Berita Menarik

Tingkah Laku Pembiakan Sitophilus Oryzae (Bubuk Beras)

Pembaca : 85
0 0

Oleh : Tun Mohd Firdaus Bin Azis1,2, & Khairul Farihan Kasim1
Universiti Malaysia Perlis1 & Universiti Teknologi MARA, Cawangan Perlis

Sitophilus oryzae atau dikenali di Malaysia dengan panggilan bubuk beras atau kumbang beras. S. oryzae ini dapat dilihat pada gambar 1. Serangga ini merupakan salah satu spesies daripada keluarga kumbang perosak yang banyak merosakkan produk tanaman yang disimpan seperti gandum, kacang, dan terutama sekali di Malaysia adalah beras.

Gambar 1 Sitophilus oryzae dewasa

Organisma perlu membiak bagi menjamin kelangsungan spesiesnya dan spesifik bagi S. oryzae menjalankan pembiakan secara seks dalam penghasilan generasi yang baru. Kejayaan S. oryzae dalam mengawan ditentukan oleh pemilihan seks yang terbahagi kepada pemilihan interseksual dan pemilihan intraseksual. Pemilihan interseksual melibatkan satu individu memilih individu yang lain sebagai pasangan manakala pemilihan intraseksual melibatkan satu individu bersaing antara satu sama lain untuk mendapat pasangannya.

Kedua-dua jenis pemilihan seks ini berlaku pada spesies S. oryzae. Dalam pemilihan interseksual tingkah laku bermula apabila S. oryzae jantan berada berdekatan dengan S. oryzae yang lain, S. oryzae jantan ini akan menggerakkan sesungutnya untuk pengenalpastian individu S. oryzae yang lain. Keadaan ini boleh dilihat pada gambar 2 sama ada spesies yang sama dan betina. Pada awalnya, S. oryzae jantan dan betina ini akan kelihatan teragak-agak untuk meneruskan hubungan. Tetapi selepas tempoh itu, S. oryzae jantan akan bergerak mengikuti S.oryzae betina. S. oryzae jantan kemudiannya akan memposisikan dirinya pada kedudukan yang sama dengan betina dan mencuba untuk naik ke atas badan S. oryzae betina. Keadaan memposisikan badan oleh S. oryzae jantan dapat dilihat dalam gambar 3. Pada waktu ini, S. oryzae betina akan terus berjalan walaupun S. oryzae jantan cuba untuk naik ke atas badannnya. Tingkah laku ini menyebabkan S. oryzae jantan hilang posisi untuk meneruskan proses mengawan. S. oryzae jantan pada waktu ini akan mencuba lagi untuk naik ke badan S. oryzae betina atau berhenti mencuba dan berjalan pergi.

Gambar 2 S. oryzae jantan akan cuba Mengenal pasti S. oryzae betina
Gambar 3 S. oryzae jantan akan memposisikan keadaan badannya

Selepas S. oryzae jantan berjaya memposisikan dirinya di atas S. oryzae betina, S. oryzae jantan akan menggenggam bahagian hujung sayap S. oryzae betina menggunakan kakinya. S. oryzae jantan akan menggerakkan kepalanya yang terdiri daripada rostrum dari satu sisi ke sisi bahagian toraks S. oryzae betina sebelum rostrumnya berehat di atas pertengahan toraks betina. Ini dapat dilihat pada gambar 4,5 dan 6. Pada waktu ini juga aedagus S. oryzae jantan akan dimasukkan ke vagina betina. Aedagus ini akan mengembang semasa mengawan. Aedagus adalah organ pembiakan atau zakar bagi S. oryzae jantan. Gambar aedagus boleh dilihat pada gambar 7. Ini akan memudahkan sperma dari S. oryzae jantan untuk masuk ke saluran spermateka pada sistem pembiakan betina. S. oryzae jantan dan betina akan menjalankan aktiviti pembiakan ini beberapa kali dengan pasangan yang berbeza.

Gambar 4 S. oryzae jantan akan naik ke atas S. oryzae betina
Gambar 5 S. oryzae telah berjaya naik ke atas badan S. oryzaae betina
Gambar 6 S. oryzae jantan akan cuba memasukkan aedagusnya ke dalam organ pembiakan betina
Gambar 7 Aedagus S. oryzae

Bagi alam haiwan, kejayaan pembiakan adalah sesuatu yang sangat penting dalam kemandirian sesuatu spesies itu. Kejayaan pembiakan bagi haiwan betina bergantung kepada berapa anak yang dihasilkan sepanjang hayatnya manakala bagi haiwan jantan bergantung kepada berapa betina yang dapat dibiakkan. Oleh itu, persaingan untuk mendapatkan pasangan bagi jantan dan betina mempengaruhi tingkah laku pembiakan bagi S. oryzae. S. oryzae jantan lebih memilih S. oryzae betina yang bersaiz besar kerana S. oryzae betina yang bersaiz besar adalah lebih subur dan berupaya menghasilkan lebih banyak anak. S. oryzae betina pula lebih memilih jantan yang mempunyai aedagus yang lebih lebar.

Walaupun begitu, terdapat juga kajian yang dijalankan menunjukkan pemilihan S. oryzae terhadap pasangannya adalah berdasarkan kepada potensi keberadaan S. oryzae pada waktu yang sesuai. Dengan kata lain, jika pasangan itu ada pada waktu dan tempat yang betul maka S. oryzae itu yang dipilih untuk mengawan. Sebagai contoh jika waktu itu S. oryzae betina telah mempunyai telur yang matang di dalam badannya, maka S. oryzae jantan yang mengawan dengannya pada waktu itu yang akan berpotensi besar untuk mensenyawakan S. oryzae betina. S. oryzae betina juga boleh mengawan dengan beberapa ekor jantan, kerana seekor jantan sahaja tidak cukup untuk membekalkan sperma yang diperlukan untuk semua telur dalam betina disenyawakan secara optimum.

Satu lagi faktor utama yang mempengaruhi tingkah laku pembiakan S. oryzae adalah kepadatan populasi S. oryzae. Semakin tinggi kepadatan populasi S. oryzae, semakin kurang subur S. oryzae betina dan anak yang dihasilkan juga semakin kurang atau tiada langsung. Apabila S. oryzae jantan sedar persaingan di dalam habitat adalah tinggi, proses genggaman terhadap betina semasa mengawan akan menjadi lebih lama. Keadaan ini menyebabkan aedagus mempunyai kebarangkalian yang lebih tinggi untuk merosakkan bahagian bursa kopulatriks (bahagian pada organ pembiakan betina) betina. Tingkah laku ini berlaku kerana S. oryzae jantan ingin mengelakkan S. oryzae betina tersebut mengawan dengan S. oryzae jantan yang lain. Apabila kerosakan telah berlaku pada bahagian bursa kopulatriks betina, betina tidak lagi subur. Bukti persaingan ini dapat dilihat pada gambar 8. Persaingan ini melibatkan pemilihan intraseksual.

Gambar 8 Persaingan dua ekor S. oryzae jantan untuk mengawan dengan S. oryzae betina

Kredit Foto : Penulis

sumber asal : www.majalahsains.com

Happy
Happy
0 %
Sad
Sad
0 %
Excited
Excited
0 %
Sleepy
Sleepy
0 %
Angry
Angry
0 %
Surprise
Surprise
0 %

Average Rating

5 Star
0%
4 Star
0%
3 Star
0%
2 Star
0%
1 Star
0%

Tinggalkan Balasan

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.