Xiaomi Mempatenkan Telefon Boleh-Lipat Dengan Kamera Berputar

Evolusi seterusnya spesis telefon pintar ialah skrin boleh-lipat. Setakat ini terdapat enam model telah dipasarkan dengan dua variasi rekaan. Rekaan kulit kerang adalah yang paling praktikal seperti Galaxy Z Flip dan Motorola RAZR 2020. Rekaan yang lebih inovatif mungkin akan hadir dalam masa terdekat sekiranya paten yang difailkan Xiaomi menjadi realiti.

Pada bulan November tahun lalu, Xiaomi memfailkan peranti skrin boleh-lipat dengan rekaan kulit kerang. Tidak terhenti di situ, paten menunjukkan peranti ini turut mempunyai kuad-kamera yang boleh diputar 180 darjah. Dengan ini kemampuan swafoto peranti adalah lebih baik berbanding peranti biasa. Tambah menari kamera ini boleh diputarkan 90 darjah.

Pada posisi ini, badan telefon yang dilipat boleh dipegang seperti kamera camcorder. Ini mengingatkan kami kepada rekaan Nokia N93 yang popular hampir dua dekad yang lalu.

Xiaomi sudahpun memperlihatkan prototaip telefon pintar skrin boleh-lipat mereka tahun lalu tetapi sehingga kini masih belum menawarkannya kepada umum. Mungkin mereka mengambil langkah tunggu dan lihat sebelum memberikan saingan kepada Samsung, Huawei, Motorola serta Royole.

Sumber : amanz.my

Write a Comment

view all comments

*