Berita Menarik

Baik & Buruk Rawatan Braces @ Pendakap Gigi

Pembaca : 73
0 0

Oleh :  Profesor Madya Dr Azrul Hafiz b Abdul Aziz & Dr Asfizahrasby binti Mohd Rasoul
 Fakulti Pergigian, Universiti Sains Islam Malaysia

Pendakap gigi atau braces merupakan rawatan pergigian yang agak popular pada masa kini. Rawatan ini merupakan salah satu rawatan pergigian di dalam bidang kepakaran Ortodontik. Bidang ini merangkumi rawatan melibatkan tulang rahang, mulut, serta susunan gigi. Selain pendakap gigi, terdapat pelbagai alat lain yang digunakan untuk merawat pesakit Ortodontik seperti aplians boleh tanggal (removable appliance), alatan fungsi (functional appliances), headgear dan alingners. Peralatan ortodontik termasuk pendakap gigi ini digunakan untuk merawat pesakit yang mempunyai masalah kedudukann gigi yang kedepan (gigi jongang), gigi berlapis (crowding), gigi yang tidak keluar (terimpak),  gigi yang jarang (spacing), kedudukan gigi yang salah dan pelbagai lagi masalah pergigian.

Antara tujuan rawatan pendakap gigi adalah untuk mendapatkan susunan gigi yang cantik. Gigi yang berlapis dan terlalu jarak adalah kurang estetik berbanding gigi yang lebih lurus. Setiap individu akan memperoleh gigi yang lurus dan rapat sekiranya gigi susu tertanggal pada masanya, gigi kekal tumbuh dengan normal dan tidak terdapat keabnormalan yang mengganggu pertumbuhan gigi dan tulang. Namun, seandainya terjadi masalah pada faktor-faktor ini, gigi kekal akan menjadi tidak tersusun rapi dan akan memerlukan rawatan mengunakan pendakap gigi. Rawatan ini perlu dibuat agar gigi dapat dikembalikan ke kedudukan yang sepatutnya.

Kebanyakan individu yang telah menjalani rawatan pendakap gigi berpendapat bahawa penampilan mereka lebih menarik sekaligus menyebabkan keyakinan diri mereka meningkat.  Mereka lebih mudah tersenyum dan tidak lagi menyorokkan muka kerana segan dengan keadaan gigi. Kanak-kanak dan remaja yang sering diejek oleh rakan sebaya kerana keadaan gigi yang jongang  juga melaporkan mereka tidak lagi berasa rendah diri dan malu.

Karies Gigi

Tambahan pula, susunan gigi yang lurus lebih mudah untuk dibersihkan berbanding gigi berlapis. Gigi berlapis sekiranya tidak dibersihkan dengan betul akan menyebabkan sisa makanan mudah terlekat yang akhirnya boleh membawa kepada kejadian karies gigi (gigi berlubang). Keadaan gigi yang tumbuh separa (partial eruption) pula boleh menjadi perangkap sisa makanan yang akhirnya menyebabkan kerosakan pada gigi-gigi bersebelahan sekiranya tidak dibersihkan dengan betul.

Susunan gigi yang tumbuh jarang-jarang terutama gigi atas hadapan boleh menyebabkan sebutan perkataan tidak betul atau tidak jelas serta kesukaran bertutur. Bagi mengatasi masalah ini, pendakap gigi digunakan untuk menutup ruang-ruang dengan cara merapatkan gigi-gigi. Apabila ruang-ruang antara gigi tertutup, sebutan akan menjadi lebih jelas maka pertuturan akan menjadi lebih sempurna. Pendakap gigi juga boleh digunakan untuk merawat kes gigi kekal beralih dari kedudukan asal ekoran kehilangan gigi. Ruang yang wujud ekoran kehilangan gigi boleh ditutup atau boleh dibuka bagi tujuan meletakkan gigi palsu, jambatan pergigian atau implan pergigian.

Kedudukan dan susunan gigi yang salah seperti gigitan silang (crossbite), gigitan terbuka (openbite) dan gigitan dalam (deep overbite) boleh mengganggu fungsi penguyahan makanan. Akibatnya, pelbagai masalah kesihatan lain boleh timbul seperti kesakitan pada sendi tulang rahang  (temporomandibular joint), inflamasi pada gusi, makanan tidak dapat lumat, serta kecederaan pada lelangit. Oleh itu, pendakap gigi  boleh digunakan untuk merawat masalah tersebut bagi mengembalikan fungsi pengunyahan. Rawatan ortodontik juga boleh digunakan untuk memperbaiki kecacatan kaviti oral seperti sumbing lelangit (cleft palate). Pendakap gigi digunakan untuk membentuk semula lelangit yang mengecil (constricted) akibat kecacatan pada lelangit. Secara tidak langsung, rawatan pendakap gigi berserta pembedahan maksilofasial akan membantu memperbaiki percakapan dan bentuk muka pesakit.

Seperti rawatan pergigian dan perubatan yang lain, rawatan pendakap gigi juga mempunyai risikonya tersendiri. Antara risiko utama rawatan pendakap gigi adalah gigi boleh rosak sekiranya kebersihan gigi tidak dijaga dengan baik kerana pendakap gigi yang dilekatkan ke permukaan gigi tidak boleh ditanggalkan, maka ia menjadi tempat pengumpulan sisa makanan dan plak (tahi gigi). Plak mengandungi bakteria yang boleh mengakibatkan pembentukan karies gigi (gigi berlubang). Pembentukan kaviti karies gigi bermula dengan kehilangan mineral pada tisu keras gigi yang boleh dikesan melalui kemunculan permukaan berwarna putih. Sebab itulah, penjagaan gigi yang betul amat-amat ditekankan oleh perawat sebelum dan sepanjang tempoh rawatan ortodontik.

Risiko kedua yang tidak dapat dielakkan semasa rawatan pendakap gigi adalah rasa sakit dan tidak selesa pada gigi dan gusi terutamanya pada golongan dewasa. Orang dewasa akan mengalami sakit yang lebih teruk berbanding kanak-kanak dan remaja kerana kepadatan tulang mereka yang lebih tebal. Selalunya rasa sakit ini berada di kemuncak selepas beberapa jam pemasangan pendakap gigi (bond up) dan pengaktifan gegelung besi (archwire). Namun, rasa sakit ini akan beransur-ansur berkurang dan pulih selepas beberapa hari. Pesakit disaran mengambil ubat penahan sakit sekiranya perlu bagi mengatasi rasa sakit. Selain sakit, pendakap gigi juga boleh menyebabkan kecederaan pada tisu lembut apabila hujung gegelung besi mencucuk bahagian dalam mulut dan pendakap gigi bergeser dengan bibir menyebabkan kejadian ulser mulut. Sekiranya ini berlaku, pesakit disaran berjumpa doktor gigi atau meletakkan lilin ortodontik (orthodontics wax) pada bahagian pendakap gigi yang tajam.

Risiko lain yang mungkin timbul pula adalah kepanjangan akar gigi akan menjadi lebih pendek sebanyak 1-2mm. Ia berlaku akibat daripada pergerakan dan daya yang digunakan semasa menarik gigi ke kedudukan yang diingini. Berlaku kes yang sangat terpencil di mana akar gigi menjadi pendek sehingga separuh dari kepanjangan asal hingga mengakibatkan gigi menjadi goyang. Namun, kes ini sangat-sangat jarang berlaku dan tidak dapat diramal akan berlaku pada siapa.

Akhir sekali, gigi yang lurus selepas tamat rawatan pendakap gigi boleh kembali ke keadaan asal (relapse) sekiranya pesakit tidak memakai alat penahan gigi (retainer) selepas pendakap gigi ditanggalkan. Alat retainer perlu dipakai sepanjang masa dalam tempoh yang ditetapkan selepas rawatan tamat dan pendakap gigi dibuka. Alat retainer ini hanya boleh dibuka semasa makan, minum minuman manis, melakukan aktiviti sukan fizikal lasak dan semasa pembersihan gigi sahaja. Sekiranya alat retainer tidak dipakai, gigi akan kembali berlapis, mempunyai ruang antara gigi dan kembali tidak cantik.

Kesimpulannya, pendakap gigi (braces) merupakan rawatan pergigian yang dapat memperbaiki maloklusi pergigian, mengembalikan keyakinan diri dan mencantikkan penampilan. Tetapi, terdapat beberapa risiko yang harus diketahui dan ditempuhi oleh individu yang menjalani rawatan ini. Rawatan ortodontik akan mengambil masa selama dua hingga tiga tahun. Rawatan ini perlu dilakukan oleh pengamal pergigian pakar yang diiktiraf oleh kerajaan yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran tinggi.

Kredit :
identityortho
klinikpakarusim
majalahpama

sumber asal : www.majalahsains.com

Happy
Happy
0 %
Sad
Sad
0 %
Excited
Excited
0 %
Sleepy
Sleepy
0 %
Angry
Angry
0 %
Surprise
Surprise
0 %

Average Rating

5 Star
0%
4 Star
0%
3 Star
0%
2 Star
0%
1 Star
0%

Tinggalkan Balasan

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.