ViewQwest Berkongsi Perancangan Mereka – Internet 1Gbps Serendah RM198 Sebulan Pada Lebih Banyak Kawasan

ViewQwest merupakan pembekal perkhidmatan internet (ISP) berkelajuan tinggi yang sedia digunakan secara meluas di Singapura. Mereka mempunyai reputasi yang sangat baik, sehingga pihak Ookla menobatkan mereka sebagai ISP dengan kelajuan terpantas bagi tahun 2017 dan 2018. Perkara ini menyebabkan banyak pihak yang inginkan perkhidmatan mereka, terutama dari kawasan di luar Singpura.

Pada tahun 2016, ViewQwest telah memasuki pasaran Malaysia dengan memfokuskan kepada kegunaan perusahaan. Mereka sedia menyokong beberapa kawasan perusahaan utama, seperti di sekitar Bangsar South, KL Sentral, Mid Valley City, dan Technology Park Malaysia. Mereka juga telah menjana rangkaian WiFi untuk pengunjung di pusat membeli-belah The Sphere dengan penawaran internet berkelajuan tinggi.

Tetapi apa yang menjadi perhatian daripada pihak ViewQwest adalah penawaran internet fiber untuk kegunaan di rumah menerusi inisiatif Fiber At Home. Mereka sebenarnya telah mula menawarkan segmen internet ini pada November 2017 – bermula daripada kawasan Johor Bahru dan sekitar Lembah Klang.

Untuk pelan yang ditawarkan, mereka hadir dengan dua kelajuan untuk pengguna di Malaysia – melalui 100Mbps dan 1Gbps.

Apa yang menarik, pelan internet 1Gbps daripada ViewQwest ini boleh didapati pada harga serendah RM198 sebulan dengan ikatan kontrak selama 24 bulan. Pelan berasaskan kontrak ini akan turut disertakan dengan Netgear Orbi RBK20 WiFi Mesh, yang mana peranti ini boleh disimpan selepas tempoh kontrak tamat.

ViewQwest juga hadir dengan pelan tanpa kontrak, untuk memberi kebebasan kepada pengguna dalam menamatkan pelan internet yang dilanggan pada bila-bila masa. Pelan ini menawarkan kelajuan 1Gbps pada harga bulanan RM218, disamping anda perlu membuat pembayaran permulaan sebanyak RM392 untuk peranti Netgear AC1200 Smart WiFi Router + Mode.

Dalam memberi nilai tambahan kepada pengguna, kesemua pelan internet yang ditawarkan oleh ViewQwest akan turut menyokong Static IP Address. Pada akan datang, mereka juga akan menawarkan perkhidmatan ‘Freedom DNS’ dalam membolehkan pengguna menikmati pelayaran internet yang lebih bebas dan pantas.

Dari segi penawaran lokasi, ViewQuest dapat menyediakan perkhidmatan mereka pada mana-mana lokasi yang sedia menyokong internet fiber. Apabila ia menerima permintaan majoriti daripada penduduk, pihak ViewQuest akan mempertimbangkan untuk menyokong sesuatu kawasan tersebut. Buat masa ini, beberapa buah kawasan perumahan di Lembah Klang dan Johor telah sedia menyokong perkhidmatan ViewQwest ini.

ViewQwest walaupun dilihat agak senyap dalam industri internet di Malaysia, mereka sebenarnya dalam persediaan untuk memperluaskan internet berkelajuan tinggi kepada lebih ramai pengguna. Dengan harga yang berpatutan untuk kelajuan 1Gbps, pengguna dapat menikmati kadar muat-turun dan penstriman berkualiti tinggi tanpa perlu berhadapan dengan segala permasalahan isu internet.

Layari: Laman rasmi ViewQwest Malaysia

Sumber : amanz.my

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.