Berita Menarik

Pembedahan Rahang, Tetapi Bukan Untuk Kecantikan?

Pembaca : 1659
0 0

Oleh: Dr Diana Md Zahid1 & Dr John Chong Keat Hon2
1Pakar Ortodontik & 2Pakar Bedah Mulut
Fakulti Pergigian, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

“Saya datang untuk betulkan susunan gigi, bukan muka…” sering kali juga pesakit memberi reaksi seperti ini apabila diberitahu bahawa pesakit disarankan untuk menjalani pembedahan rahang (Ortognatik) bersama – sama dengan pemakaian pendakap gigi. Ada juga pesakit yang agak terkejut apabila diberitahu bahawa dalam sesetengah kes, susunan gigi ideal hanya boleh diperolehi dengan bantuan pembedahan rahang. Sebilangannya mengaitkan pembedahan ini dengan pembedahan plastik.

Pembedahan rahang ini sebenarnya adalah berbeza dari pembedahan plastik untuk kecantikan. Pembedahan plastik untuk kecantikan, kebiasaannya melibatkan prosedur untuk mencantikkan lagi struktur wajah yang tidak cacat sama ada pengecilan wajah, meruncingkan dagu, memancungkan hidung dan memendekkan dahi. Ini tidak termasuk pembedahan plastik yang dibuat untuk memperbaiki semula struktur muka yang rosak akibat kemalangan atau keabnormalan sejak lahir yang sering kali berkaitan dengan penyakit sindromi.

Pembedahan rahang secara amnya mempunyai dua fungsi utama iaitu untuk tujuan fungsi dan estetik. Pembedahan rahang ini boleh memperbaiki fungsi pertuturan, pengunyahan dan pernafasan. Selain itu, pembedahan rahang ini juga boleh mengembalikan keharmonian dan keseimbangan wajah.

Walaubagaimanapun, pembedahan rahang hanya akan dilakukan jika mempunyai indikasi dan memenuhi kriteria tertentu seperti dalam American Association of Oral and Maxillofacial Surgeons Clinical Practice Guidelines for Oral and Maxillofacial Surgery (AAOMS ParCare).

Ini kerana, seperti prosedur-prosedur lain, pembedahan rahang juga tidak dapat lari dari  risiko atau komplikasi. Antara komplikasi yang mungkin berlaku dalam pembedahan ortognatik termasuk penyakit vaskular, masalah sendi temporomandibular (TMJ), kerosakan saraf, jangkitan, nekrosis tulang, penyakit periodontal, gangguan penglihatan, masalah pendengaran dan masalah neuropsikiatrik.

Pada zaman teknologi yang semakin berkembang pada masa kini, kebanyakan orang awam mempunyai kemudahan telefon pintar dan berupaya melayari internet. Maka  tidak kurang juga terdapat pesakit yang sudah pun membuat sedikit kajian berkenaan dengan keadaan gigi sebelum berjumpa pakar ortodontik.

Secara amnya, gigi sebenarnya tertanam di dalam tulang rahang atas dan bawah. Ia juga disokong oleh tisu-tisu mulut yang lain seperti gusi dan ligamen periodontium. Apabila pesakit datang dengan masalah susunan gigi, ianya biasa disebabkan oleh dua keadaan. Keadaan pertama ialah yang mana susunan gigi pada tulang rahang yang tidak teratur, gigi jarang dan sebagainya. Keadaan ini boleh dirawat dengan penggunaan pendakap gigi.

Keadaan kedua ialah yang mana kedudukan rahang atas dan bawah yang tidak bertemu dengan harmoni atau mempunyai masalah dentofasial. Contoh keadaan ini adalah sama ada  rahang bawah atau atas berada terlalu ke belakang atau pun terlalu ke hadapan serta bentuk / kedudukan rahang yang tidak simetri. Terdapat juga keadaan yang mana pesakit tidak dapat mengigit makanan kerana gigi atas dan bawah tidak bertemu (openbite). Dalam keadaan kedua ini, gigi juga boleh kelihatan seolah-olah tidak tersusun. Keadaan kedua ini hanya boleh dirawat dengan pembedahan dan memposisikan semula rahang ke kedudukan yang harmoni bersama pemakaian pendakap gigi. Kebiasaannya, pakar ortodontik akan berbincang dengan pakar bedah mulut dan maksilofasial terlebih dahulu untuk menjalankan penilaian menyeluruh bagi memastikan sama ada pembedahan berkenaan melibatkan satu rahang sahaja atau kedua-dua rahang.

Artikel Berkaitan : Baik & Buruk Rawatan Braces @ Pendakap Gigi

Artikel Berkaitan : Mulut Berbau Ketika Berpuasa. Punca dan Apa Perlu dilakukan?

Pendakap gigi berfungsi untuk menyusun semula gigi supaya berada di kedudukan yang harmoni iaitu selain tersusun cantik, ia juga sepatutnya bertemu dengan dengan gigi atas. Walaubagaimanapun oleh kerana gigi tertanam di dalam tulang rahang, pergerakan gigi adalah terhad. Mengubah kedudukan gigi terlalu kehadapan atau ke belakang boleh menyebabkan kesan buruk. Antaranya ialah gigi boleh terkeluar atau hampir terkeluar dari tulang rahang, seterusnya menyebabkan ketidakstabilan. Kerana limitasi ini, sesetengah kedudukan gigi hanya boleh dibetulkan dengan memposisikan semula tulang rahang.

Walaubagaimanapun jika masalah pesakit dapat dikesan lebih awal iaitu semasa pesakit masih di peringkat pembesaran, penggunaan aplians fungsi boleh disyorkan. Penggunaan aplians fungsi ini merupakan rawatan ortodontik awal, juga dikenali sebagai rawatan ortodontik interceptive atau rawatan ortodontik dua fasa. Tujuannya adalah untuk mengarahkan pertumbuhan dan perkembangan rahang bagi memperbaiki atau mencegah jenis maloklusi tertentu agar rawatan seterusnya lebih mudah dilakukan. Dalam sesetengah kes, aplians ini berupaya melatih otot dan tulang rahang untuk tumbuh ke arah yang diingini untuk mencapai kedudukan rahang yang lebih harmoni.

Akhir kata, pepatah melayu berbunyi gigi sihat badan cergas. Fungsi gigi adalah untuk mencarik dan mengunyah makanan. Gigi juga penting dalam pertuturan dan bagi penganut agama Islam khususnya, untuk menyebut bacaan dalam Al-Quran. Terdapat sesetengah huruf atau perkataan yang tidak dapat disebut dengan betul jika mengalami masalah pergigian. Memiliki gigi yang tersusun juga akan memudahkan penjagaan kebersihan mulut. Di samping itu, hasil rawatan pergigian yang estetik dapat meningkatkan keyakinan diri, menutup keaiban, mengelakkan makanan mudah melekat yang seterusnya  menyebabkan mulut berbau. Dr Yusuf al-Qaradawi (1980) menyebutkan ulasan Syaykh al-Bahi Al Khuli yang berkata :

“Seandainya orang tersebut mempunyai kecacatan yang menjijikkan pandangan, misalnya kerana ada lebihan-lebihan yang boleh menimbulkan sakit jiwa dan perasaan, tidaklah berdosa untuk berubat selagi dengan tujuan menghilangkan kecacatan atau kesakitan yang boleh mengancam hidupnya. Ini kerana Alah tidak menjadikan agama untuk kita dengan penuh kesukaran.”

(Petikan dari buku Fiqh Pergigian – 21 Soal Jawab terbitan USIM Press)

Kredit Foto :  Birmiss

sumber asal : www.majalahsains.com

Happy
Happy
0 %
Sad
Sad
0 %
Excited
Excited
0 %
Sleepy
Sleepy
0 %
Angry
Angry
0 %
Surprise
Surprise
0 %

Average Rating

5 Star
0%
4 Star
0%
3 Star
0%
2 Star
0%
1 Star
0%

Tinggalkan Balasan

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.