Berita Menarik

Peranan Angin Monsun Dalam Kelangsungan Populasi Penyu

Pembaca : 1085
0 0

Oleh : Dr. Mohd Uzair Rusli
Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), Universiti Malaysia Terengganu

Sebut sahaja monsun, sudah pasti kita terbayang suasana hujan yang berterusan dengan angin yang kuat dari laut pada hujung tahun terutamanya bagi kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia yang berkemungkinan membawa bencana banjir besar saban tahun. Monsun sering digambarkan membawa kesulitan terutama kepada penduduk pesisir pantai yang bergantung kepada aktiviti perikanan sebagai sumber mata pencarian utama mereka.

Secara umum di Semenanjung Malaysia, kita mempunyai dua sistem angin monsun sepanjang tahun. Pertama Monsun Timur Laut (MTL) yang membawa angin dari hemisfera utara yang lebih sejuk dengan kekerapan hujan yang lebih tinggi sekitar Oktober hingga Februari. Kedua adalah Monsun Barat Daya (MBD) dari arah yang berlawanan membawa angin yang lebih kering dan ditandai dengan musim panas bahkan boleh membawa kepada fenomena kemarau.

Di perairan negara, Laut China Selatan juga dipengaruhi oleh kedua-dua sistem monsun tersebut melalui tiupan angin yang mempengaruhi arah serta kekuatan pergerakan arus di permukaan lautan. Proses fizikal di lautan ini hakikatnya sentiasa dicerap melalui imej satelit dan juga boya di lautan bagi membantu pergerakan kapal-kapal dagang dan perikanan bagi menjangkakan risiko dan laluan yang terbaik melalui penggunaan sistem model lautan.

Melalui perkembangan sains lautan dan pembinaan model yang mampu membantu kita meramal keadaan laut, perkembangan teknologi seumpama ini turut mampu dimanfaatkan oleh ahli biologi yang mengkaji sumber lautan. Contohnya ramalan kawasan yang mempunyai produktivi perikanan yang tinggi seperti pemetaan taburan plankton yang menjadi makanan utama kepada ikan. Ini juga merupakan satu contoh yang mana pemahaman sains mampu membantu negara dalam meningkatkan hasil lautan dan seterusnya meningkatkan kualiti hidup masyarakat pesisir pantai negara.

Bagi usaha konservasi haiwan terancam negara seperti penyu pula, kitaran hidup penyu masih belum diketahui dengan tepat bilamana anak-anak penyu yang berenang ke laut sebaik sahaja meninggalkan sarangnya di pantai masih dikelaskan sebagai ‘tahun-tahun yang hilang’(The Lost Years) (Rajah 1). Teori klasik ini diperkenalkan berikutan anak penyu yang hanya sebesar separuh tapak ini adalah hampir mustahil untuk dikesan pergerakan mereka dalam lautan yang amat luas.

Rajah 1: Kitar hidup penyu secara semula jadi yang akan berenang bebas bersendiri dan hanya akan kembali ke pantai asal mereka untuk bertelur selepas mencapai tempoh matang.

Dalam fasa awal kehidupan penyu, mereka akan berusaha berenang jauh meninggalkan pantai asal mereka. Mereka akan hanya mampu dilihat kembali ke pantai asalnya selepas mencecah usia matang iaitu sekitar 15-20 tahun. Situasi ini membawa cabaran kepada usaha konservasi penyu kerana ratusan ribu anak penyu yang dilepaskan ke perairan negara saban tahun masih belum mampu memberikan keyakinan menghasilkan peningkatan populasi penyu di masa hadapan. Kita hanya mampu berusaha melepaskan sebanyak mungkin anak penyu tanpa mengetahui nasib mereka sehingga tempoh matang. Dalam masa yang sama usaha kita melipatgandakan jumlah telur yang dieram turut diancam aktiviti pengkomersialan telur penyu di pasaran terbuka.

Justeru, satu langkah proaktif telah diambil oleh para penyelidik untuk mengintegrasikan sains kelautan dan sains fisiologi penyu bagi meramal kawasan serakan renangan awal mereka. Bermula tahun 2016, pihak Sea Turtle Research Unit (SEATRU) dari Universiti Malaysia Terengganu telah berjaya membina sistem pengukuran tenaga anak penyu ketika proses penggalian keluar dari sarang (Rajah 2). Sistem ini telah merintis jalan kepada usaha kita dalam membuat ramalan kepada arah tuju dan capaian renangan anak-anak penyu yang dilepaskan ke laut.

Rajah 2: Sistem respirometri yang diubahsuai bagi menyukat penggunaan oksigen anak penyu ketika keluar menggali daripada sarang.

Hipotesis yang terkait dengan fasa awalan anak penyu ketika mereka baru menetas ialah tahap penggunaan tenaga di dalam sarang akan menetukan had keupayaan renagan anak penyu. Sifat semula jadi anak penyu adalah akan berenang tanpa henti sebaik sahaja masuk ke dalam air. Tingkah laku ini adalah bagi menjauhkan diri mereka dari kawasan lautan yang cetek yang mempunyai kebarangkalian yang amat tinggi untuk disambar oleh pemangsa.

Dalam kajian yang melibatkan pemahaman serakan anak penyu di perairan negara, tumpuan penyelidikan sekarang ialah berkaitan memahami taburan anak penyu dan pembentukan populasi penyu yang berbeza di Laut China Selatan. Kajian ini bermula dengan penilaian guna tenaga anak penyu bagi menentukan potensi renangan mereka sebaik sahaja masuk ke laut.

Artikel Berkaitan : Pemahaman Iklim Zaman Purba Melalui Fosil Lautan
Artikel Berkaitan : Pemburuan Organisma Hanyut Yang ‘Bersaudara’ Dengan Manusia
Artikel Berkaitan : Potensi Produk Kecantikan Daripada Ubur-Ubur
Artikel Berkaitan : Pepatah Berkepit Macam Belangkas: Satu Tinjauan Saintifik
Artikel Berkaitan : Ringkasan Sejarah Pembentukan Planet Bumi

Penentuan potensi renangan anak penyu ini seterusnya membantu kita untuk mendapatkan taburan serakan anak penyu di lautan dengan menggunakan model arus lautan. Dapatan terkini kajian ini menunjukkan bahawa anak penyu yang menetas pada musim monsun yang berbeza akan membentuk subpopulasi yang berbeza di Laut China Selatan kita. Ada anak yang akan lahir pergi ke Teluk Siam, dan anak yang lahir terkemudian akan menuju Kepulauan Natuna (Rajah 3).

Rajah 3: Anggaran serakan anak penyu yang dilepaskan dari kawasan Pantai Timur Semenanjung (Pulau Redang, Rantau Abang dan Cherating) pada bulan Mei (A) dan Ogos (B).

Melalui teknik permodelan lautan juga, kita mendapati bahawa seekor anak penyu mampu berenang selama tujuh hari tanpa perlu mengambil sumber tenaga lain dan boleh pergi sejauh 116 km. Maka, melalui kajian ini kita memahami peranan angin monsun ini sebenarnya mampu menjamin kemandirian spesis ini. Walaupun mereka berasal dari ibu yang sama, serakan mereka di lautan ditentukan oleh arus yang berbeza mengikut musim monsun Barat Daya atau Timur Laut. Sebab itu jugalah seekor ibu penyu mampu bersarang antara 8-12 kali dalam satu tahun. Penghasilan induk yang yang banyak dan bertebaran ke wilayah lautan yang berbeza ini mampu menjamin kelestarian populasi jika berlaku tekanan alam sekitar di sesuatu kawasan.

Contohnya, jika berlaku pencemaran yang amat teruk di kawasan di sebelah selatan semenanjung, kita masih ada populasi penyu dari takungan genetik yang sama di sebelah utara pula. Percampuran penyu dari pelbagai lokaliti yang membentuk kepelbagaian genetik yang besar inilah menjamin kemandirian sesuatu spesis dalam teori pemilihan semula jadi. Namun jika penghasilan induk penyu ini terganggu dek kerana kerakusan manusia mengkomersialkan telurnya, sudah pasti kita membawa penyu kepada kepupusan.

Begitu sempurna sekali percaturan tuhan. Semoga penyelidikan kami ini mampu membawa rasa takjub semua kepada ciptaan Allah swt. Perubahan angin monsun di Laut China Selatan ini ada sebabnya. Begitu juga kelangsungan spesis penyu ini ada pendorongnya. Sungguh kita tidak mampu melawan sunnatullah. Jika anda terus memakan telur penyu di saat spesis ini sedang tenat menghadapi kepupusan, anda adalah golongan yang tidak cakna dan tidak mahu berfikir.

Hubungi penulis di [email protected] untuk mendapatkan artikel penuh kajian ini yang diterbitkan di Malaysian Applied Biology Journal: Oceanic Dispersal Model of Green Turtle Hatchlings in The South China Sea.

Kredit Foto :  Dr. Mohd Uzair Rusli

sumber asal : www.majalahsains.com

Happy
Happy
0 %
Sad
Sad
0 %
Excited
Excited
0 %
Sleepy
Sleepy
0 %
Angry
Angry
0 %
Surprise
Surprise
0 %

Average Rating

5 Star
0%
4 Star
0%
3 Star
0%
2 Star
0%
1 Star
0%

Tinggalkan Balasan

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.