Berita Menarik

Kepentingan Ergonomik Di Tempat Kerja

Pembaca : 93
0 0

Oleh : Dr Siti Amira Binti Othman
Fakulti Sains Gunaan Dan Teknologi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Persatuan Ergonomik Antarabangsa (IEA) menyatakan bahawa ergonomik adalah disiplin saintifik yang berkaitan dengan pemahaman tentang interaksi di kalangan manusia dan elemen lain di dalam sistem dan profesi yang menerapkan teori, prinsip, data dan kaedah untuk mereka sesuatu dalam mengoptimumkan kesejahteraan manusia dan keseluruhan prestasi sistem. Ergonomik juga berkaitan dengan menyesuaikan tugas dan persekitaran kerja dengan pekerja melalui pendekatan saintifik. Di antara keadaan dan aktiviti di tempat kerja yang boleh menyebabkan risiko ergonomik adalah seperti pergerakan yang berulang, postur yang janggal dan statik, getaran, menggunakan tenaga dan kekuatan yang berterusan, faktor persekitaran seperti pencahayaan, suhu, bising dan banyak lagi. Selain itu, prinsip ergonomik memberi fokus dalam memastikan pekerja bekerja dalam postur yang baik, meminimakan keletihan ketika bekerja, mengurangkan pergerakan yang berulang, meningkatkan organisasi kerja, mengekalkan persekitaran yang selesa dan bekerja pada ketinggian yang sesuai.

Umumnya, penyakit berkaitan ergonomik sering dikaitkan dengan Musculoskeletal Disorders (MSDs). Antaranya ialah sindrom carpal tunnel, ligament sprain, epicondylitis, sindrom radial tunnel, digital neuritis, degenerative disc, tendonitis, sindrom tension necks, trigger finger/ thumb dan sindrom De Quervain’s. Maka, pengadaptasian ergonomik perlu dilakukan di tempat kerja melalui kaedah seperti mengekalkan postur yang baik, bekerja dalam zon yang selesa, mengurangkan daya lebihan, mengurangkan gerakan lebihan, mengurangkan penat ketika bekerja dan memastikan persekitaran tempat kerja dalam keadaan yang baik.

Justeru, setiap majikan dan pekerja perlu bekerjasama dalam memainkan peranan dalam mengurangkan risiko ergonomik. Majikan perlu menyediakan tempat kerja yang selamat tanpa risiko kepada kesihatan seperti yang dinyatakan dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. Penaksiran awal terhadap risiko ergonomik boleh dilakukan jika terdapat aduan daripada pekerja seperti sakit belakang ketika melakukan kerja, keadaan tempat kerja yang kurang pencahayaan, sukar untuk mencapai sesuatu barang ketika berkerja di sesuatu tempat, yang mana faktor aduan tersebut berkaitan dengan risiko ergonomik. Penaksiran awal boleh dilakukan dengan mengedarkan soal selidik kepada pekerja yang terlibat untuk mengetahui punca kepada permasalahan tersebut. Dalam soal selidik tersebut boleh ditanyakan berkenaan kekerapan tubuh badan yang terlibat sama ada tidak pernah, kadang kala atau pun kerap. Melalui dapatan tersebut, keputusan awal boleh dinyatakan dengan berapa ramai yang kerap, kadang kala atau kerap sakit ketika melakukan pekerjaan. Jika nilai risiko ergonomik adalah tinggi, penaksiran ergonomik lanjutan perlu dilakukan. Hasil akhir bagi keputusan boleh digunakan bagi menyatakan kawalan risiko yang perlu dilakukan bagi meminimakan hazad ergonomik yang dihadapi.

Selain itu, ergonomik perlu diberi perhatian di tempat kerja kerana separuh hari dihabiskan di tempat kerja dengan menyiapkan tugasan yang diberikan majikan. Ketika bekerja, pekerja perlu berada dalam keadaan yang selesa bagi memastikan mereka dapat melakukan kerja dengan baik dan sistematik. Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinisikan postur sebagai posisi atau sikap tubuh seseorang, ter­utamanya semasa duduk dan berdiri. Pekerjaan seperti operator pengeluaran yang kadang- kadang memerlukan pekerja berdiri atau duduk dalam masa yang sama dapat dikurangkan dengan menggunakan kerusi yang selesa dan boleh laras.

Menggunakan kaedah kawalan kejuruteraan adalah amat penting dalam meminimakan hazad. Dalam kawalan hierarki, kawalan seperti penghapusan, penggantian, pengasingan, kawalan kejuruteraan, kawalan pentadbiran dan peralatan perlindungan diri perlu dipertimbangkan. Tidak semua kawalan perlu dilakukan kerana pemilihannya bergantung kepada kesesuaian sesebuah tempat kerja. Kawalan pentadbiran seperti penggiliran tugas pada waktu bekerja adalah bertujuan untuk mengurangkan masa perkerja terhadap hazad ergonomik. Latihan yang betul ketika melakukan kerja boleh diadakan bagi meningkatkan kecekapan bekerja tanpa memberi impak yang tinggi kepada risiko ergonomik. Antara kawalan pentadbiran lain yang boleh dilakukan termasuklah mengubah cara kerja kepada prosedur kerja yang lebih selamat, menambah pekerja untuk mengurangkan beban kerja individu, memberikan rehat yang mencukupi bagi mengurangkan penat ketika bekerja dan sentiasa memastikan tempat kerja dalam keadaan yang baik selesa dengan melakukan proses pengemasan di tempat kerja. Setiap kawalan yang dipilih mempunyai had. Kawalan pentadbiran tidak boleh menghapuskan hazad, ianya hanya dapat mengurangkan hazad dedahan terhadap risiko ergonomik. Selain itu, kawalan pentadbiran boleh digabungkan dengan kawalan kejuruteraan dan peralatan perlindungan diri bagi mengurangkan hazad.

Antara kebaikan yang diperolehi jika sesebuah tempat kerja mengamalkan ergonomik yang baik ialah  dapat mengurangkan kos pembiayaan rawatan pekerja berkaitan MSDs, meningkatkan kualiti dan produktiviti pekerja, mengurangkan peratusan ketidakhadiran pekerja ke tempat kerja, mengurangkan kesilapan ketika bekerja, meningkatkan semangat pekerja untuk bekerja, mewujudkan budaya kerja yang selamat, meningkatkan jenama syarikat di mata dunia dan  meningkatkan kesetiaan pekerja terhadap syarikat.

Berdasarkan kebaikan yang dinyatakan di atas, tidak dinafikan lagi peranan ergonomik di tempat kerja boleh mempengaruhi prestasi sesebuah tempat kerja. Kesimpulannya, adalah penting untuk mengurangkan risiko berkenaan ergonomik di tempat kerja. Selain membantu pekerja dalam memberikan keselesaan ketika bekerja, membaiki postur sama ada ketika mengangkat barang atau duduk, meminimakan daya lebihan ketika bekerja dan mengurangkan tugasan berulang, perlu diingatkan sentiasa memberi ruang kepada pekerja untuk belajar dan memperbaiki diri kerana pengadaptasian ini adalah proses yang berterusan dan memerlukan sokongan dan kerjasama daripada semua pihak.

Rujukan

  1. https://iea.cc/what-is-ergonomics/
  2. https://www.bharian.com.my/hujung-minggu/lain-lain/2018/02/392411/kesan-ergonomik
  3. https://www.dosh.gov.my/index.php/industrial-hygiene-ergonomic-v/pamplet/2892-pengurusan-ergonomik-di-tempat-kerja/file

Kredit Foto : safetylineloneworker

sumber asal : www.majalahsains.com

Happy
Happy
0 %
Sad
Sad
0 %
Excited
Excited
0 %
Sleepy
Sleepy
0 %
Angry
Angry
0 %
Surprise
Surprise
0 %

Average Rating

5 Star
0%
4 Star
0%
3 Star
0%
2 Star
0%
1 Star
0%

Tinggalkan Balasan

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.