Vaksin Untuk Bayi : Kehendak Atau Keperluan ?

Oleh : Iklil Iman Binti Mohd Sa`id
Fakulti Sains Kesihatan UKM

Artikel ini diadaptasi daripada penulisan Iklil Iman Binti Mohd Sa`id di bawah penyelian Prof Dr Suzana Binti Sahar untuk Tugasan Kursus Komunikasi Profesional, Kursus bagi Pengajian Sarjana Pemakanan Klinikal.

Badan yang sihat dan cergas bermula dengan sistem imunisasi yang bagus. Imunisasi diperolehi daripada suntikan vaksin yang bertindak sebagai keupayaan utama untuk mencegah penyakit berjangkit. Apa itu vaksin? Vaksin mengandungi bahan aktif yang dinamakan antigen yang diperolehi dari sebahagian atau keseluruhan struktur virus atau bakteria yang telah dimatikan atau dilemahkan. Fungsi utama vaksin adalah untuk merangsang sistem daya lawan jangkitan (sistem imunisasi) tubuh bagi mengelakkan jangkitan penyakit khusus.

Di Malaysia, Program Imunisasi Kebangsaan diperkenalkan pada awal tahun 1950an. Perkhidmatan tersebut diberikan percuma untuk melindungi kanak-kanak daripada jangkitan tuberculosis (batuk kering), hepatitis B, diphtheria, measles (campak), mumps (beguk), rubella, human papillomavirus (HPV) dan sebagainya.

Bayi atau kanak-kanak merupakan golongan mudah dijangkiti penyakit, jadi, pemberian vaksin membantu menguatkan sistem imun dengan rangsangan sel pertahanan yang membantu mengelakkan komplikasi yang boleh mengancam nyawa. Pemberian vaksin melalui beberapa fasa dan mestilah mengikut jadual yang ditetapkan kerana kesan maksimum lazimnya akan bermula selepas dos terakhir vaksin.

Persoalannya, adakah vaksin benar-benar mencegah penyakit? Beberapa kajian telah membuktikannya:

  1. Smallpox (cacar air) telah berjaya dibasmi di seluruh dunia pada tahun 1980 di mana kelangsungan penyakit ini boleh menyebabkan parut atau buta kepada mangsa-mangsa yang dijangkiti.
  2. Poliomyelitis atau Virus Polio telah dibasmi di tiga rantau di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu Rantau Amerika, Eropah dan Pasifik Barat.
  3. Lindungan daripada beberapa barah (kanser) seperti vaksin Human papilloma virus (HPV) memberi perlindungan terhadap kanser pangkal rahim manakala vaksin hepatitis B memberi perlindungan terhadap kanser hati.

Namun, terbaru di Malaysia, seorang bayi perempuan berusia 14 bulan meninggal dunia disyaki akibat jangkitan difteria (diphteria). Apabila digali kisah dari bapanya, rupa-rupanya bayi itu tidak pernah menerima sebarang imunisasi difteria kerana ahli keluarganya menolak imunisasi. Simptom awal didapati bayi tersebut mengalami demam dan sakit tekak, namun, keadaan semakin kritikal apabila bayi tersebut hilang selera makan dan mengalami sesak nafas. Pihak hospital sedaya upaya menyelamatkan keadaan namun bayi tersebut meninggal pada 15 oktober tahun lalu akibat difteria yang teruk dan kegagalan fungsi organ.

Apabila kejadian sebegini berlaku, orang ramai mula memandang serius isu ini: adakah penyakit berjangkit difteria ini sangat merbahaya? World Health Organization – WHO (2005), mendefinasikan difteria adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria Corynebacterium Diphteriaie yang tersebar melalui titisan cair pernafasan samada melalui kulit dan sentuhan. Mengejutkan lagi, kadar peratusan kematian bagi jangkitan ini adalah antara 25 – 50 peratus dan pesakit biasanya boleh bertahan selama 3 -4 hari sebelum kematian berlaku. Kesannya, jangkitan ini boleh menyebabkan saluran nafas tertutup dan menyebabkan sesak nafas serta jangkitan pada paru-paru (pneumonia) yang berpunca daripada sistem pertahanan badan yang lemah untuk melawan bahana jangkitan.

Namun, ada sebahagian anti-vaksin mengatakan vaksin mengandungi bahan haram seperti DNA khinzir. Sesetengah vaksin sememangnya mengandungi gelatin khinzir sebagai stabiliser tetapi muzakarah ulama telah mengeluarkan fatwa suntikan vaksin dibolehkan dan harus untuk bina imunisasi, mengapa kita perlu meraguinya lagi? Tambahan pula, sebelum sesuatu vaksin dipasarkan secara komersial untuk digunakan, ia diuji dengan rapi pada ribuan orang menerusi kajian klinikal berskala besar. Ia dipantau dengan ketat bagi menjamin keselamatan penerimanya. Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan Kementerian Kesihatan Malaysia sentiasa memantau keselamatan penggunaan vaksin secara berterusan dan akan mendaftarkan serta meluluskan sesuatu vaksin sebelum ia boleh digunakan di Malaysia dan mesti dimasukkan ke dalam program imunisasi.

Tidak dinafikan ajal maut pasti ditentukan oleh Yang Maha Esa. Namun, kita seharusnya bijak untuk mengambil inisiatif untuk membendung gejala yang tidak diingini daripada berlaku. Pengumpulan data bank dunia pada tahun 2016 mengenal pasti seramai 98% rakyat Malaysia telah mengambil imunisasi bagi kanak-kanak berumur antara 12 hingga 23 bulan. Hal ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia peka dan prihtain dengan tahap kesihatan keluarga serta kepentingan imunisasi.

Kesimpulannya, pencegahan adalah perkara yang amat dituntut dalam Islam. Tambahan lagi kesihatan individu merupakan tuntutan agama untuk memberi manfaat kepada kehidupan seluruh umat manusia. Dalam isu ini, vaksin bukan lagi merupakan kehendak seseorang, tetapi sebagai ikhtiar dan menjadi keperluan kepada masyarakat secara umumnya.

Rujukan :

http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/bayi-14-bulan-meninggal-dunia-akibat-difteria-di-jb-1.893122

https://tradingeconomics.com/malaysia/immunization-dpt-percent-of-children-ages-12-23-months-wb-data.html

https://www.unicef.org/malaysia/media_fakta-penting-vaksin.html

https://www.who.int/whr/2005/en/ Yahaya, F. H. (2005). Kemunculan penyakit berjangkit dan kesannya terhadap manusia di Malaysia. Sari, 23(10), 153-168.

Foto Kredit :  Heraldsun

1409total visits,381visits today

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.