Berita Menarik

Ada Apa Dengan Kertas?

Pembaca : 133
0 0

Oleh : Nur Sakinah Mahazir & Dr Siti Amira Binti Othman
Fakulti Sains Gunaan Dan Teknologi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Kertas adalah salah satu kegunaan dalam kehidupan seharian manusia. Kertas dapat dilihat penggunaannya dalam menulis, melukis, mencetak dan juga sebagai pembalut barang. Bahan dan cara pembuatan kertas juga berlainan mengikut kegunaannya. Sebagai contoh, dapat kita lihat permukaan kertas untuk melukis, menulis dan membalut barang adalah berlainan. Walaupun dalam era moden ini, pelbagai teknologi dan aplikasi seperti email dapat mengantikan kertas untuk menulis namun tidak dapat dinafikan kertas masih lagi penting. Hal ini kerana dapat dilihat kertas masih digunakan sebagai resit pembayaran, kotak dan juga beg membeli-belah. Umumnya kertas diperbuat daripada serat kayu. Oleh itu, banyak pokok telah ditebang setiap tahun untuk mendapatkan serat kayu tersebut dan akhirnya memberi kesan kepada alam sekitar seperti banjir dan tanah runtuh.

Kewujudan pokok amat penting dalam keseimbangan kehidupan bukan sahaja kepada manusia tetapi juga haiwan. Haiwan menjadikan pokok dan hutan sebagai habitat mereka dan disebabkan musnahnya habitat, mereka hilang tempat tinggal dan memasuki kawasan manusia.

Sebelum wujudnya kertas, manusia telah menulis atau mencatat di atas permukaan kulit kayu, kulit haiwan dan batu. Sumber sejarah China purba menyatakan kertas dicipta oleh seorang sida mahkamah yang bernama Cai Lun dan mempersembahkan kertas ciptaannya kepada Maharaja Dinasti Han Timur. Pada zaman purba di China, kertas diperbuat daripada serat rami atau ganja. Serat direndam di dalam air dan ditumbuk menggunakan sebatang kayu besar. Setelah ditumbuk, serat dituang dalam acuan yang mempunyai kain tenunan yang longgar bagi membolehkan air menitis keluar dari bawah kain dan dibiarkan kering untuk menghasilkan kertas. Lama-kelamaan, pelbagai serat kayu telah dijadikan bahan utama dalam proses penghasilan kertas.

Sumber: iluminasi.com

Di sekeliling kita, kertas dilihat bukan sahaja untuk menulis dan mencetak tetapi juga dalam pembungkusan barang atau makanan. Walau bagaimanapun, penyediaan kertas secara manual tidak dapat menampung kualiti kertas yang yang diperlukan di pasaran. Pembuatan kertas dengan bantuan mesin dapat menghasilkan kuantiti kertas yang lebih banyak dan lebih berkualiti selain ketahanan yang pelbagai mengikut kegunaannya di pasaran.

Seperti pembuatan kertas secara manual, pokok ditebang untuk diambil serat kayunya. Kulit kayu dibuang dan kayu dipotong secara kecil-kecilan menjadi serpihan kayu menggunakan mesin. Pulpa diproses oleh mesin-mesin besar untuk dipotong, dicuci dan dihancurkan. Kemudian, Pulpa kayu dicampurkan dengan bahan mentah yang seperti jenis serat kayu yang lain untuk menghasilkan kualiti kertas yang lebih baik. Proses kraft pula, melibatkan pulpa direbus dalam alkali yang kuat seperti natrium sulfida atau natrium hiroksida untuk menghasilkan serat.

Sumber: Britannica.com

Seterusnya, mesin Fourdrinier digunakan untuk mengeluarkan air daripada lapisan serat. Kertas kemudian ditekan menggunakan rol besar dan dikering secara berulang-ulang. Mesin Fourdrinier terbesar menghasilkan kertas dengan kelajuan lebih dari 60km/jam atau bersamaan dengan 40 mph.

Menurut laman web Perhidmatan Hutan Nasional, sebanyak 85 peratus pokok yang digunakan dalam pembuatan kertas adalah daripada jenis konifer. Sebagai contoh pokok keras jenis konifer seperti pokok maple dan oak. Pokok-pokok ini tergolong dalam pembuatan kertas kerana pokok jenis konifer lembut mempunyai serat kayu yang lebih panjang berbanding pokok jenis konifer keras.

Di kanada, Cemara Balsam adalah pokok utama dalam pengeluaran kertas. Selain menjadi pulpa kertas, pokok ini juga mempunyai kegunaan lain seperti pokok krismas dan panel kayu. Pokok Hemlock barat berasal dari barat laut pasifik. Pokok Hemlock di sebelah barat tumbuh lebih tinggi berbanding spesies Hemlock di kawasan lain. Namun ia mempunyai kekurangan iaitu kandungan resin dalam kayu adalah sedikit dan warna yang cerah pada bahagian dalam kayu menyebabkan ia wajar dijadikan dalam pembuatan kertas seperti kertas akhbar. Pokok seterusnya yang sesuai dalam pembuatan kertas ialah pokok Balsam Polpar. Pokok ini mempunyai kayu yang pendek dan serat yang halus membuatkan ia bukan sahaja sesuai dalam pembuatan kertas tetapi juga tisu. Spesies pokok kayu keras ini tumbuh di Kanada dan Utara New Zealand. Pokok pine putih timur juga adalah salah satu spesies kayu yang penting dalam penghasilan pulpa kertas dan batang pokok kayu yang lurus digunakan dalam pembuatan tiang-tiang telefon. Selain itu di Amerika timur laut, pokok ini antara yang penting dalam pembinaan kapal.

Sebagai kesimpulan, pokok adalah bahan utama dalam pembuatan kertas. Perbezaan ciri dalam sesuatu pokok memberi kelainan penggunaannya dalam pasaran. Tidak dapat dinafikan serat kayu mempunyai ketahanan yang kuat dalam menghasilkan kertas yang berkualiti namun kertas yang diperbuat daripada bahan lain seperti serat pisang, nanas atau jagung giat dihasilkan bagi mengurangkan kadar penebangan pokok di hutan. Langkah ini haruslah dipuji bagi memastikan kelestarian alam dapat dicapai tanpa merendahkan martabat alam itu sendiri.

Rujukan

  1. Ramdhonee, A., & Jeetah, P. (2017). Production of wrapping paper from banana fibres. Journal of Environmental Chemical Engineering, 5(5), 4298–4306. https://doi.org/10.1016/j.jece.2017.08.011
  2. https://iluminasi.com/bm/sejarah-penciptaan-kertas-yang-berasal-dari-china.html
  3. https://www.merdeka.com/sumut/proses-pembuatan-kertas-dari-bahan-mentah-hingga-siap-pakai-kln.html?page=3
  4. https://sciencing.com/which-trees-are-used-to-make-paper-12358415.html

Kredit Foto:  MARY MILELZCIK

sumber asal : www.majalahsains.com

Happy
Happy
0 %
Sad
Sad
0 %
Excited
Excited
0 %
Sleepy
Sleepy
0 %
Angry
Angry
0 %
Surprise
Surprise
0 %

Average Rating

5 Star
0%
4 Star
0%
3 Star
0%
2 Star
0%
1 Star
0%

Tinggalkan Balasan

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.