bersama slot kad mikroSD secara berasingan.
  • Harga jualan peranti yang berpatutan
Kontra
  • Masih menggunakan sambungan mikro-USB berbanding USB-C
  • ColorOS 5.1 pada Realme mempunyai pengurangan fungsi berbanding OPPO F9 seperti akses kepada pertukaran tema

Harga jualan Realme 2 Pro ini masih belum diumumkan, namun kami menjangkakan ia berada pada harga bermula sekitar RM800 untuk variasi 4GB/64GB. Dengan harga ini, ia memberi pesaingan yang hebat kepada Redmi Note 5, dengan memberi asakan spesifikasi yang lebih hebat bersama rekaan yang lebih menarik. Ia hanya tewas pada kapasiti bateri, namun dengan penawaran yang yang dibawa oleh Realme 2 Pro ini, ia berpotensi untuk menjadi “Raja Kelas Pertengahan Bajet” baru setelah dipegang oleh siri Xiaomi Redmi Note sebelum ini.

Sumber : amanz.my

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.