Oleh: Sarina Mat Rosid & Dr Hasrinah Hasbullah
Advance of Membrane Technology Centre (AMTEC)

Kegagalan fungsi buah pinggang tahap akhir dikenali sebagai kerosakan buah pinggang yang kekal. Ini berlaku apabila buah pinggang tidak lagi berupaya untuk menapis darah dan membuang bahan toksik daripada badan secara normal. Punca kegagalan buah pinggang berlaku disebabkan oleh faktor obesiti, penyakit kencing manis, penyakit darah tinggi, merokok dan juga keturunan.

Di Malaysia, seramai 45,937 pesakit buah pinggang peringkat akhir dikesan dan jumlah ini dijangka akan terus meningkat kepada 106,000 menjelang 2040. Menurut laporan Malaysian Dialysis dan Transplant Registry 2018, seramai 39,593 pesakit menjalani rawatan hemodialisis, 4,543 pesakit menjalani rawatan peritoneal dialisis dan 1,801 telah menjalani pemindahan buah pinggang.

Hemodialisis adalah proses yang mana darah akan dikeluarkan dari badan menggunakan mesin dialisis melalui penapis khas. Penapis membran ini bertujuan untuk menapis darah dan membuang lebihan air dan bahan buangan sebelum darah disalurkan semula ke dalam badan. Di Malaysia, kita masih bergantung kepada teknologi luar untuk menghasilkan penapis khas membran dan ini menyebabkan kos dialisis meningkat saban tahun.

Proses Penghasilan membran untuk hemodialisis

Oleh kerana itu, matlamat penyelidikan HiCOE untuk menghasilkan sendiri penapis membran khas untuk hemodialisis telah dijalankan di Advanced Membrane Technology Research Centre (AMTEC), UTM. Buat masa kini, penyelidikan tersebut hanya fokus kepada bahan untuk penghasilan penapis membran dan kajian ini masih di peringkat R&D sebelum dikomersilkan sepenuhnya.

Prototaip hemodialyzer yang sedang dibangunkan oleh AMTEC-UTM

Penghasilan penapis membran untuk hemodialisis telah dijalankan dengan mengaplikasikan teknologi nanobahan. Dengan menggunakan teknologi tersebut, ia dapat meningkatkan kecekapan dalam menapis darah dan membuang bahan buangan secara lebih efektif berbanding penapis membran sedia ada.

Masalah utama yang dihadapi oleh penapis membran hemodialisis sedia ada adalah kesukaran untuk membuang molekul tengah toksin uremik (>500 Da) seperti β2-microglobulin dan toksin uremik yang bersaiz lebih besar. Selain itu, penjerapan protein hidrofobik yang wujud secara semula jadi seperti albumin pada permukaan membran juga menyebabkan kehilangan protein dan pencemaran membran berlaku.

Sebagai alternatif, teknologi nanobahan telah diaplikasikan untuk menaikkan kebolehtelapan membran dan meningkatkan hidrofilik permukaan supaya pemisahan konvektif toksin uremik molekul tengah lebih efektif dan mengurangkan interaksi antara protein hidrofobik dan permukaan membran.

Inovasi ini juga dapat membantu pesakit memendekkan masa dialisis disamping mennurunkan kos perubatan dengan membantu kerajaan mengurangkan bilangan import penapis membran dari luar negara.

Penyelidikan ini juga menggunakan khidmat kepakaran pelbagai bidang seperti kejuruteraan, perubatan dan biologi untuk memahami fungsi penapis membran dan keserasian bio sebelum ujian klinikal dijalankan.

Kredit Foto : amtec

sumber asal : www.majalahsains.com

By neto

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.