Berita Menarik

Kenali Serangga Perosak Utama Petai

Pembaca : 134
0 0

Oleh : Dr Norashikin Fauzi, Dr Musfiroh Jani & Siti Aisyah Nawawi
Fakulti Sains Bumi, Universiti Malaysia Kelantan

Petai atau nama saintifiknya Parkia speciosa merupakan tumbuhan hutan dan kini turut ditanam secara komersial bagi mendapatkan hasil. Ia merupakan  tumbuhan daripada famili Fabaceae. Petai yang ditanam bagi tujuan komersil boleh dituai setelah berusia tiga atau empat tahun. Ia akan menghasilkan buah yang banyak dengan anggaran 200-300 papan sepokok setelah mencapai usia tujuh sehingga dua belas tahun. Agen pendebungaan petai adalah terdiri daripada kelawar dan mammalia kecil. Buah petai seringkali terdedah kepada ancaman serangga yang boleh merosakkan kualiti buah.

Kebiasaannya, pembeli akan membeli petai dengan melihat sekilas pandang tanpa memeriksa keadaan luaran petai dengan teliti sama ada wujud lubang halus atau tidak pada kulit petai. Bagi mengenal pasti sama ada biji petai yang dikupas tersebut mengandungi larva serangga atau lebih dikenali sebagai ulat petai, pembeli boleh membuat penelitian pada permukaan biji petai yang telah dikupas seperti pada gambar rajah (a).

(a) Perbezaan permukaan luaran dan dalaman biji petai yang mengandungi ulat petai. Kehadiran lubang halus pada permukaan menandakan biji petai sudah ditebuk oleh serangga perosak untuk bertelur dan seterusnya telur tersebut telah menetas menjadi larva (ulat petai).

Warna asal larva adalah hijau pucat dan berubah warna kepada perang pucat setelah berusia seminggu. Larva ini akan berada di dalam biji petai bagi tempoh 18-20 hari sebelum berubah kepada pupa  (Gambar rajah b (i)). Bagi memastikan kelangsungan hidup, larva ini akan memakan biji petai sebelum berubah bentuk. Pupa yang bermaksud boneka dalam bahasa Latin merupakan peringkat tidak aktif (dorman) bagi serangga yang mempunyai metamorfosis lengkap. Metamorfosis lengkap merujuk kepada serangga yang melalui transformasi morfologi (rupa bentuk) dalam empat fasa iaitu bermula daripada telur, larva, pupa dan imago (dewasa). Saiz pupa adalah anggaran 1cm dan berwarna perang gelap. Pada peringkat ini, pupa akan kekal dorman selama dua minggu (berdasarkan kepada pemerhatian penulis) sebelum berubah bentuk kepada rama-rama (Gambarajah b (ii)) yang dikenali sebagai Mussidia pectinicornella, famili Pyralidae.

(b) Larva (ulat petai) akan berubah kepada pupa yang berwarna perang gelap dalam anggaran saiz 1 cm dan seterusnya keluar daripada pupa dalam bentuk rama-rama
(b) Larva (ulat petai) akan berubah kepada pupa yang berwarna perang gelap dalam anggaran saiz 1 cm dan seterusnya keluar daripada pupa dalam bentuk rama-rama

Spesies rama-rama ini bukan sahaja menjadi perosak kepada petai tetapi  juga turut mengakibatkan kerosakan kepada buah jering. Memandangkan saiz pokok petai yang tinggi sehingga mencapai ketinggian 30 meter daripada aras tanah, pengawalan terhadap serangga perosak ini sukar dilakukan.

Kredit Foto : Dr Norashikin Fauzi, Dr Musfiroh Jani & Siti Aisyah Nawawi

sumber asal : www.majalahsains.com

Happy
Happy
0 %
Sad
Sad
0 %
Excited
Excited
0 %
Sleepy
Sleepy
0 %
Angry
Angry
0 %
Surprise
Surprise
0 %

Average Rating

5 Star
0%
4 Star
0%
3 Star
0%
2 Star
0%
1 Star
0%

Tinggalkan Balasan

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.