Yayasan HP Sumbang RM2.17 juta bagi Menyokong Malaysia Menentang COVID-19

Kuala Lumpur, 14 Mei 2020 – Yayasan HP telah menyumbang RM2.17 juta (USD 500,000) bagi membantu menjayakan Pelan Kesiapsiagaan dan Respons Strategik Covid-19 Mercy Malaysia dalam usaha mengekang penularan pandemik COVID-19. Pelan tersebut adalah sebahagian daripada usaha utama bagi menyokong Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis (CPRC), sekali gus memantapkan lagi inisiatif yang telah pun diambil oleh HP Inc. dalam memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat Malaysia.

Sumbangan berkenaan akan digunakan terutamanya bagi merintis program ujian massa bersasar COVID-19. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), langkah-langkah untuk mengesan, mengasingkan, menguji, merawat dan menjejaki bukan sahaja merupakan langkah yang terbaik dan terpantas untuk keluar daripada sekatan sosial dan ekonomi yang ekstrem (semasa Covid-19), malah merupakan langkah yang terbaik untuk mengekang penularan pandemik berkenaan[1]. Program rintis ini menyasarkan untuk menjalankan ujian dalam kalangan komuniti berisiko tinggi dan terdedah di seluruh negara termasuk masyarakat luar bandar dan kluster yang baru dikenal pasti.

Dana turut disalurkan ke arah penyediaan peralatan perlindungan peribadi (PPE) untuk para petugas barisan hadapan kesihatan dan hospital yang menangani COVID-19 serta penyediaan sokongan kesihatan mental dan psikososial (MHPSS). Ia akan memberi manfaat kepada para petugas barisan hadapan di seluruh negara serta kanak-kanak dan keluarga yang terkesan akibat COVID-19.

“Yayasan HP menumpukan terhadap penyaluran sumber untuk menyokong usaha mengekang penularan wabak berkenaan dalam kalangan komuniti tempatan dalam sepanjang tempoh sukar ini. Melalui kerjasama dengan pertubuhan bantuan sukarelawan seperti Mercy Malaysia, kami secara proaktif dapat memberikan impak positif kepada komuniti tempatan di Malaysia dan melakukan yang terbaik bagi memastikan kesihatan dan keselamatan mereka sambil kita bersama-sama menuju ke arah pemulihan. Kami berharap semoga sumbangan ini dapat membantu menyokong masa depan Malaysia sambil kita terus berusaha, belajar dan melangkah maju ke hadapan,” kata Pengarah Urusan HP Inc. Malaysia, Fayza Mohamed Amin.

Presiden Mercy Malaysia, Dato’ Dr. Ahmad Faizal Mohd Perdaus ketika menzahirkan penghargaannya atas kerjasama ini berkata, “Mercy Malaysia amat menghargai sumbangan besar yang disalurkan oleh Yayasan HP ini ke dalam tabung COVID-19 Mercy. Bantuan mereka dalam usaha negara memerangi penularan pandemik ini dan memberikan impak positif terhadap kesihatan dan keselamatan kita menjadi contoh terbaik kerjasama masyarakat sivil-swasta demi kebaikan rakyat keseluruhannya.”

Setakat ini, HP dan Yayasan HP telah menyumbangkan kira-kira USD 8 juta dalam bentuk produk dan geran bagi menyokong pelbagai usaha pembelajaran dan komuniti tempatan yang terkesan akibat COVID-19 di seluruh dunia. Yayasan HP telah menyumbangkan USD 3 juta dalam bentuk geran; USD 1 juta untuk membantu menyalurkan bekalan perubatan kritikal kepada komuniti yang terkesan, dan geran tambahan USD 2 juta untuk bantuan COID-19.

Yayasan HP menumpukan terhadap penyaluran sumber yang besar ke arah usaha membantu komuniti dan akan bekerjasama dengan semua rakan global serta tempatan bagi mengutamakan tindakan yang dapat memberikan impak terbaik. Ia turut menggalakkan para pelajar untuk menyertai kursus percuma di dalam HP LIFE yang berkaitan dengan kemahiran perniagaan, pemasaran dan keusahawanan. Yayasan HP turut menyamai sumbangan yang dihulurkan oleh kakitangan HP berjumlah sehingga USD 4 juta kepada badan-badan kebajikan yang layak.

Mengenai Yayasan HP

Yayasan HP adalah sebuah organisasi 501(c)(3) bukan berasaskan keuntungan yang membiayai program-program amal untuk komuniti terabai dan kurang mendapat perhatian di mana kami tinggal dan bekerja dengan menyokong pembelajaran berkaitan teknologi, pemberian amal, kesukarelaan dan program bantuan bencana.

Write a Comment

view all comments

*